NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Islam Negeri (UIN) Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi, Indonesia dalam usaha memperluas jaringan kerjasama akademik Islam di peringkat serantau. Majlis berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor pada semalam 14 Julai 2026.

Majlis tersebut menandakan pembaharuan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi selepas perjanjian terdahulu berakhir pada tahun 2022. Pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik berasaskan kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, manakala UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi diwakili oleh Dekan Fakulti Ushuluddin, Adab dan Dakwah, Prof. Dr. Syafwan Rozi, M.Ag.

Melalui MoU ini, USIM dan UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk mobiliti pelajar, staf akademik, penyelidik dan pentadbir, pembangunan program akademik bersama, penyelidikan dan inovasi, pertukaran penerbitan ilmiah serta sumber akademik.

Kerjasama ini turut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada warga kedua-dua universiti untuk terlibat dalam program mobiliti, pembangunan profesional, penerbitan bersama dan perkongsian kepakaran yang mampu meningkatkan daya saing institusi di peringkat antarabangsa.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menegaskan bahawa MoU tersebut bukan sekadar pembaharuan perjanjian, sebaliknya menjadi platform penting bagi memperkasa kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui kolaborasi yang lebih tersusun serta berimpak tinggi.

“MoU ini bukan sekadar dokumen, tetapi satu permulaan kepada hubungan strategik yang kita harapkan dapat diterjemahkan kepada kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan insan yang lebih bermakna antara USIM dan UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa persamaan visi kedua-dua institusi dalam memartabatkan pendidikan tinggi Islam, memperkukuh penyelidikan dan membangunkan modal insan ummah akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada kedua-dua universiti.

Pemeteraian MoU ini memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti Islam yang aktif memperluas jaringan global, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi serantau. Ia juga selari dengan aspirasi USIM dalam mengangkat Integrasi Ilmu melalui kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada ummah serta masyarakat antarabangsa.

Oleh: Zaharah Zainal Abidin