Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Prof Madya Dr Harris Shah Abd Hamid
Prof Madya Dr Harris Shah Abd Hamid Dekan Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP

Kebolehan dan potensi manusia untuk berfikir adalah tidak terbatas. Akal merupakan anugerah terbesar dari Allah SWT kepada umat manusia. Akal fikiran ini membezakan manusia dengan makhluk lain, membolehkan manusia membangun diri dan persekitaran serta membezakan yang hak dan batil. Bahkan sejak awal peradaban Islam, penguasaan ilmu pengetahuan dan penggunaan akal yang sihat ditekankan melalui perutusan dakwah nabi dan rasul. Meskipun akal amat dititik-beratkan dalam Islam, terdapat limitasi dan sempadannya. Justeru sinergi dalam kerangka minda seseorang haruslah menggunakan elemen naqli (bersumber dalil wahyu, Al-Quran serta Hadis yang mutawatir) dan aqli (bersumber rasional dan akal pemikiran manusia)bagi mencapai titik keseimbangan daya fikir.

Dalam mengupas perihal kerangka minda ini, ahli psikologi dari Universiti Stanford, iaitu Profesor Carol Dweck, mempopularkan konsep ‘growth vs fixed mindset’ iaitu minda bercambah dan terbelenggu. Umumnya, kerangka minda (mindset) ialah pemikiran tentang diri sendiri. Ia juga merujuk kepada corak dan pola pemikiran yang menjadi asas kepada pembentukan sikap, tingkah laku dan perbuatan seseorang. Tuntasnya, konsep ini menjelaskan sejauh mana seseorang boleh mengubah tahap kecerdasan, kemahiran sosial, gaya berfikir, dan lain-lain ciri peribadi yang dimiliki. Idea ini telah berkembang di Malaysia dalam kalangan penyelidik, pendidik mahupun pemain industri motivasi.

Jika individu percaya dirinya tidak kreatif, dan selama-lamanya tidak akan jadi lebih kreatif, ciri ini boleh terangkum dalam kerangka minda terbelenggu (fixed mindset). Manakala, sekiranya individu menyedari bahawa dirinya tidak boleh berenang, tetapi percaya mereka boleh belajar berenang jika pergi ke kelas renang, mendapat latihan serta bimbingan dari jurulatih renang yang betul, maka indivdu tersebut tergolong dalam kategori minda bercambah (growth mindset). Jika ditelusuri takrifan minda bercambah (growth mindset), ia boleh difahami melalui pernyataan “The belief that your basic qualities are things you can cultivate through your efforts, your strategies, and help from others”. Oleh itu, minda bercambah ini adalah merujuk kepada kepercayaan asas bahawa kualiti diri seseorang boleh dibina melalui usaha, strategi dan bantuan dari individu lain.

Persoalan dan isu timbul sekiranya konsep minda bercambah ini dipegang tanpa kiblat yang betul mengikut syariat dan akhlak Islam dalam kalangan generasi muda sehingga menanggap percambahan dan perkembangan boleh dibuat dalam semua aspek termasuklah untuk perkara  yang salah. Misalnya dapat dilihat dalam pernyataan seperti berikut;

  • “Saya percaya saya cantik. Kalau tambah ilmu menghias diri, saya akan jadi lebih cantik dan boleh merampas suami orang”
  • “Aku pernah curi duit tabung masjid sebanyak RM100. Kalau aku berusaha lebih keras, aku yakin aku mampu curi duit lebih banyak”.
  • “Aku ada pengalaman berniaga rokok. Dengan pengalaman itu, aku yakin boleh kembangkan perniagaan dengan menjual produk vape”.

Walaupun sifat minda bercambah ini neutral dan tiada sempadan, namun begitu ia perlu diawasi dan dikawal berpandukan al-Quran, Hadis dan sumber ilmu Islam yang tepat. Ini kerana, perkembangan manusia perlu mengambilkira soal akhirat dan bukanlah dunia semata-mata. Dalam surah asy-Shams (ayat 9) Allah swt berfirman yang maksudnya,

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)

Menerusi terjemahan surah di atas, jelas kerangka minda bercambah perlu dioperasikan bersama iman, amal dan akhlak yang baik untuk mengatur dan memimpin akal ke arah kebaikan. Bermula dari fitrah semula jadi yang bersih, manusia boleh berusaha menjadi lebih bersih. Yang menariknya, jika seseorang itu beriman dan berbalik kepada fitrah kejadian manusia, maka sudah tentu kompas hidupnya tertumpu kepada petunjuk akhirat (akhirah-oriented growth mindset).

Hakikat seorang insan dijadikan dengan kemampuan untuk memilih yang benar dan melawan desakan nafsu yang salah dalam memesong arah jalan hidupnya. Malah, dengan adanya kemampuan untuk mengenal hal baik dan buruk (minda), serta berusaha mengubah jalan (tingkah laku) ke arah lebih baik agar berjaya di dunia dan akhirat juga boleh dikaitkan dengan pengaplikasian minda bercambah. Misalnya dalam pernyataan berikut;

  • “Saya yakin saya boleh perbaiki bacaan al-Quran dengan berguru”
  • “Saya percaya saya boleh tamatkan pengajian jika berusaha bersungguh-sungguh”
  • “Memanglah sekarang telah mencukupi untuk keperluan asas, tetapi saya percaya saya boleh meningkatkan pendapatan keluarga dengan mengembangkan sifat-sifat keusahawanan dalam diri saya”

Sinergi dalam kerangka minda melalui gabungan elemen naqli dan aqli ini adalah kaedah terbaik untuk mengembangkan dan membatasi seseorang bagi mencapai keseimbangan dalam daya fikir mereka. Malah, seseorang boleh berfikiran kritis, analitik, kreatif mahupun di luar kotak, dan merentasi apa jua perkara serta pengetahuan. Namun begitu, ia perlu didasari dengan cara dan matlamat yang benar, bertujuan baik dan menjadikan Islam sebagai panduan dan sempadan dari terjerumus kepada hal yang mungkar. Konklusinya, keutamaan kepada setiap manusia adalah untuk membangunkan keupayaan berfikir dan merintis daya minda bercambah untuk kemajuan diri dan pekerjaan yang dilakukan sekali gus penerokaan kerangka minda naqli dan aqli secara optimum ini dapat melonjakkan pencapaian sistem pendidikan di Malaysia.