TANJUNG MALIM – Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Wajihah Nordin, 21, mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Terbaik Universiti Awam sempena Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (KAMAR) 2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari 7 hingga 9 Ogos lalu.
Pengiktirafan tersebut diterima menerusi penglibatan Nurul Wajihah sebagai wakil USIM dalam konvensyen anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan mahasiswa sebagai penggerak budaya integriti dan antirasuah.
Menurut Wajihah, penyertaan dalam Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (KAMAR) 2026 memberikan pengalaman baharu kepadanya, khususnya melalui pelbagai pengisian yang mengupas aspek integriti, antirasuah serta peranan mahasiswa dalam menangani isu rasuah.
“Saya sangat bersyukur menerima pengiktirafan ini dan menganggapnya sebagai penghargaan terhadap usaha yang telah saya berikan sepanjang mengikuti Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (KAMAR) 2026.
“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang tiga hari dua malam konvensyen ini, khususnya melalui perbincangan dan perkongsian pengalaman bersama peserta daripada pelbagai institusi,” katanya.
Antara pengisian yang memberikan pengalaman bermakna kepada Wajihah ialah sesi Perbincangan dan Pembentangan Kumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator SPRM.
Dalam sesi tersebut, peserta dibahagikan kepada enam kumpulan bagi membincangkan isu berkaitan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) sebelum membentangkan hasil perbincangan di hadapan panel dan peserta lain.
“Kami perlu berbincang dalam kumpulan dan membentangkan hasil perbincangan di hadapan panel serta kumpulan lain. Selepas pembentangan, panel turut mengemukakan soalan berkaitan isu yang dibincangkan.
“Situasi ini mengajar saya untuk berfikir dengan lebih kritis, yakin menyampaikan pandangan serta bekerjasama dalam menghasilkan keputusan yang terbaik,” katanya.
Tambahnya, peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi turut membuka ruang untuk bertukar pandangan serta memahami pendekatan berbeza dalam memperkukuh agenda integriti dan antirasuah dalam kalangan mahasiswa.
Wajihah berharap pengiktirafan yang diterimanya dapat menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih berkesan dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kesedaran terhadap isu rasuah, malah berani memainkan peranan sebagai agen perubahan.
“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menghasilkan inisiatif yang lebih kreatif dan relevan dalam memperkukuh budaya integriti serta antirasuah dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (KAMAR) 2026 menghimpunkan seramai 120 wakil daripada 120 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia yang terdiri daripada universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
Penganjuran konvensyen tersebut menjadi platform dalam memperkukuh kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan integriti dan antirasuah, selain memperkasakan peranan mereka sebagai agen perubahan dalam usaha membentuk masyarakat yang bebas daripada rasuah.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar
