NILAI – Suasana di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Semarak (PKAYMS) bertukar ceria apabila barisan mahasiswa Kelab UNESCO, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hadir menyantuni penghuni pusat jagaan tersebut melalui program “Sejuta Senyuman, Seribu Harapan” yang berlangsung pada 18 April 2026 baru-baru ini.

Program yang melibatkan seramai 37 ahli jawatankuasa Kelab UNESCO sesi 2025/2026 itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk meluangkan masa berkualiti bersama 65 orang anak yatim dan asnaf di PKAYMS. Lebih daripada sekadar aktiviti tahunan, program ini menjadi wadah menyemai nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Program anjuran bersama Exco Jaringan Global dan Komuniti serta Exco Pendidikan dan Warisan ini bertujuan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kepekaan sosial dan kemanusiaan yang tinggi.

Sepanjang program berlangsung, para mahasiswa diberi peluang mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan melalui interaksi secara langsung bersama anak-anak PKAYMS. Aktiviti yang dijalankan turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami realiti kehidupan masyarakat yang memerlukan perhatian, sokongan dan kasih sayang.

Prof. Madya Ts. Dr. Sakinah Ali Pitchay selaku Penasihat Kelab UNESCO dan juga pegawai pengiring ditemui berkata, pendidikan sebenar tidak terhad di dalam dewan kuliah semata-mata, sebaliknya turut berlaku melalui pengalaman bersama masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa kemiskinan dan keterbatasan latar belakang keluarga bukanlah penghalang kepada kejayaan. Sebaliknya, cabaran tersebut boleh menjadi pendorong kepada seseorang untuk terus berusaha, membina keyakinan diri dan mengejar impian.

Katanya, program seumpama ini menjadi medan pembelajaran berasaskan pengalaman yang mampu membentuk jati diri mahasiswa, mengasah empati serta melahirkan insan yang lebih prihatin terhadap denyut nadi masyarakat.

Sesi program dimulakan dengan aktiviti suai kenal yang berlangsung dalam suasana mesra dan ceria. Aktiviti tersebut berjaya memecahkan rasa segan antara mahasiswa dan anak-anak PKAYMS, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih akrab sepanjang program berlangsung.

Pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif turut dirangka bagi mencabar minda, memupuk semangat kerjasama serta menceriakan anak-anak yang terlibat. Gelak tawa yang memenuhi ruang pusat jagaan menjadi bukti bahawa kehadiran mahasiswa USIM membawa makna yang cukup besar kepada mereka.

Selain aktiviti riadah dan santai, program ini turut menyuntik motivasi melalui perkongsian kisah tokoh-tokoh inspirasi. Perkongsian tersebut mengajak anak-anak PKAYMS untuk terus bermimpi, berusaha dan percaya bahawa masa depan yang lebih baik sentiasa terbuka buat mereka.

Walaupun pertemuan berlangsung dalam tempoh yang singkat, kesan yang ditinggalkan cukup bermakna. Bagi mahasiswa, setiap aktiviti yang dilaksanakan menjadi pengalaman berharga dalam memahami erti syukur, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

Program ini turut mengingatkan bahawa peranan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada usaha menyumbang kembali kepada masyarakat. Senyuman yang terukir pada wajah anak-anak PKAYMS menjadi dorongan kepada Kelab UNESCO USIM untuk terus memperkukuh budaya kesukarelawanan dan khidmat komuniti.

Melalui inisiatif ini, Kelab UNESCO USIM membuktikan bahawa sekecil-kecil sumbangan mampu memberi makna besar kepada kehidupan insan lain, khususnya mereka yang memerlukan perhatian, sokongan dan harapan.

Oleh: Wan Nisa Farisya binti Wan Mahadzar