NILAI – Bergelar isteri dan ibu ketika masih menuntut di universiti tidak menghalang Nurin Nabilah Maisarah Mohd Fadhi, 23, daripada meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Fizik Gunaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Perjalanan akademik Nurin Nabilah menjadi lebih mencabar apabila beliau mendirikan rumah tangga pada semester pertama tahun kedua pengajian sebelum dikurniakan cahaya mata sebulan kemudian dan melahirkan anak ketika memasuki tahun ketiga pengajian.
Dalam tempoh tersebut, beliau bukan sahaja perlu membahagikan masa antara kuliah dan keluarga, malah terus menyusukan anak sehingga berusia dua tahun sambil memenuhi tuntutan akademiknya.
“Kadang-kadang saya hanya tidur sekitar tiga jam sehari kerana perlu bangun pada waktu malam untuk menyusukan anak, namun saya tetap cuba menguruskan masa sebaik mungkin antara keluarga dan pengajian,” katanya.
Waktu malam yang sunyi pula dimanfaatkan untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji selepas selesai menguruskan keperluan anak.
Dalam kesibukan mengurus keluarga dan pengajian, Nurin Nabilah turut aktif dalam pelbagai kegiatan sukarelawan serta program di peringkat universiti, negeri dan kebangsaan.
Di sebalik segala cabaran, sokongan suami, keluarga dan ibu mentua menjadi antara kekuatan utama yang membantunya meneruskan pengajian, termasuk ketika beliau hanya menjalani tempoh berpantang selama dua minggu sebelum kembali menghadiri kelas dan menduduki peperiksaan.
“Kalau tak ada mereka, mungkin saya tidak mampu,” katanya sambil menzahirkan penghargaan terhadap sokongan keluarga dan rakan-rakan yang memahami keadaannya sepanjang pengajian.
Bagi Nurin Nabilah, kejayaan meneruskan pengajian sebagai seorang ibu bukan hanya bergantung kepada kemampuan mengurus masa, tetapi turut memerlukan kekuatan diri serta sistem sokongan yang positif daripada insan di sekeliling.
Kini, segala pengorbanan tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membawanya bergelar graduan USIM, membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai ibu tidak semestinya menjadi penghalang untuk terus mengejar ilmu dan mencapai kecemerlangan akademik.
Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani