NILAI – Hanya dalam empat semester, Muhammad Afif bin Zakaria, 23, berjaya menamatkan pengajian dan mendapat segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian di Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pencapaian Kelas Pertama, hasil perancangan akademik yang rapi dan disiplin tinggi.
Graduan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) itu menggunakan kelayakan Diploma Seni Bina dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sebagai asas untuk mengikuti laluan pengajian di USIM, selain memanfaatkan pengalaman latihan industri di Nu’man Architect bagi mengukuhkan kemahiran praktikalnya.
Tempoh pengajian yang singkat itu menuntut Afif merancang beban akademik dengan teliti apabila beliau mengambil 22 jam kredit pada semester pertama, 23 jam kredit pada semester kedua, 17 jam kredit pada semester ketiga dan 31 jam kredit pada semester akhir.
Lebih mencabar, beban tersebut turut melibatkan kursus studio reka bentuk dan lukisan terukur yang memerlukan komitmen masa serta kerja praktikal yang tinggi, namun asas yang diperoleh daripada pengajian diploma membantunya menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik dan teknikal di peringkat ijazah.
“Perjalanan selama empat semester ini mengajar saya bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga disiplin, pengorbanan, pengurusan kewangan dan kebolehan mengimbangi pelbagai tanggungjawab. Kita tidak semestinya perlu mengorbankan seluruh masa untuk belajar, tetapi perlu bijak mengurus masa yang ada,” katanya.
Di sebalik tuntutan akademik yang padat, Afif turut aktif sebagai ahli Perwakilan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (PMFKAB), selain menyertai pertandingan reka bentuk seni bina bagi memperoleh pendapatan sampingan untuk menampung kos pengajian termasuk penyediaan model dan pembentangan projek.
Beliau turut memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti mendaki dan meneroka bandar sebagai ruang untuk mengekalkan keseimbangan diri sebelum kembali memberi tumpuan kepada tugasan studio dan akademik.
Bagi projek tahun akhirnya, Afif mengetengahkan kajian bertajuk “Social Interaction in Courtyard House Through Spatial Visibility: A Case Study of Gourna House by Hassan Fathy” yang meneliti hubungan antara susun atur ruang dan interaksi sosial dalam kediaman berkonsepkan courtyard.
Pencapaian tersebut turut didedikasikan kepada ibu bapanya, Zakaria Hj Yahya dan Noorian Mohd Nor, yang merupakan pasangan pesara guru dan sentiasa memberikan doa, sokongan serta kepercayaan sepanjang perjalanan pengajiannya.
“Kata-kata Umi yang selalu saya ingat, ‘Umi tak pernah pakai baju konvo, tapi Alhamdulillah anak-anak Umi semua berjaya,’ menjadi salah satu sebab saya mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada Umi dan Ayah,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian, Afif merancang untuk menimba pengalaman di firma seni bina sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Seni Bina (LAM Bahagian 2) sebagai langkah merealisasikan cita-citanya untuk bergelar arkitek profesional bertauliah.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa, khususnya dalam bidang teknikal, agar menjadikan ilmu sebagai medium untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan bukan sekadar mengejar pencapaian peribadi.
“Jangan hanya bercita-cita untuk membina bangunan yang tinggi, tetapi bercita-citalah untuk membina kehidupan manusia yang lebih baik melalui ilmu yang kita miliki,” katanya.
Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin
