Galakan dan peluang yang diberikan oleh pensyarah sewaktu pengajian di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), mendorong Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zahaby Zainuddin, 28 tahun, untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam bidang yang diminatinya, iaitu penyelidikan dan pembangunan produk. Pemenang Program Realiti Rural Business Challenge (RBC) Mencari CEO Desa yang ditayangkan di saluran TV3 baru-baru ini tidak menyangka bahawa penyertaannya, pada asalnya didorong perasaan ‘ingin mencuba’, telah menambat hati juri bagi Kategori Idea Perniagaan.Mempertaruhkan produk Liquid Water Enhancer yang dinamakan sebagai H2GO, beliau berjaya membawa pulang wang tunai RM 100,000 dan trofi.

Zahaby yang bergraduasi pada tahun 2013 memulakan pengajian sebagai pelajar Tamhidi sesi kemasukan 2008, seterusnya meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan pada tahun 2009 dan kini berkhidmat sebagai “Process Technologist”. Beliau yang baru sahaja menamatkan Impact Driven Enterprise Accelerator Programme 2018 di Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) telah pun mendapat akreditasi sebagai Impact Driven Enterprise. Ikuti rangkuman bual bicara yang disediakan.

S1 Bagaimana timbulnya minat dalam bidang penyelidikan hingga berjaya kini?

Ketika pengajian di FST, pensyarah giat menghantar pelajar menyertai pelbagai pertandingan penyelidikan dan inovasi, selain menggalakkan penghasilan jurnal penyelidikan. Peluang itu saya gunakan untuk memupuk minat yang lebih mendalam. Langkahnya bermula dengan produk pertama yang dicipta bersama pasukan, iaitu tepung pelbagai guna berasaskan buah nangka (MultiFlex Jackfruit Flour). Dari situ juga saya berpeluang meneroka ilmu lain, antaranya bidang industri halal, analisis makanan dan pembangunan produk.

Melalui Program Bioteknologi Makanan, saya memulakan kerjaya dalam pelbagai industri, antaranya industri produk sawit, produk minuman dan produk pengguna di bahagian pemprosesan. Melalui pengalaman itu, saya berpeluang mendalami bidang pembangunan produk, khususnya produk berbentuk cecair dan seterusnya membantu dalam penghasilan H2GO. Pada masa yang sama, saya sedang cuba memasuki bidang keusahawanan melalui Inovasi Produk Minuman dengan menubuhkan Water House.

Industri ini cukup menarik memandangkan pembangunan produk ini berkait rapat dengan teknologi makanan kerana bidang ini banyak bermain dengan penggunaan bahan-bahan ramuan, cara pemprosesan termasuklah teknologi pembungkusan yang penting dan perlu diberi penelitian, walaupun kurang mendapat tumpuan.

S2 Ceritakan pengalaman pelibatan dalam Program Realiti RBC Mencari CEO Desa.

Pada asalnya saya sekadar ingin mencuba kerana berpeluang menambah dana penyelidikan dan pembangunan produk yang sedang saya usahakan semasa bekerja di industri. Pada ketika itu, dana penyelidikan ditanggung sendiri kerana projek ini merupakan projek peribadi saya untuk jangka panjang. Pada mulanya, program tersebut dirancang untuk berjalan secara “in house” namun kemudiannya bertukar kepada program realiti untuk siaran di televisyen.

Alhamdulillah, melalui pitching session pertama saya telah disenarai pendek antara peserta finalis bagi Kategori Idea Perniagaan. Sepanjang tempoh lima bulan pertandingan, peserta diberikan kelas berkaitan perniagaan, termasuk pembangunan perniagaan atas talian, pemasaran, laman web, kewangan serta ujian mengikut tema mingguan. Kami juga perlu melalui ujian individu dari segi pembangunan perniagaan, pembangunan produk atau servis serta terlibat dalam sesi pitching di agensi-agensi kerajaan dan kementerian pada minggu-minggu tertentu.

S3 Bagaimana terhasilnya produk H2GO?

Melalui pengalaman bekerja di industri serta minat dalam penyelidikan dan pembangunan produk, saya terdedah dengan penghasilan produk-produk baharu. Salah satu daripada ideanya ialah produk minuman kategori baharu yang belum meluas di Malaysia, iaitu Liquid Water Enhancer yang sebenarnya telah saya mulakan sejak Disember 2015 lagi dan pembangunan idea ini berlaku secara berkala. Buat masa ini, H2GO masih lagi melalui proses penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Saya akui H2GO ini adalah antara pembangunan produk paling sukar yang pernah saya hasilkan sepanjang menceburi industri ini. Ini adalah disebabkan penghasilan produk ini tidak banyak dikeluarkan di Asia berbanding negara maju seperti di Amerika dan Eropah. H2GO juga memperkenalkan teknologi pembungkusan baharu yang lebih bersih dan selamat, memandangkan pembungkusan ini amat sedikit digunakan di Malaysia tetapi telah digunakan secara meluas di negara maju lain.

Inilah cabarannya. Namun, saya percaya tanpa teknologi makanan yang terbaru, pembangunan produk baharu tidak dapat dihasilkan dan produk-produk seperti Liquid Water Enhancer tidak dapat dipasarkan. Akhirnya, inovasi produk-produk yang lebih baik tidak dapat disampaikan kepada pengguna.

S4 Kongsikan fungsi dan cara penggunaan H2GO.

H2GO merupakan minuman berfungsi yang digunakan untuk memberi rasa dan perisa kepada air termasuk air mineral. Tujuan ia dihasilkan adalah untuk menggalakkan pengguna agar lebih meminum air mineral berbanding air minuman bergula dan bagi menggantikan minuman sachet 3 dalam 1 dan sirap kordial.

Jika diteliti, H2GO ini yang bersaiz poket membuatkan ia mudah dibawa bersama ke mana-mana sahaja. Cara menggunakannya juga mudah. Pengguna hanya perlu picitkan beberapa kali ke dalam air mineral dan goncang sedikit untuk mendapat rasa yang diinginkan.

S5 Berikan kata-kata perangsang buat adik-adik yang masih dalam pengajian.

Suka untuk saya ingatkan supaya adik-adik menggunakan ruang dan peluang yang ada di universiti sebaik-baiknya. Sentiasalah mempersiapkan “skill set” yang boleh dikutip melalui proses pembelajaran di dalam kelas, program pembelajaran, aktiviti kelab dan persatuan, pertandingan, aktiviti penyelidikan dan memupuk minat untuk mencuba sesuatu yang baharu sebelum masuk ke industri sebagai kerjaya.

Bagi saya, tempoh lima tahun pertama dalam industri secara keseluruhannya merupakan tempoh pembelajaran dan penerokaan ilmu-ilmu baharu. Semasa tempoh pengajian inilah, anda perlu membina fokus terhadap minat atau kecenderungan diri. Kutiplah sebanyak mungkin pengalaman serta manfaatkan ilmu yang dipelajari supaya apabila berada di industri nanti anda boleh mengembangkan kebolehan serta berkreativiti untuk menghasilkan produk berkualiti yang mempunyai kelebihan daya saing tersendiri.