Prof. Madya Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail
Prof. Madya Dr. Wan Abdul Fattah Wan IsmailPengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ)

Sekiranya kita mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, antara perkara utama dilakukan Baginda adalah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan penduduk Ansar. Tindakan Baginda SAW ini menggambarkan hidup bersaudara dan bermasyarakat amatlah penting serta tunjang kepada kekuatan Islam itu sendiri. Manusia tidak mampu hidup berseorangan, bahkan perlu bantuan dan penglibatan orang lain dalam meneruskan kelangsungan hidup. Kenyataan ini bertepatan dengan mafhum firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Ayat ini jelas menunjukkan Islam amat menekankan hidup bermasyarakat sama ada dalam konteks berkeluarga, berjiran, berkawan dan sebagainya. Jika kita perhatikan kehidupan masyarakat terdahulu, mereka sangat akrab dengan saling tolong menolong dan mengambil berat antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa. Bahkan, yang tua dihormati dan yang muda disayangi serta kata-kata keramat ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat ketika itu. Kita lihat dalam majlis kenduri kahwin misalnya, satu kampung akan turun membantu dan bergotong royong dari awal sehinggalah majlis selesai. Bertukar makanan atau kuih muih adalah menjadi amalan rutin, terutama pada bulan Ramadhan. Anak-anak akan ditugaskan untuk menghantar makanan ke rumah jiran-jiran dan secara tidak langsung mendidik mereka erti hidup berjiran dan bermasyarakat. Maka tidak hairanlah masyarakat ketika itu hidup aman, damai dan saling hormat menghormati. Keadaan ini sebenarnya berpunca dari ibu bapa yang sangat berperanan dan mengambil berat dalam mendidik anak-anak mereka mengenai erti kehidupan bermasyarakat. Ibu bapa sentiasa memberi tunjuk ajar dan berpesan berulang kali agar anak-anak menjaga hubungan dalam masyarakat.

Namun pada hari ini suasana sangat berbeza, jiwa murni dalam bermasyarakat telah terhakis, masing-masing tidak cakna keadaan sekitar. Mereka dengan keluarga sendiri tanpa mempedulikan dan mengambil tahu langsung keadaan jiran tetangga dan masyarakat. Anak-anak langsung tidak dididik sikap menghormati dan mengambil berat di antara satu sama lain. Sebaliknya ibu bapa hanya memberi penekanan kepada akademik anak-anak mereka semata-mata.

Maka tidak pelik pada hari ini, ramai anak-anak yang memiliki pencapaian akademik yang tinggi, namun akhlak mengalah mereka yang langsung tidak berpendidikan. Kalau waktu dahulu jika tetamu datang ke rumah, anak-anak akan keluar bersalam-salaman dan bertanya khabar. Namun hari ini bila tetamu datang bertandang anak-anak buat-buat tidak nampak kerana sibuk melayani ‘hand phone’ dan gajet masing-masing. Tetapi yang malangnya semua keadaan ini berlaku di hadapan mata ibu bapa sendiri, namun tidak ada tindakan sewajarnya untuk menegur sikap anak-anak mereka. Tindakan ini secara tidak langsung menjadikan anak-anak tidak menghargai kehidupan bermasyarakat.

Dalam adab sebagai tetamu misalnya, kalau dahulu ibu bapa akan berulang kali mengingatkan supaya menjaga adab ketika bertamu, ibu bapa akan menjeling kalau anak-anak tidak menjaga adab sebagai tetamu. Rasulullah SAW sendiri amat tegas dalam soal adab, baginda menegur seorang kanak-kanak mengenai adab ketika makan dalam hadith mafhumnya: “wahai budak, Bacalah basmallah, makan guna tangan kanan dan ambil makan yang berhampiran”. (Bukhari).

Berbeza dengan hari ini, anak tidak dididik dengan adab-adab sebagai tetamu. Anak-anak dibiarkan membuat kotor, membuat bising atau merosak barang-barang, namun yang mendukacitakan ibu bapa mereka hanya membiarkan sahaja tanpa ada perasaan bersalah pun. Sepatutnya ibu bapa segera bertindak dengan menegur, menegah atau mengambil tindakan sewajarnya. Jika keadaan ini tidak diperbetulkan akan menimbulkan perasaan tidak selesa kepada tuan rumah, secara tidak langsung akan menyebabkan mereka takut untuk menerima kita sebagai tetamu pada masa-masa akan datang. Tidak kurang juga ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak mereka melayani ‘hand phone’ dan gajet ketika bertamu. Sikap mengambil mudah inilah menyebabkan anak-anak tidak pandai menyesuaikan diri dalam masyarakat. Pesanlah pada anak-anak untuk menyimpan ‘hand phone’ dan gajet masing-masing buat sementara waktu. Ambil ruang dan peluang yang jarang berlaku ini untuk bertegur sapa, berkenalan dan beramah mesra bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam masyarakat.

Selain itu, didiklah anak-anak untuk memberi salam dan bertegur sapa dengan jiran tetangga atau setidak-tidaknya lontarkan senyuman. Jangan dibiarkan anak-anak kita ketagihan dan mabuk dengan teknologi, sehingga mengabaikan hidup bermasyarakat. Bawalah anak-anak solat berjemaah di masjid atau surau dan libatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, kenduri kendara serta aktiviti-aktiviti yang lain. Ini kerana, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan akan mendorong anak-anak untuk menyemat dalam jiwa mereka perihal bertapa pentingnya hidup bermasyarakat sepertimana yang dituntut oleh Islam.