Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan penceramah bebas dan kerap diundang sebagai penceramah dalam rancangan-rancangan agama di beberapa stesen televisyen seperti Tanyalah Ustazah TV9, Al-Kulliyyah TV3 dan Soal Wanita, TV Al-Hijrah. Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM sejak tahun 2016 sehingga kini. Berdasarkan kepakaran dan kredibiliti beliau dalam bidang hak asasi manusia, khususnya hak wanita dan permasalahan masyarakat, ternyata beliau antara ikon USIM yang banyak memberi inspirasi bukan sahaja kepada mahasiswa malah seluruh warga USIM. Komitmen beliau dalam bidang ini banyak dirakamkan menerusi aktiviti penyelidikan, penerbitan, forum dan perbincangan. Ikuti temubual bagi merungkai pandangan beliau tentang topik ‘Selebriti Kampus’.
Q1 Apa yang dimaksudkan dengan Selebriti Kampus dari Kaca Mata Dr?
Menurut laman web pusat rujukan persuratan melayu dewan bahasa dan pusaka, selebriti ditakrifkan sebagai orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai terutamanya dalam bidang hiburan, seperti penyanyi dan pelakon, di kampus universiti, yang suasananya berbeza dengan tempat lain disebabkan nilai akademiknya, tentunya makna selebriti di sini juga berbeza. Dalam bidang akademik, seseorang yang sepatutnya digelar selebriti ialah personaliti yang amat dikenali dan patut diraikan kerana ketinggian ilmunya dan kesarjanaannya dalam bidang-bidang tertentu mereka inilah yang patut dipopularkan dalam kampus universiti supaya menjadi ikon kepada mahasiswa dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta sahsiahnya.
Q2 Pandangan Dr tentang mahasiswa sebagai Penyampai Dakwah
Pertamanya, mahasiswa perlu menjadi ‘da’i’ (pemimpin) dalam konteks yang tersendiri. Pertama, mereka perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri melalui sikap berdisiplin, bertakwa dan berhemah tinggi. Kedua, mereka perlu memimpin orang lain, terutama dalam lingkungan persekitaran, ahli keluarga, masyarakat luar dan sebagainya.
Kedua, mahasiswa perlu upgrade diri menjadi ‘khalifah’ (wakil) Allah dengan memahami maksud khalifah yang sebenar. Sebagai wakil Allah di muka bumi, mahasiswa perlu memastikan segala tindak tanduk mereka adalah mengikut panduan agama.
Hal tersebut menjadi sebab dakwah disampaikan secara tidak langsung, melalui kepimpinan dan akhlak.
Q3 Pada pandangan Dr, bagaimana seseorang mahasiswa atau ahli akademik boleh diangkat sebagai selebriti
Bukan mudah untuk meletakkan status selebriti kepada seseorang, apatah lagi warga universiti. Bagi saya, seseorang mahasiswa atau ahli akademik boleh diangkat sebagai selebriti sekiranya mereka memiliki kriteria tententu.
Apa agaknya kriteria yang perlu ada dalam diri mereka tiada yang khusus cuma bagi saya, beliau mestilah popular kerana kecemerlangan akademik dan kokurikulum (bagi pelajar). Sementara ahli akademik pula memiliki kesarjanaan luar biasa dalarn bidang – bidang tertentu sehingga menjadi pakar rujuk di kampus dan juga masyarakat umum.
Selebriti kampus juga perlu mempunyai sahsiah terpuji dan boleh menjadi contoh kepada warga kampus lain. Mempunyai integriti yang tinggi dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab, sama ada sebagai mahasiswa ataupun ahli akademik.
Dalam bidang akademik, seseorang yang sepatutnya digelar selebriti ialah personaliti yang amat dikenali dan patut diraikan kerana ketinggian ilmunya dan kesarjanaannya dalam bidang-bidang tertentu.
Mahasiswa pula tentunya sukar membahagikan komitmen antara pelajaran dengan dunia ‘lain’ yang menuntut perhatian mereka juga. Sehubungan dengan itu, sekiranya dalam ruang lingkup selebriti kampus sebenar dan makna selebriti kampus itu sendiri diterjemahkan semula, saya percaya kelebihannya amat besar dan bermakna kepada individu berkenaan dan universiti.
Q4 Adakah menjadi selebriti di kampus ini ada kelebihan dan kekurangannya
Jika yang dimaksudkan adalah selebriti yang di jelaskan tadi, saya percaya tiada kekurangannya kepada individu atau universiti. Yang ada hanyalah yang baik-baik sahaja. Mereka sekali gus menjadi ikon besar di universiti dan kepada khalayak.
Cuma, sekiranya selebriti kampus ini mula meneroka ruang selebriti yang lebih besar dan luas di luar kampus, di situ akan timbul beberapa konflik yang jika tidak ditangani dengan baik, mungkin akan ada kesan negatifnya.
Antara lain ialah kesukaran membahagikan masa antara tugas hakiki dengan jemputan atau undangan daripada pihak luar untuk perkongsian ilmu sekiranya ahli akademik selebriti tidak mempunyai prinsip yang jelas dalam menghadapi situasi ini.
Q5 Kongsikan harapan dan kata-kata akhir buat pembaca
Untuk menyampaikan secara langsung, saya mengalu-alukan mahasiswa menjadi ejen (khalifah/wakil) Allah untuk membantu orang lain beramal soleh dan meramaikan warga Malaysia yang lebih dipimpin agama.
Harapan saya ialah setiap mahasiswa mampu membina personaliti termimpin dan memimpin, profesional, menjadi qudwah hasanah antara satu sama lain dan berfikiran ‘worldliew’