Mungkin tidak semua daripada kita mensyukuri dikurniakan zuriat yang sihat. Terdapat pelbagai keadaan anak istimewa yang dilahirkan dan antaranya ialah autisme. Autisme, atau Autism Spectrum Disorder (ASD), adalah satu gangguan perkembangan neurobiologi yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial, dan tingkah laku. ADD muncul ketika seseorang dalam usia awal kanak-kanak iaitu dalam tempoh tiga tahun pertama kehidupannya.
Dari sudut pandangan perubatan, autisme adalah keadaan di mana terganggunya interaksi sosial mereka akibat masalah kemahiran berkomunikasi. Tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhadap sesuatu benda antara faktor lainnya. Namun, golongan ini mempunyai keunikan sendiri. Misalnya, antara mereka memiliki keupayaan dalam bidang matematik, seni mahupun muzik. Kebolehan ini kadangkala tidak dimiliki oleh kanak kanak tipikal. Ini kerana, mereka ibarat melihat dunia melalui lensa dunia dan perspektif yang berbeza.
Lahirnya zuriat autisme mungkin boleh dianggap sebagai cabaran bagi ibu bapa terutama keluarga yang kurang mampu. Namun, kita diajar bersyukur dan percaya bahawa setiap anak lahir dengan rezekinya sendiri. Secara praktiknya, keperluan memahami dan memenuhi keperluan anak anak istimewa ini pastinya memerlukan pendidikan tertentu dan usaha di peringkat ibu bapa dan keluarga.
Tidak dinafikan, keistimewaan dan keunikan anak anak autisme ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada keluarga. Keluarga yang mempunyai anak autisme ini perlu memberi perhatian lebih dua kali ganda berbanding penjagaan anak anak normal. Dengan cara menyediakan terapi khusus dan rawatan yang lengkap, keluarga kadang kala turut perlu mengubah gaya hidup mereka sepenuhnya bagi menyesuaikan dengan keperluan anak anak autisme. Pada masa yang sama, kos rawatan dan terapi yang agak tinggi juga menjadi cabaran tambahan kepada keluarga.
Kadang kala, ahli masyarakat juga sering salah faham dengan situasi anak autisme ini. Hal ini terjadi kerana kurangnya pendedahan tentang autisme menyebabkan stigma dan diskriminasi terhadap kanak kanak autisme dan keluarga mereka. Dari sudut lain, kekurangan sokongan dan kemudahan awam yang mesra autisme menyukarkan keluarga untuk membawa anak mereka keluar untuk bersosial hatta berinteraksi dengan masyarakat.
Berikutan kes pembunuhan adik Zayn Rayyan pada Disember lalu dan sehingga rencana ini ditulis, pembunuhnya masih belum dapat dikenalpasti. Rayyan yang merupakan seorang kanak kanak autisme ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman. Kita amat berharap agar pembunuhnya akan menerima hukuman setimpal, di samping memastikan sokongan yang lebih kuat dapat diberikan kepada anak-anak autisme seluruh Malaysia.
Antara yang boleh kita lakukan secara bersama untuk menyokong anak anak autisme ialah memastikan peningkatan kesedaran masyarakat dengan melalui kempen pendidikan seperti menyediakan program sokongan. Bantuan kewangan kepada keluarga yang memerlukan juga boleh diberikan bagi menampung beban mereka.
Dalam pada itu, membina kemudahan awam yang mesra autisme seperti taman permainan atau pusat komuniti akan memudahkan untuk anak anak ini bersosial dan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka. Di samping itu, latihan diberikan kepada guru dan pegawai awam supaya mereka lebih memahami anak anak autisme sekaligus dapat menangani keperluan khusus mereka.
Akhir sekali, pentingnya untuk memastikan intervensi awal dengan cara melalui diagnosis dan terapi yang tepat agar kanak kanak ini mencapai potensi penuh mereka. Secara totalnya, langkah-langkah ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, masyarakat dan keluarga untuk mencipta persekitaran yang menyokong.
Maka, marilah kita sama sama membantu proses peningkatan sokongan terhadap golongan autisme dan keluarga mereka agar anak anak ini tidak berasa tersisih dan keluarga juga tidak menganggung beban secara sendirian. Anak anak autisme ini adalah anak anak yang mempunyai kelebihan sendiri namun perlu digilap kerana mereka tidak mampu bangun sendiri tanpa sokongan keluarga dan masyarakat.
Kes kematian adik Zayyan haruslah menjadi simbolik peringatan kepada kita semua tentang perlunya ada tanggungjawab untuk melindungi anak anak autisme sekaligus menyokong mereka agar dapat hidup bahagia dan boleh berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat seperti anak-anak normal yang lain.