MOSCOW – Kepakaran Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dalam bidang bioetika dan perubatan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau diundang oleh Jabatan Falsafah Sosial, Peoples’ Friendship University of Russia (RUDN University), Moscow, Rusia, untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk “Gender Ideology: Contemporary Social and Ethical Challenges to Medicine and Islam” pada 23 Jun 2026 baru-baru ini.

Profesor Dr. Rafidah Hanim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Etika Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkongsi pandangan secara dalam talian mengenai cabaran sosial dan etika yang timbul susulan perkembangan ideologi gender serta implikasinya terhadap bidang perubatan dan perspektif Islam.

“Dalam syarahan tersebut, saya membincangkan persoalan asas berkaitan identiti manusia, sama ada ia merupakan hasil pembentukan sosial secara bebas atau berakar pada realiti biologi dan ontologi manusia. Isu tersebut perlu diteliti secara kritis memandangkan pengaruhnya yang semakin meluas terhadap institusi sosial, struktur kekeluargaan dan amalan perubatan kontemporari,”

“Saya turut menghuraikan isu tersebut melalui dua kerangka utama, iaitu bioetika dan pemikiran Islam, dengan memberi perhatian kepada cabaran sosial serta etika yang dihadapi dalam dunia perubatan moden,” tambah beliau lagi.

Antara topik utama yang diketengahkan ialah kedudukan perubatan sebagai medan pertembungan ideologi, khususnya apabila idea berkaitan gender diterapkan dalam protokol perubatan sehingga mempengaruhi standard etika penjagaan kesihatan serta hubungan antara doktor dan pesakit.

Syarahan tersebut turut menyentuh isu krisis antropologi, termasuk cabaran yang dihadapi oleh perubatan moden dalam menyeimbangkan hak autonomi individu dengan tanggungjawab mempertahankan hakikat biologi yang objektif.

“Saya turut mengetengahkan perspektif Islam sebagai satu kerangka alternatif dalam memahami bioetika dan gender. Perspektif tersebut dilihat bukan sekadar sebagai pegangan agama yang terasing, sebaliknya sebagai satu sistem nilai dan falsafah yang mampu memelihara keutuhan fitrah serta martabat manusia dalam mendepani krisis identiti global,” tambah beliau.

Syarahan umum tersebut turut membuka ruang kepada perbincangan ilmiah mengenai bagaimana aliran ideologi global mentakrifkan semula konsep kemanusiaan, keluarga dan tanggungjawab perubatan dalam masyarakat moden.

“Ideologi gender bukan lagi isu yang terbatas kepada sesebuah negara atau agama. Ia merupakan kebimbangan bersama masyarakat dunia yang memerlukan penyelidikan yang berintegriti, perbincangan ilmiah yang matang serta kerjasama antara tamadun bagi memelihara martabat dan kesejahteraan insan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan tersebut bukan sahaja memperluas jaringan akademik antarabangsa USIM, malah berpotensi membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran kepakaran, diplomasi ilmu dan pembangunan dasar berkaitan isu semasa masyarakat Islam.

Penganjuran syarahan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik USIM di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan peranan universiti dalam menyumbang kepada wacana global berkaitan bioetika, perubatan dan pemikiran Islam.