NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman apabila seramai 12 pelajar Tahun Tiga Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah (FPQS) mengadakan lawatan akademik ke Maahad Tahfiz Amirul Hafiz, Kasturi Height, Nilai pada 29 Jun 2026 baru-baru ini.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada tugasan akademik bagi kursus Metodologi Pengajaran al-Quran dan Tahfiz  yang bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar berhubung sistem pengurusan dan kaedah pendidikan tahfiz di peringkat komuniti.

Kunjungan tersebut disambut oleh pihak pengurusan maahad yang diketuai oleh Encik Irwan Shah, Pengerusi Maahad Tahfiz Amirul Hafiz, bersama tenaga pengajar, Ustaz Muhammad Naimi dan Ustaz Mohamad Fikri. Rombongan pelajar USIM turut menjalankan sesi temu bual dan pemerhatian bagi memahami secara lebih dekat ekosistem pembelajaran tahfiz yang diamalkan di institusi berkenaan.

Lawatan akademik ini menjadi platform penting kepada pelajar USIM untuk menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan amalan sebenar di lapangan. Para pelajar berpeluang meneliti kaedah hafazan, sistem pemantauan pelajar 24 jam serta cabaran yang dihadapi institusi tahfiz dalam memastikan kelestarian operasi dan kualiti pengajian al-Quran.

Antara pengisian utama lawatan termasuk sesi perkenalan, temu bual bersama pentadbir maahad, pemerhatian terhadap sistem pengajian, sesi tasmik serta dialog perkongsian pengalaman. Pihak maahad turut berkongsi bahawa sistem pengajian mereka bermula seawal jam 4.30 pagi, dengan pendekatan nazirah sebelum hafazan, diikuti hafalan pada waktu malam dan tasmik kepada guru pada keesokan hari.

“Lawatan ini bukan sekadar akademik, tetapi satu jambatan silaturahim antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat dalam memartabatkan al-Quran. Kami amat mengalu-alukan kunjungan pelajar USIM ini dan berharap ia menjadi platform perkongsian ilmu serta kerjasama yang berterusan dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang,” berkata Encik Irwan Shah.

Maahad Tahfiz Amirul Hafiz merupakan sebuah institusi tahfiz komuniti yang mula beroperasi sebagai cawangan kedua di Nilai pada tahun 2019. Walaupun bergerak dalam kapasiti sederhana, maahad ini terus komited melahirkan generasi huffaz melalui sistem pengajian yang tersusun dan pemantauan pelajar secara berterusan.

Program diakhiri dengan penyerahan plak penghargaan daripada pelajar USIM kepada pihak Maahad Tahfiz Amirul Hafiz sebagai tanda terima kasih atas kesudian menerima kunjungan dan berkongsi pengalaman.

Melalui lawatan ini, USIM terus memperkukuh aspirasi Integrasi Ilmu dengan melahirkan pelajar yang bukan sahaja menguasai ilmu al-Quran secara akademik, tetapi turut memahami realiti masyarakat, cabaran institusi tahfiz dan keperluan membina generasi huffaz yang berilmu, beradab dan berdaya saing.

Oleh: Qardhawi