KOTA KINABALU – Seramai 40 usahawan dari Kota Kinabalu dan Tawau menyertai Bengkel Kewangan dan Keusahawanan Halal anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan MUIS Halal Hub yang berlangsung selama tiga hari, bermula 27 hingga 29 Jun 2026.
Program ini dirangka khusus bagi memperkukuh keupayaan usahawan dalam pengurusan kewangan syarikat, di samping memanfaatkan pensijilan halal Malaysia sebagai strategi pengembangan perniagaan yang lebih berdaya saing.
Bengkel yang disertai usahawan daripada pelbagai sektor industri itu telah dirasmikan oleh Pengerusi MUIS Halal Hub, Ustaz Mohamad Sidik bin Awang Adi. Turut hadir ialah pasukan pengurusan dan auditor MUIS Halal Hub yang berkongsi pendedahan langsung berkaitan kepentingan pematuhan terhadap standard pensijilan halal Malaysia.
Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani bersama Dr. Muhammad Nizam Awang, dengan fokus kepada pembangunan kapasiti usahawan Muslim dalam ekosistem ekonomi halal.
Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Mohamad Sidik berkata, pensijilan halal perlu dilihat sebagai nilai tambah strategik yang mampu membantu usahawan meluaskan pasaran, bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan semata-mata.
“Pensijilan halal bukan sekadar logo pada produk, tetapi merupakan instrumen strategik yang mampu membuka pasaran lebih luas, termasuk ke peringkat antarabangsa. Justeru, usahawan perlu dilengkapi bukan sahaja dengan kefahaman syariah, malah kecekapan mengurus kewangan syarikat secara profesional,” katanya.
Sepanjang bengkel berlangsung, sesi pemindahan ilmu telah dikendalikan oleh barisan pensyarah USIM yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan dan keusahawanan, iaitu Dr. Hisham Sabri dan Prof. Madya Dr. Nur Ainna Ramli.
Para peserta didedahkan dengan modul praktikal merangkumi analisis penyata kewangan, pengurusan aliran tunai serta pembinaan pelan pengembangan perniagaan berasaskan nilai pensijilan halal Malaysia dan prinsip patuh syariah.
Selain itu, sesi interaktif dan konsultasi ringkas turut diadakan bagi membolehkan para usahawan mendapatkan panduan bersasar terhadap cabaran perniagaan yang dihadapi. Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk memahami kaedah pengurusan kewangan yang lebih sistematik serta strategi memanfaatkan pensijilan halal sebagai kelebihan daya saing.
Salah seorang peserta dari Tawau yang mengusahakan perusahaan makanan sejuk beku melahirkan rasa syukur atas penganjuran bengkel tersebut kerana ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan secara langsung dalam perniagaannya.
“Saya sudah memiliki sijil halal, tetapi belum tahu bagaimana mahu menjadikannya sebagai kelebihan daya saing sebenar dalam perniagaan. Ilmu kewangan dan strategi yang dikongsikan pensyarah USIM sangat praktikal dan terus boleh diaplikasikan,” katanya.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi memperluas impak pembangunan kapasiti usahawan Muslim di Sabah, sekali gus menyokong pertumbuhan ekosistem ekonomi halal negara secara lebih menyeluruh.
Penganjuran bengkel ini juga mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh peranan ilmu, penyelidikan dan kepakaran akademik bagi memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam membangunkan usahawan yang berdaya saing, berintegriti dan memahami keperluan industri halal semasa.

