23 tahun yang lalu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima 255 kumpulan pelajar pertama pada 18 Jun 2000. USIM yang dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) ketika itu bermula dengan tiga buah Fakulti iaitu Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam (FDPI) dan Fakulti Syariah dan Kehakiman (FSK)
Misi penubuhan USIM pada masa itu jelas, iaitu untuk memartabatkan pendidikan Islam dan membawa graduannya yang rata-rata datang daripada aliran agama menerjah ke dalam arus perdana pendidikan negara dalam usaha melahirkan muslim profesional.
Hingga kini, tujuan dah halatuju USIM tidak pernah berubah. Dengan lebih 14 ribu pelajar, dan lebih 30 ribu alumni daripada lebih 21 buah negara, USIM terus komited dalam melahirkan ilmuwan Muslim yang berpendidikan sepadu, mampu memimpin masyarakat majmuk, memberikan penyelesaian relevan untuk ummah serta mempunyai potensi yang tinggi menerajui pembangunan negara.
Kini setelah lebih dua dekad beroperasi, sudah sampai masanya untuk USIM terus berdaya saing bagi menjadi pusat rujukan global berteraskan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli menjelang tahun 2025.
Sejak tahun 2013, USIM melalui konsortium i-IQRA’ telah meneroka kerjasama peringkat serantau dan global bersama 4 buah universiti serantau di Indonesia, Brunei, Filipina dna Thailand. Korsortium i-IQRA’ menjadi landasan memperkasakan perkongsian pintar melalui penyelidikan global di kalangan institusi pengajian tinggi serantau dan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Bagi memastikan USIM terus memacu ke hadapan, halatuju strategik USIM memfokuskan empat sasaran utama iaitu melonjakkan keterlihatan USIM, mengukuhkan kemampanan kewangan, memperkasakan komuniti USIM dan menjadikan USIM sebagai universiti prihatin di mata masyarakat tempatan dan global.
Dalam usaha menjadikan USIM sebagai hub global pendidikan, USIM mengetengahkan 3 bidang utama iaitu Perbankan dan Kewangan Islam, Penyelidikan dan Pendidikan Halal, dan Pendidikan Islam serta dakwah bagi golongan Orang Kurang Upaya.
Bidang tumpuan ini dilengkapkan lagi dengan rangkaian disiplin akademik di USIM, merangkumi bidang Pengajian Islam, Sains Sosial, Sains dan Teknologi, serta bidang Perubatan dan Kesihatan. Melalui 9 fakulti akademik, USIM menawarkan portfolio kepakaran komprehensif yang direka untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi di peringkat global.
Pelbagai inisiatif pengantarabangsaan dijalankan pada tahun 2023 bagi memastikan misi USIM sebagai pusat rujukan global terus direalisasikan. Antaranya kerjasama USIM dan University of Gloucestershire (UOG) dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam, meliputi mobiliti Pensyarah dan kerjasama penyelidikan, penerbitan serta pertukaran kakitangan dan pelajar.
Kerjasama turut dijalankan bersama The London Central Mosque Trust Limited and The Islamic Cultural Centre (ICCUK) meliputi penawaran program akademik berbentuk kursus pendek atau micro-credential berkaitan asas pengajian Islam kepada kumpulan Muslim baharu yang meningkat saban tahun di kota London.
USIM turut melangkah kehadapan bersama Cardiff Metropolitan University (CMU) dalam bidang robotik khususnya dalam pendidikan inklusif bagi golongan orang kurang upaya (OKU). Kerjasama ini memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi robotik dan pendidikan STEM untuk meningkatkan peluang pembelajaran terutamanya bagi golongan OKU.
Pada bulan Mei 2023, USIM menyertai delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diketuai oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi ke Kazan Forum 2023 bagi menjalinkan kerjasama bersama universiti dan agensi di Rusia khususnya dalam bidang halal, kewangan dan perbankan Islam.
Usaha kerjasama antarabangsa ini adalah bagi mengangkat keterlihatan USIM serta pendidikan tinggi Malaysia di mata dunia. Ia sekaligus memenuhi hasrat asal penubuhan USIM dengan memartabatkan pendidikan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dan membawanya ke dalam arus pendidikan di peringkat antarabangsa.
Sesi pembelajaran menggunakan sistem simulasi kewangan di Makmal Pelaburan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Pelajar program Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa sedang menggunakan sistem Falak dan Astronomi di Makmal Digital Falak, USIM