Bandar Baru Nilai, 22 Februari 2011 – “Kejayaan Universiti adalah kejayaan mahasiswa dan mahasiswi semua” begitulah ungkapan yang diluahkan oleh Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM di atas kejayaan dan kelancaran proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tahun 2011 semalam. Proses pemilihan secara online melalui sistem e-UNDI ini bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang berjalan dengan teratur dan aman.

Sebanyak 24 kerusi dipertandingkan pada tahun ini menyaksikan seramai 13  calon bertanding untuk merebut 8 kerusi kawasan umum manakala 17 calon bertanding untuk merebut 16 kerusi kawasan fakulti. Pemilihan pada kali ini juga menyaksikan sebanyak 7 fakulti menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Fakulti Pergigian FPG).

Seramai 4920 pelajar yang layak mengundi pada tahun ini dengan mengambil kira keseluruhan pelajar pra-siswazah dan pelajar siswazah. Keseluruhan pelajar turun mengundi adalah seramai 4349 menjadikan peratusan mengundi pada tahun ini sebanyak 88.39%.

Dengan mendapat undian sebanyak 4231 undian, Saudara Ibrahim Hussin Ibrahim Bin Hussin daripada Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) telah mendapat undian tertinggi bagi kawasan umum manakala bagi satu-satunya fakulti yang bertanding pada tahun ini iaitu Fakulti Sains dan Teknologi telah menyaksikan seramai 4 orang calon bertanding untuk merebut kerusi kawasan fakulti dengan kemenangan berpihak kepada Saudara Azim Faris bin Ab Rahim dengan undian tertinggi sebanyak 425 undian dan Saudari Aminah Alias dengan undian sebanyak 420 undi.

Fakulti Pergigian (FPG) dan Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) telah dianugerahkan sijil penghargaan peratusan turun mengundi tertinggi dengan masing-masing mencatat 100% bagi FPG dan 96% bagi FPQS. Keputusan undian diumumkan oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar bagi tahun 2011.

Dalam pada itu Y.Bhg Profesor Dato’ Muhamad Muda, Naib Canselor USIM melahirkan rasa syukur kerana pemilihan pada kali ini berjalan dengan begitu lancar dan tersusun. Ini membuktikan bahawa para mahasiswa USIM menyokong sistem e-UNDI yang telah digunapakai semenjak tahun 2006 lagi seterusnya menguatkan lagi bahawa sistem e-UNDI adalah yang terbaik.

“Tahniah diucapkan kepada calon-calon yang telah menang pada hari ini. Kepada mereka yang telah menang, ini merupakan mandat, tanggungjawab serta amanah untuk memimpin mahasiswa USIM untuk terus melangkah kehadapan dan teruskan warisan dengan bekerjasama untuk membangunkan universiti ketahap yang lebih tinggi. Kepada yang tewas, tahniah juga diucapakan kerana ini membuktikan mahasiswa pada hari ini berani untuk tampil kehadapan dan teruskan usaha anda untuk terus bergiat aktif di dalam membangunkan nama universiti” Tambahnya lagi.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027