NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan seramai 3,363 graduan sempena Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 6 November 2026 di Dewan Tuanku Canselor, USIM hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,709 merupakan graduan peringkat sarjana muda, manakala 654 graduan terdiri daripada peringkat siswazah melibatkan program diploma lepasan ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

Majlis konvokesyen kali ini mengangkat tema “Integrasi Ilmu Tonggak Kebitaraan Graduan”, yang mencerminkan aspirasi USIM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja unggul dari sudut akademik, malah mempunyai kekuatan nilai, akhlak, kemahiran dan jati diri.

Tema berkenaan turut menzahirkan pendekatan pendidikan USIM yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam membentuk graduan yang mampu berfikir secara holistik, beradaptasi dengan perubahan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM berlangsung dalam tujuh sidang sepanjang empat hari, melibatkan graduan daripada pelbagai bidang pengajian di peringkat sarjana muda dan siswazah.

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, selaku Tuanku Canselor USIM, berkenan mencemar duli berangkat ke Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM, bersama YAM Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, selaku Pro-Canselor USIM.

Sidang Canselor turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Da‘wah dan Pengurusan Islam kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Gelaran Profesor Emerita kepada Prof. Ts Dr Norita Norwawi.

Turut diadakan pengurniaan anugerah utama universiti kepada graduan cemerlang iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Al-Abrar.