NILAI, 12 April 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghargai dan meraikan karya penulisan para penulis yang terdiri daripada pelbagai genre yang disertai oleh warga pendidik mahupun pentadbiran dalam satu Majlis Kalam Bitara yang berlangsung di Lounge Executive Canselori.

Majlis yang diterajui oleh Bahagian Penerbitan ini diadakan dalam suasana ringkas dan terhad mengikut SOP pandemik Covid-19.

Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, jumlah penerbitan USIM yang sudah menjangkau lebih 800 tajuk akan terus meningkat dengan pelbagai disipilin ilmu yang akan memberikan impak kepada ummah keseluruhannya.

“Saya yakin tajuk-tajuk ini akan terus berkembang dengan pelbagai penemuan baru sejajar dengan perkembangan yang berlaku dalam bidang kajian kerana kita perlu menjajarkan penyelidikan itu dalam bentuk perbukuan yang hasilnya akan dinikmati oleh ummah”.

Jelasnya lagi,walaupun kita tidak mengumpul janaan hasil penulisan seperti penulis-penulis Barat, tetapi sekurang-kurangnya nilai ilmu yang ada dalam buku tersebut menjadi manfaat terbesar kepada umat Islam seluruhnya. Dan hasil yang tertuai daripada penulisan tersebut juga akan dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat kita yang akan datang yang ilmunya mengalir terus menerus walaupun tanpa kewujudan kita.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada para penulis, dan berharap dengan jumlah pembayaran royalti yang paling tinggi yang pernah dibayar ini iaitu sebanyak RM 261,748.46 akan menjadi sumber inspirasi kepada penulis yang lain, akan menjadi motivasi kepada para ilmuwan untuk terus menghasilkan karya-karya yang bermutu”.

“Saya yakin bukan imbuhan ribuan yang dicari atau jutaan yang dicari oleh para ilmuwan kita, tetapi cukuplah ia menjadi sekadar penyokong dan berkembang tanpa henti bagi menghasilkan buku-buku yang lebih baik mutunya”, tambah Dato Ridza.

Majlis turut menyampaikan anugerah Buku Terlaris bagi jualan 2017 hingga 2019 iaitu buku bertajuk Faraid Pembahagian Pusaka Dalam Islam (kategori Bahasa Melayu) hasil karya Encik Zahari Mahad Musa & Prof. Madya Dr. Mushaddad Abdullah. Buku bertajuk Islamic Television Broadcasting A Longstanding Aspiration (kategori Bahasa Inggeris) hasil karya Dr. Osama Kanaker & Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, dan Taqrib Adilah An-Naqliyah (kategori Bahasa Arab) hasil karya Dr. Ahmad Abdul Malek.

Manakala bagi Anugerah Penulis Aktif pula dimenangi oleh Prof. Dr. Azman Ab Rahman Prof. Madya (kategori Bahasa Melayu), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali kategori Bahasa Inggeris) dan Prof. Dr. Rosni Samah (kategori Bahasa Arab).

Turut hadir ke majlis ini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Mohammad Hamiruce Marhaban, Ketua Bahagian Penerbitan Puan Hariza Mohd Yusof dan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Encik Hammad Farhi Mohd Saudi.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan