Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Negara Malaysia dikenali sebagai syurga makanan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi di peringkat antarabangsa yang menawarkan pelbagai juadah terutama ketika sambutan hari perayaan. Sempena Aidilfitri majlis rumah terbuka amat sinonim sebagai salah satu kemeriahan sambutan meraikan kenalan jauh dan dekat di samping tuan rumah menyajikan makanan tradisional seperti rendang, ketupat, lemang dan pelbagai juadah hari raya. Namun, dalam kegembiraan menghadiri dan menganjurkan rumah terbuka saban tahun kita masih berdepan dengan isu melibatkan pembaziran makanan yang mendorong kepada peningkatan penghasilan sisa makanan secara berlebihan. Trend peningkatan pembuangan sisa makanan di negara ini meningkat antara 15 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan terutama pada musim perayaan. Amat membimbangkan apabila pembaziran makanan yang berlaku kini bukan sahaja melibatkan isu pembaziran perbelanjaan harian individu dan isi rumah semata-mata malah melibatkan kos kepada negara. Ini kerana, makanan yang dibuang, perlu diproses untuk dilupuskan. Situasi semasa ini sekiranya tidak tangani dengan baik ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam sekitar kerana kegagalan menguruskannya akan menyebabkan berlakunya pencemaran dan pemanasan global.

Statistik menunjukkan, sebanyak 38,000 tan sisa pepejal sehari telah dihasilkan oleh rakyat dan daripada jumlah tersebut  sebanyak 17,000 tan adalah sisa makanan yang merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal. Rakyat Malaysia telah membuang 4,046 tan makanan yang boleh dimakan setiap hari. Jumlah pembaziran yang berlaku boleh memberi makan kepada tiga juta orang dengan tiga kali makan sehari dan sisa makanan yang dibuang cukup untuk memenuhi satu setengah kolam renang bersaiz Olimpik. Adalah tidak wajar untuk kita membuang banyak sisa makanan tatkala beban kos sara hidup saban hari semakin meningkat dan ratusan juta orang kini tidak mampu untuk membeli makanan untuk di makan setiap hari.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terdapat 45 buah negara yang terdiri daripada beberapa buah negara membangun seperti di Asia dan Afrika melibatkan sejumlah 50 juta orang masih berjuang menghadapi isu kelaparan dan kebuluran secara besar-besaran. Selain melibatkan nilai kemanusiaan amalan pembaziran akibat pembuangan sisa makanan turut memberi impak kepada negara kerana ia melibatkan kos pengurusan dan pelupusan yang tinggi. Bagi tujuan untuk melupuskan makanan yang dibazirkan oleh setiap isi rumah di Malaysia kos yang diperlukan telah mencecah kira-kira RM210 sebulan atau RM2,600 setahun. Ia memberi impak besar kepada kelangsungan kewangan negara untuk menanggung beban kos saban tahun akibat sikap sambil lewa dan kealpaan masyarakat untuk lebih menghargai makanan sebagai keperluan meneruskan kehidupan.

Penganjuran kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran #JomTapau yang diwarwarkan masih dipandang sepi dan enteng oleh sebilangan besar masyarakat sehingga mendorong isu pembaziran tetap berlaku tatkala semasa musim perayaan. Isu peningkatan pembuangan sisa makanan bukan masalah tempatan tetapi menjadi masalah global kerana ia melibatkan kemusnahan alam sekitar dan kematian kerana kebuluran akibat ketidakcukupan bekalan makanan.

Mekanisme Kawalan yang Berkesan

Dalam usaha menangani isu ini, pihak berkuasa perlu lebih tegas melalui perlaksanaan beberapa mekanisme kawalan agar masalah serantau ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Program Makanan Sedunia (WFP) mengeluarkan amaran bahawa seramai 828 juta orang tidur dalam keadaan lapar setiap malam manakala bilangan mereka yang menghadapi masalah kekurangan makanan akut telah meningkat saban tahun sejak 2019. Malaysia di bawah kerajaan Madani yang mengutamakan teras Kesejahteraan melibatkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam disarankan untuk mengambil langkah drastik dengan menggubal undang-undang khusus melibatkan pengurusan pembuangan sisa makanan yang dilihat semakin kritikal saban hari.  Ia sebagai komitmen negara dalam menangani masalah peningkatan pembuangan sisa makanan akibat pembaziran yang berlaku sebelum masalah ini mengganggu rantaian bekalan makanan negara di masa akan datang. Seterusnya, di peringkat pelaksana usaha mewujudkan satu garis panduan kawalan melibatkan bahagian makanan perlu untuk mengelakkan pembaziran makanan yang dihidangkan dalam acara rasmi awam misalnya majlis rumah terbuka, jamuan dan majlis keraian persekutuan dan majlis melibatkan individu persendirian. Melaksanakan pemantauan berkala oleh agensi penguatkuasaan bertujuan untuk memastikan peniaga atau pengusaha makanan tidak sewenang-wenangnya membuang sisa makanan di samping mengenakan hukuman dan denda yang setimpal bagi yang ingkar.

Penglibatan Masyarakat Secara Langsung

Sebagai masyarakat prihatin, amalan mampan melalui kempen pendidikan sifar sisa makanan diterapkan di pelbagai peringkat masyarakat bertujuan mendidik dan membentuk sikap positif dan rasa menghargai makanan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran di samping memastikan masyarakat peka tentang akibat dan kesannya. Selain itu, amalan berbelanja secara berhemah untuk menggelakkan perbelanjaan berlebihan perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat untuk memastikan tiada pembaziran berlaku akibat makanan yang dibeli tidak sempat dijamah hingga rosak dan terpaksa dibuang. Malahan  amalan ini turut menyumbang kepada penjimatan belanja harian isi rumah tatkala harga barang naik mencanak. Pembelian perlu mengikut keperluan dan elakkan pembelian mengikut kehendak nafsu semata-mata tambahan lagi melibatkan makanan mudah rosak seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Pastikan proses simpanan makanan dilakukan dengan bijak untuk mengelakkan kerosakan mudah berlaku. Selain itu, galakan menjalankan amalan kitar semula boleh menjadikan sisa makanan seharian isi rumah sebagai kompos yang menyumbang nutrien kembali kepada tanah atau sebagai sumber makanan haiwan ternakan. Dari aspek moral, peningkatan pembaziran sisa makanan boleh ditangani melalui perlaksanaan amalan berkongsi dan menderma makanan di samping sebagai inisiatif untuk sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan mengeratkan hubungan satu sama lain.  Sebagai individu yang bertanggungjawab, mengekang sikap gelojoh dan tamak semasa berdepan dengan pelbagai juadah di depan mata membantu mengelakkan berlakunya pembaziran dan elakkan mengambil makanan secara berlebihan hingga tidak mampu untuk dihabiskan.

Diharapkan dengan kerjasama pelbagai pihak masalah peningkatan pembuangan sisa makanan dalam negara diselesaikan dapat ditangani dengan baik demi menjaga kelestarian hidup masyarakat, alam sekitar dan negara sejajar dengan matlamat Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.