NILAI, 23 Mac 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Lembaga Tabung Haji (LTH) bekerjasama sekali lagi dalam penganjuran program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) yang diadakan pada 18 hingga 23 Mac baru-baru ini. Kursus yang diadakan bertempat di Dewan Serbaguna Kolej PERMATA Insan USIM melibatkan peserta serama 128 orang dengan peningkatan sebanyak 60% berbanding penganjuran SPIH pada tahun lalu.

Program Pengajian SPIH ini merupakan usaha Tabung Haji (TH) untuk memastikan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dapat melalui satu proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing bakal-bakal haji melalui siri-siri kursus haji yang dianjurkan oleh TH di tanah air.

Antara objektif utama program ini ialah memberi pendedahan dalam bidang bimbingan haji,meningkatkan ilmu pengetahuan khususnya dalam ilmu haji dan umrah. Para peserta program ini juga didedahkan dengan aspek pengurusan haji dan perkara lain yang berhubungkait dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaan haji di Tanah Air dan Tanah Suci.

Menurut Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji) LTH, Program SPIH ini diharap dapat melahirkan Pembimbing Ibadat Haji di Tanah Suci (PIHTAS) yang berpengetahuan tinggi dalam bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik selain ilmu berkaitan pengurusan haji.

“Sejak dimulakan pada tahun 2009, TH telah mewar-warkan bahawa program ini akan menjadi pra-syarat kepada PEKTA untuk bertugas sebagai PIHTAS. TH memutuskan bahawa sudah tiba masanya, pra-syarat ini dikuatkuasakan mulai Musim Haji 1439H ini”.

“Sebanyak 14 modul pengkuliahan telah disediakan sepanjang 6 hari berkursus. Gabungan modul-modul ini dapat diaplikasikan ke arah penyelesaian segala masalah dan isu berkaitan hukum hakam ibadat haji dan pengurusan di Tanah Suci secara lebih efisien dan efektif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan haji dan umrah.”

“Turut diperkenalkan tambahan dua modul baru iaitu; pertama (1) Undang-undang Pengurusan Haji dan Umrah dan peraturan-peraturan Kerajaan Arab Saudi semasa musim Haji; kedua (2) Akidah dan Tazkiyya al-Nafs dalam Ibadat Haji dan Umrah. Melalui penambahbaikan yang telah dilakukan, peserta dapat meraih pelbagai ilmu dan kemahiran baru untuk disampaikan kepada bakal tetamu Allah” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr Musa, Naib Canselor USIM berkata gabungan penceramah dan fasilitator program daripada Lembaga Tabung Haji dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan diharapkan dapat membentuk satu pasukan pembimbing ibadat haji yang mantap dan saling lengkap melengkapi.

Beliau turut berharap agar sinergi antara USIM dan Tabung Haji akan berterusan untuk jangka masa yang panjang dan dikembangkan kepada bentuk-bentuk kerjasama strategik yang lain. Banyak aspek boleh disinergikan antaranya dalam bidang hospitaliti lebih-lebih lagi apabila Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan beroperasi pada pertengahan tahun ini.

 

Prepared by:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204