Dr. Zizi Azlinda Mohd Yusof
Dr. Zizi Azlinda Mohd YusofPensyarah Fakulti Syariah Undang-undang

Meskipun dikira masih bertatih dalam dunia halal industri, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menawarkan satu program prasiswazah pada tahun 2019 dalam bidang syariah halal industri yang dikenali sebagai Program Sarjana Muda Syariah Halal Industri (SMSIH). Program yang boleh dianggap sebagai masih baharu ini memulakan pengajian akademiknya pada sesi 2019/2020.

Kelebihan program SMSIH berbanding di Universiti Awam (UA) lain di Malaysia ialah suntikan unsur ilmu syariah dalam bidang tersebut yang mana ia merupakan akar umbi kepada proses pengesahan kehalalan sesuatu produk yang dihasilkan. 2023 merupakan tahun kedua pelajar-pelajar SMSIH Kohort pertama dari FSU sudah berjaya melepasi 3 tahun sesi pengajian akademik di Universiti, secara spesifiknya di FSU, USIM dan sedang melalui Latihan Industri (LI) di pelbagai syarikat di seluruh Malaysia yang ditetapkan selama 1 tahun.

Model 3 tahun di Universiti dan 1 tahun di Industri atau lebih dikenali dengan 3U1I ini adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Misi merencanakan Pelan Pendidikan Tinggi tersebut bertemakan lonjakan 1: Graduan Holistik, bercirikan Keusahawanan dan Seimbang, mod 3U1I disambut baik oleh beberapa UA di Malaysia termasuklah FSU, USIM.

Meskipun SMSIH yang berterapkan mod 3u1i ini boleh dikatakan masih lagi dalam usaha bertatih lagi, namun berkat usaha dan konsisten barisan para akademik FSU yang memahami hala tuju Halal Industri dalam menyokong sistem pendidikan yang fleksibel, SMISH sudah menghampiri kepada langkah terakhir untuk mendapatkan pengesahan penuh dari Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) iaitu dijangka MEI 2023 ini insha Allah.

Objektif pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dalam mengangkat model 3u1i ini antaranya ialah meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan perkhidmatan yang diterokai di luar kampus. Berbekalkan ilmu dan teori  dalam bidang Syariah dan Halal dalam pelbagai sector halal, pelajar-pelajar SMSIH kohort pertama sekarang sedang meneroka medan praktikal di industri-industri yang menerapkan Kursus Pengurusan Operasi Halal. Mereka sedang melihat dan berurusan apajua isu dan cabaran bentuk-bentuk teori yang telah meraka pelajari di dalam bilik-bilik kuliah.

Antara syarikat-syarikat terpilih yang menjadi medan praktikal LI oleh pelajar-pelajar SMSIH Kohort pertama ini seperti McDonald, Sushi King, MH Mohamad, Pharmaniaga, Mamee dan Kek Lapis Sarawak Siti Payung Miri. Malah, dijangkakan beberapa lagi Syarikat Halal sedang dilamar oleh barisan para akademik di fakulti untuk membina jaringan MoU dengan fakulti.

Konsep 1 tahun di industri ini sudah tentu mampu memperlihatkan gambaran realiti kepada gerak kerja Pengurusan Operasi Halal termasuklah dari segi Halal Assurance Sistem (HAC) dan juga sistem audit Halal kepada pelajar-pelajar SMSIH. Secara tidak langsung, konsep yang dilaksanakan kepada pelajar-pelajar semester akhir SMSIH ini turut wajib dilaporkan oleh pelajar kerana jam kredit yang cukup di industri juga merupakan syarat graduasi sebagai pelajar lepasan mod 3U1I.

Antara Faedah-faedah lain yang bakal diperolehi oleh pelajar yang mengikuti mod 3u1i ini ialah, pelajar akan dapat mengutip ilmu dan pengalaman di dalam dan di luar kampus yang sudah tentu perbezaannya amat ketara sekali. Di industry juga, pelajar-pelajar akan belajar mengatasi stres dan tekanan yang dihadapi di tempat-tempat kerja. Selain itu, pelajar-pelajar Halal industry mempunyai peluang besar untuk mewujudkan jaringan dengan pengamal-pengamal industri Halal.

Mod 3u 1i ini dihasilkan dengan penelitian yang rapi oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dengan berpandukan Garis Panduan Perlaksanaan Program Akademik 2u2i dan 3u1i Bersama dengan Garis Panduan Amalan Baik: Pembelajaran berasaskan Kerja (Work-Based Learning). Menerusi Garis Panduan dan Rubrik penilaian Pembelajaran berasaskan kerja ini, para pelajar mampu dibuktikan samada mencapai objektif mempraktikan operasi pengurusan Kursus Halal yang dirancang tercapai atau tidak.

Mod 3u1i yang dipraktikkan oleh pelajar Syariah Halal Industri ini juga secara langsung memberi kelebihan-kelebihan lain kepada USIM seperti menyemarakkan budaya kolaboratif antara akademik dan industry, memperkasakan kualiti akademik Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara spesifiknya USIM dan mewujudkan peluang penyelidikan dan pembangunan di industri halal di Malaysia.

Menerusi mod 3u 1i yang sedang dibawa oleh USIM in, situasi win-win juga dijana oleh pengamal-pengamal industri halal di Malaysia kerana mereka juga dapat mengurangkan keperluan Latihan dalaman, mengurangkan kos pengambilan pekerja asing dan juga menerapkan budaya kerja korporat. Dengan itu, kemasukan pelajar-pelajar LI dari USIM ini memberi satu ruang positif kepada pelbagai pihak termasuklah industri halal itu sendiri.

3U1i merupakan satu Langkah bersepadu yang menonjolkan USIM dalam usaha menyokong dan mendepani sebarang isu halal industri dengan ilmu syariah yang mantap dan pengurusan yang leboh efisien. Dunia hari menghidangkan maklumat dan data dihujung jari. Lambakan content pada zaman IT ini samada sahih ataupun tidak sahih boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja secepat kilat melalui capaian internet. Justeru, negara perlu memastikan barisan pelajar-pelajar memperolehi ilmu yang betul melalui wadah akademik di IPT. USIM mengorak Langkah agresif dalam menyepadukan antara ilmu naqli dan aqli dan wadahnya amatlah sesuai dinilai melalui mod 3u1i ini.

Seiring itu, mod pengajian 3u1i ini membuktikan USIM mahu benar-benar mendepani isu halal industri dengan ilmu dan pengalaman. Usaha dan komitmen yang serius ditonjolkan dengan menghantar barisan para pelajar-pelajarnya sebagai Duta Usim ke pelbagai syarikat yang terpilih mempergiatkan lagi jurang antara akademik dan industri. Pelajar-pelajar juga akan lebih matang dan mampu melihat masalah sebenar yang diperlukan oleh pihak industri. Melalui itu, pengukuhan pengajian dapat direalisasikan dengan melibatkan kursus umum merentasi kurikulum.

Semoga perlaksanaan Program Akademik 3u1i akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan (graduate employability) lepasan IPT di Malaysia. Seterusnya, menjulang nama USIM di persada halal industri antarabangsa dan negara!