NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen dalam membina ekosistem kampus yang inklusif, mesra akses dan menghargai kepelbagaian melalui penganjuran Program Inklusif Perpustakaan USIM Bersama Warga OKU USIM di Pentas Ruknu Arabi, Perpustakaan USIM pada 3 Julai 2026 baru-baru ini.
Program anjuran Perpustakaan USIM itu menghimpunkan kira-kira 650 peserta secara hibrid, melibatkan penyertaan fizikal dan dalam talian, sekali gus mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memastikan akses ilmu dapat dinikmati oleh semua warga kampus tanpa mengira keupayaan.
Program ini dianjurkan sebagai platform meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan inklusiviti, selain memperkukuh budaya saling memahami, menghormati dan menyokong kepelbagaian dalam komuniti kampus.
Antara pengisian utama program ialah Human Library Siri 4/2026 bertemakan “Agenda Inklusiviti: Antara Sunnah yang Dilupakan” yang menampilkan Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, sebagai panel jemputan. Sesi tersebut dikendalikan oleh Encik Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.
Melalui perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada perspektif Islam mengenai nilai inklusiviti serta kepentingan memelihara hak dan martabat golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Program ini turut menekankan bahawa amalan menghormati, memudahkan urusan dan menyantuni golongan OKU merupakan nilai yang telah lama dianjurkan dalam Islam, namun perlu terus diperkukuh dalam kehidupan seharian.
Bagi memastikan penyampaian ilmu dapat diakses oleh semua peserta, sesi Human Library turut menyediakan khidmat jurubahasa isyarat, mencerminkan komitmen Perpustakaan USIM dalam melaksanakan program yang benar-benar inklusif dan mesra akses.
Selain sesi perkongsian ilmu, peserta fizikal turut mengikuti lawatan sekitar Perpustakaan USIM bagi memperkenalkan kemudahan, ruang pembelajaran dan perkhidmatan yang disediakan untuk menyokong keperluan pengguna, termasuk warga OKU.
Ketua Pustakawan USIM, Datin Nor Azzah Momin berkata, penganjuran program ini selari dengan aspirasi Perpustakaan USIM untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif serta memastikan perpustakaan dapat diakses oleh semua lapisan pengguna.
“USIM berhasrat untuk mengadakan sesi dialog bersama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mendapatkan maklum balas serta berkongsi pandangan mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan di perpustakaan. Inisiatif ini bertujuan memastikan akses kepada kemudahan dan sumber ilmu dapat dinikmati oleh semua pengguna secara lebih inklusif,” katanya.
Penganjuran program ini memperlihatkan peranan Perpustakaan USIM bukan sekadar sebagai pusat sumber ilmu, malah sebagai ruang pembelajaran yang penyayang, responsif dan menghargai kepelbagaian, selaras dengan aspirasi USIM dalam melahirkan komuniti kampus yang berilmu, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Oleh: Siti Zahirah Zamri


