NILAI, 30 Mei 2014 – YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan mengakhiri tugas rasmi sebagai Naib Canselor USIM pada 31 Mei 2014 (Sabtu) apabila diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dilantik menerajui Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) sebagai Ketua Pengarah PendidikanTinggi (KPPT) yang baharu menggantikan Ketua Pengarah kini, Prof. Dato’ Dr. Morshidi Sirat yang akan bersara.

Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail merupakan anak kelahiran Jitra, Kedah ini adalah lulusan dengan distinction Biologi, Universiti Nevada, Ijazah Sarjana dalam bidang Mikrobiologi, Universiti Indiana dan memperoleh PhD di Universiti Nevada dalam bidang Biologi Selular dan Molekul pada tahun 1986 telah memulakan tugas rasmi sebagai Naib Canselor USIM pada 1 Disember 2012 sebagai Naib Canselor Wanita Pertama dan Ketiga di Universiti ini.

Kepimpinan dan ketokohan beliau sepanjang menjadi Naib Canselor USIM amat disegani dan dihormati. Antara penekanan penting yang diberikan oleh beliau semasa menjadi Naib Canselor adalah penjenamaan dan memposisi USIM sebagai sebuah Universiti yang unik, ulung, dikenali dan terkehadapan melalui integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam program akademiknya. Sebagai sebuah Universiti yang berteraskan Pendidikan Islam, kekuatan ini dimanfaatkan untuk memperkasa Sains Islam melalui slogan beliau “USIM : Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan”.

Beliau turut merangka Pelan Strategik USIM (2013-2025) untuk melihat agenda integrasi Naqli dan Aqli terus diperkukuhkan seterusnya meletakkan USIM sebagai universiti berteraskan Islam yang menjadi pakar rujuk (Referred), dihormati (Respected) dan relevan (Relevent) menjelang tahun 2025. Idea beliau dalam menubuhkan Institut Sains Islam (ISI), Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dan Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) serta perhatian serius kepada pembangunan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan di kalangan ahli akademik dan pelajar telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Dalam bidang penyelidikan dan inovasi, USIM antaranya berjaya membida geran berjumlah RM 5 juta di bawah Niche Research Grant Scheme (NRGS) untuk penyelidikan Makanan Sunnah (Prophetic Food); Pingat Emas dan Anugerah Khas di British Invention Show (BIS) London; Pingat Emas di pameran penyelidikan utama seperti PECIPTA, I-TEX, I-INOVA dan NRIC; penubuhan Kerusi Akademik (Professorial Chair), Anugerah Akademik Negara kategori Penulisan Jurnal Terbaik, Buku Terbaik di Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) serta pembangunan Klinik Pakar dan Pusat Hemodialisis melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui pembiayaan wakaf.

USIM turut diberi kepercayaan oleh KPM untuk menerajui Konsortium Institusi PengajianTinggi bagi Kualiti Akademik dan Penyelidikan Lanjutan (i-IQRA); pengiktirafan oleh University Cambridge melalui paparan USIM dalam penerbitan khasnya, Excellence in Higher Education dan menerima Anugerah Best Regional University dan Best Manager of the Year oleh Dewan Perniagaan Eropah (EBA). Atas pencapaian cemerlang sebagai seorang saintis, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail turut dianugerahkan Honorary Degree Doctor of Science (DSc) dari Universiti of Glasgow, Scotland pada Jun 2013 dan Best Scientist  2013 semasa Majlis Anugerah Socrates, Oxford London pada penghujung Disember 2013.

Pengalaman kepimpinan beliau sebagai Penasihat di WHO untuk vaksin dan penyakit berjangkit sejak 2002; ahli Third World Academy of Sciences (TWAS); Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) (2008-2012); Timbalan Presiden di Akademi Sains Negara (ASN) (2012-2014) dan Naib Canselor USIM (2012-2014) akan digunakan sebaiknya untuk memacu transformasi pengajian tinggi Negara ke tahap lebih cemerlang. USIM mengucapkan selamat maju jaya kepada Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail.

Detik Clock Out

Tepat jam 12 malam pada 1 Jun 2014 telah berlangsungnya majlis serba ringkas penuh syahdu di Lobi Canselori bagi detik clock out tamatnya perkhidmatan YBhg Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail sebagai Naib Canselor USIM yang dihadiri oleh warga USIM termasuklah kakitangan pentadbiran, kakitangan akademik dan pelajar. Ketibaan beliau disambut dengan bacaan doa oleh anak PERMATA INSAN diiringi ucapan ringkas yang bermakna sebagai ucapan terakhir. Tabik hormat oleh PALAPES USIM mengakhiri majlis disusuli dengan lambaian kebanggaan oleh seorang mantan Naib Canselor USIM buat seluruh warga kerja USIM.

DISEDIAKAN OLEH :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA