NILAI, 23 September 2021– Susulan daripada laporan media tempatan bertarikh 21 September 2021 berkaitan kekangan kewangan seorang pelajar Nurul Mizani Sofian, 19 untuk membayar yuran pendaftaran bagi kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2021/2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), USIM telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pelajar tersebut bagi membolehkan hasrat Nurul Mizani Sofian mendaftar ke USIM tercapai.

Pihak USIM mengambil maklum mengenai situasi semasa pelajar ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM (PWZ USIM) apabila beliau memulakan pengajiannya kelak. Untuk makluman, PWZ USIM menyediakan bantuan kepada empat kumpulan asnaf iaitu fakir, miskin, amil dan fisabilillah.  

Selain PWZ, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) turut memainkan peranan penting untuk memastikan kebajikan pelajar diberikan perhatian dan keutamaan. Beberapa manfaat yang boleh dimohon melalui BHEP adalah Pinjaman Kecemasan, Food Bank USIM, Food Bank Asnaf dan bantuan komputer riba berdasarkan kepada pendapatan isi rumah pelajar B40 (tertakluk kepada penyumbang).

Bagi kemudahan rawatan, BHEP akan memberikan bantuan melalui sumbangan kemasukan ke hospital, sumbangan ehsan dan sumbangan pembedahan penyakit kronik/peralatan pembedahan. Pelajar juga akan dilindungi oleh skim perlindungan takaful pelajar sepanjang bergelar pelajar aktif USIM.

Nurul Mizani memaklumkan bahawa beliau telah menerima sumbangan daripada orang ramai dan telah membuat pengesahan setuju terima tawaran dan akan menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Semester 1, Sesi Akademik 2021/2022.

USIM sentiasa bersedia meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan demi memastikan pelajar dapat menyambung pengajian dengan lancar tanpa sebarang kekangan dan tidak menjadikan alasan kurang berkemampuan sebagai alasan untuk tidak mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajian mereka.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan