MELAKA 27 Sept. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kalinya muncul johan Debat Alam Sekitar Institusi Pengajian Tinggi ke-21 selepas berjaya menewaskan Universiti Malaya (UM) pada pusingan akhir yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), di sini hari ini.

Kemenangan sulung USIM yang bertindak mewakili pihak kerajaan itu diraih selepas usul tajuk perbahasan Kelestarian Alam Sekitar Membina Ketamadunan Bangsa diterima panel hakim, sekali gus meletakkan UM selaku pembangkang di tempat kedua.

Pendebat dari USIM yang terdiri daripada Mohamad Shah Izad Saleh, Mohd. Faiz Hussim Shokri, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli dan Muhd. Irhammudin Ibrahim membawa pulang wang tunai RM8,000, piala pusingan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta piala iringan.

Manakala, pendebat UM yang muncul sebagai naib juara membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala iringan dan bagi tempat ketiga dan keempat milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala iringan.

Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM1,500, piala Ketua Pengarah Alam Sekitar dan hadiah iringan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr. Abdul Rahim Nik mewakili Menteri, Datuk Seri Douglas Unggah Embas.

Abdul Rahim semasa berucap pada majlis itu berkata, pendedahan mengenai kesedaran alam sekitar kepada generasi muda perlu diperluaskan dalam usaha mengurangkan kadar pencemaran alam pada masa akan datang.

Menurut beliau, sebagai generasi pelapis, mereka akan memikul tanggungjawab merancang dan melaksana pembangunan negara secara bijak agar tidak menjejaskan alam sekitar

Sumber: Utusan Malaysia