Dr. Siti Nubailah Mohd Yusof
Dr. Siti Nubailah Mohd YusofPensyarah Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Kanak-kanak mempunyai autonomi kurang berbanding orang dewasa, dan sering kurang mampu untuk meluahkan pemikiran dan perasaan mereka melalui kata-kata. Jadi bermain boleh menjadi suatu perkara yang penting bagi mereka. Kanak-kanak yang menghadapi masa yang sukar atau menyedihkan, atau yang telah mengalami kesan akibat perpisahan atau kehilangan, boleh dibantu dengan menggunakan permainan supaya mereka dapat berkongsi akan pengalaman yang dilalui. Tidak seperti orang dewasa yang mampu menjelaskan perkara dalam fikiran mereka, kanak-kanak perlu menzahirkan apa yang difikirkan melalui bermain.

Apa itu terapi bermain? Terapi bermain adalah satu bentuk kaunseling atau psikoterapi yang menggunakan permainan untuk berkomunikasi dan membantu orang, terutamanya kanak-kanak, untuk mencegah atau menyelesaikan cabaran psikososial. Ini dipercayai untuk membantu mereka ke arah integrasi sosial, pertumbuhan dan pembangunan yang lebih baik, modulasi emosi, dan resolusi trauma. Oleh demikian, bermain adalah merupakan bahasa bagi kanak-kanak. Bermain adalah satu bentuk keriangan, satu aktiviti yang menyeronokkan yang menaikkan semangat dan memberi sisi pandangan lain terhadap kehidupan. Melalui bermain juga, membantu kanak-kanak mengembangkan ekspresi diri, pengetahuan, potensi dan efikasi kendiri. Selain itu, bermain juga dapat melegakan tekanan perasaan dan kebosanan, menghubungkan kita kepada orang lain dengan cara yang positif, merangsang penerokaan dan pemikiran kreatif dan mengawal emosi.

Kenapa terapi bermain penting bagi kanak-kanak? Menurut Piaget (1926) dalam teori perkembangan kognitif, perkembangan kanak-kanak melalui empat fasa. Dua fasa terawal adalah fasa sensori motor dan fasa pra-operasi yang merujuk kepada usia kanak-kanak di bawah tujuh tahun. Kanak-kanak dalam fasa ini masih kurang perbendaharaan kata. Kekurangan perkataan menyukarkan komunikasi secara lisan kerana fonologi, semantik dan sintak yang belum sempurna dan akan menyebabkan komunikasi antara kanak-kanak dan orang dewasa terbatas. Justeru itu, apabila berlaku sebarang isu atau masalah dalam diri kanak-kanak, mereka lebih cenderung untuk menunjukkan aksi pada perbuatan, ekspresi pada muka dan boleh jadi hanya mendiamkan diri tanpa sepatah kata.

Oleh itu, penggunaan terapi bermain adalah satu alternatif untuk meneroka masalah sosio-emosi kanak-kanak dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada literasi perkataan yang belum mereka peroleh bagi mewakili ekspresi yang ingin disampaikan.