Nurul Izzati Mahadi
Nurul Izzati MahadiFakulti Ekonomi Dan Muamalat

Pemilihan kerjaya merupakan satu proses berterusan bermula dari persepsi kanak-kanak terhadap dunia pekerjaan dan kemudiannya berkembang hingga ke peringkat remaja dan awal dewasa. Kerjaya merupakan sesuatu yang dirancang. Ini kerana kerjaya merupakan suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia serta menentukan cara hidup seseorang. Masalah pengangguran berlaku antaranya disebabkan oleh peningkatan kadar pemberhentian pekerja terutama dalam sektor swasta.

Selain itu, dengan keadaan turun naik ekonomi dan persaingan pekerjaan yang semakin sengit memerlukan para pelajar mencari peluang lain dan bukan hanya bergantung kepada permohonan pekerjaan semata-mata, tetapi bijak dan kreatif mencari saluran untuk memperoleh pendapatan. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan pengangguran kepada diri graduan itu sendiri, sebaliknya mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang lain.

Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) adalah salah satu saluran yang disediakan untuk memperoleh pendapatan. Ia adalah satu program kebolehpasaran yang bertujuan untuk membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Terdapat juga saluran-saluran lain yang disediakan seperti JobsMalaysia, Pertubuhan Keselematan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan TERAJU di mana mereka menyediakan khidmat nasihat professional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan.

Pada era ini, graduan atau penganggur hendaklah bijak dalam mencari kerjaya kerana keadaan semakin kritikal dengan kemunculan Revolusi Industri Keempat atau Era Digital, yang menyaksikan kemajuan dan penggunaan teknologi secara radikal. Teknologi sudah mengambil alih peranan manusia sedikit demi sedikit, sekaligus mengurang dan melupuskan peluang pekerjaan. Penggunaan mesin secara automatik menyebabkan tidak ada lagi keperluan fizikal dalam melakukan pekerjaan.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam buku, The Fourth Industrial Revolution mengakui bahawa profesion seperti peguam, doktor, akauntan, wartawan dan penganalisis kewangan juga berpotensi mengalami pengurangan tempat apabila sebahagian tugas boleh dilakukan secara digital dan penggunaan teknologi automatik pada masa depan. Laporan Forum Ekonomi Dunia bertajuk “The Future of Jobs: Employment, Skill and Workforce Strategy for the Fourth Industrial Revolution” yang dikeluarkan pada Januari 2016 mendedahkan keupayaan kognitif menjadi antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh tenaga kerja akan datang.

Oleh itu, para graduan yang dilengkapi dengan kedua-dua ciri iaitu ilmu dan keupayaan kognitif berpeluang untuk mendapat pekerjaan dengan lebih tinggi. Orang-orang seperti inilah yang sangat diperlukan dan dicari-cari oleh majikan. Di samping itu, para graduan yang dapat megetahui dan mengcungkil bakat yang terpendam dalam diri mereka akan lebih megetahui hala arah tuju mereka. Mereka juga dapat mempersiapkan jiwa raga mereka dengan lebih awal untuk menempuhi alam pekerjaan. Kesimpulannya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.