Jun 2025
UKT 4 PALAPES USIM: Latihan Renang dan Perapungan Perkasa Semangat Kadet
PORT DICKSON – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited dalam melahirkan pegawai kadet yang berdaya tahan dan berkualiti menerusi pelaksanaan Ujian Kecergasan Tempur Komponen 4 (UKT 4) dan Latihan Renang dan Perapungan yang berlangsung di Kolam Renang Akademi Tentera Darat (ATD), Kem Segenting pada 25 Mei 2025. Program ini melibatkan penyertaan seramai 2 pegawai, 11 anggota tetap, 4 pegawai muda dan 139 pegawai kadet, diketuai oleh Mejar Noor Efendy bin Hj Samih, KJL, dengan kerjasama penuh 8 orang Jurulatih Jasmani ATD yang diketuai oleh Staf Sarjan Shafizan. UKT 4 merupakan ujian penting yang bertujuan menilai tahap kecergasan serta mempertingkatkan kemahiran asas renang dan perapungan, terutamanya dalam aspek keupayaan fizikal dan daya tahan ketika berada dalam air. Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan penerangan latihan oleh jurulatih jasmani ATD, sebelum anggota tetap PALAPES USIM menjalani ujian perapungan selama 6 minit, diikuti latihan renang dan perapungan oleh para pegawai kadet. Menurut Mej Noor Efendy, pelaksanaan latihan ini bukan sahaja menguji fizikal, tetapi turut membentuk kekuatan mental dan sahsiah kepimpinan dalam kalangan peserta. “Latihan ini bukan sekadar mengajar mereka untuk berenang atau terapung di permukaan air. Ia adalah latihan disiplin, keyakinan dan semangat setiakawan. Kita mahu setiap pegawai kadet keluar dari air bukan hanya dengan basah, tetapi dengan semangat waja dan jati diri yang utuh,” jelas beliau. Pelaksanaan ini selaras dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24 menerusi aspirasi Sahiah Keperwiraan (Warrior Ethos) — melahirkan pemimpin muda yang kompeten, yakin diri dan berintegriti tinggi sebagai [...]
Mei 2025
USIM dan Universiti Anbar, Iraq Jalin Kerjasama Akademik Antarabangsa melalui MoU
NILAI – Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan rakan strategiknya di luar negara apabila USIM memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Anbar, Iraq pada Jumaat. Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua universiti disempurnakan oleh USIM yang diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato Ts Dr Sharifudin Md Shaarani manakala Universiti Anbar diwakili sendiri oleh Presiden Universiti, Profesor Dr Mushtaq Talib Al Nada. FPQS yang akan menjadi peneraju di peringkat USIM dalam melaksanakan agenda MoU ini akan mengambil peranan untuk mewujudkan kerangka kerjasama menyeluruh antara kedua-dua institusi. Malah melalui MoU yang dimeterai antara USIM dan Universiti Anbar, ia bakal merintis peluang baharu kepada FPQS untuk membawa dan mendekatkan nama fakulti dan USIM dengan institusi pendidikan tinggi di Timur Tengah secara tidak langsung. Menurut Dekan FPQS, Profesor Madya Dr Mohd Zohdi Mohd Amin, antara ruang lingkup kerjasama yang akan dilaksanakan bersama Universiti Anbar nanti termasuklah program pertukaran akademik melibatkan kakitangan dan pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan kolaboratif, pembangunan kurikulum terutamanya dalam bidang Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah serta Bahasa Arab “Bidang kerjasama lain yang akan turut diterokai adalah pertukaran budaya dan pembangunan kapasiti dalam aspek akademik dan pentadbiran. Langkah segera selepas ini adalah untuk FPQS aturkan perbincangan khas bersama Naib Canselor dan dekan-dekan fakulti. Sasarannya, dalam tempoh sebulan, kita dapat menyediakan satu kertas cadangan program kerjasama yang komprehensif untuk diserahkan kepada Universiti Anbar”. “Sebelum ini kita menerima delegasi Universiti Anbar melawat ke fakulti dan semasa itu mereka tertarik dengan kemampuan dan kelebihan yang terdapat di FPQS dan USIM. Alhamdulillah, [...]
Buku Kewangan Islam Cetus Wacana Segar di PBAKL 2025
KUALA LUMPUR – Majlis Pelancaran Buku dan segmen Biar Buku Bicara: The Future of Islamic Finance: Beyond Legalism and Shari’ah Compliance berlangsung meriah di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Mei 2025 bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. Buku ilmiah hasil tulisan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini mengetengahkan pendekatan baharu dalam kewangan Islam yang melangkaui legalisme dan pematuhan syariah secara literal. Karya ini mengajak pembaca menilai semula hala tuju kewangan Islam dengan lebih mendalam dan berlandaskan maqasid serta nilai-nilai Islam sejati. YB Senator Dr. Zulkifli Hasan merupakan seorang tokoh yang tidak asing dalam bidang kewangan Islam. Dengan latar belakang sebagai peguam bela dan peguam cara, beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dalaman di Bank Muamalat Malaysia Berhad telah membuktikan kepakaran beliau bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam dunia korporat dan kewangan. Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, “Kewangan Islam masa hadapan bukan lagi sekadar soal bentuk kontrak atau pematuhan teknikal semata-mata, tetapi bagaimana sistem ini boleh menyumbang kepada keadilan sosial, keterangkuman ekonomi dan pembangunan yang lestari. Buku ini menyeru agar kita meletakkan nilai, etika dan maqasid sebagai teras utama dalam setiap amalan kewangan Islam.” Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Penerbit USIM yang menjadi penerbit rasmi buku ini dan Affin Islamic Bank atas sokongan serta sumbangan kepada pembangunan ilmu dan penyelidikan kewangan Islam. Sebagai simbolik, sumbangan daripada Affin Islamic [...]
Latihan Revolver .38 Kor SUKSIS USIM: Persediaan Holistik Pelatih Hadapi Cabaran Dunia Sebenar
NILAI – Kor SUKSIS Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dengan kerjasama pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, telah berjaya melaksanakan Program Latihan Menembak Senjata Api Revolver .38. Program tahunan ini merupakan salah satu aktiviti utama bagi para pelatih Kor SUKSIS USIM dan telah berlangsung dengan jayanya selama sehari. Seramai 202 orang pelatih telah mengambil bahagian dalam latihan ini tanpa sebarang kekangan, dan tiada insiden kecederaan dilaporkan sepanjang program berlangsung. Latihan menembak ini telah diadakan pada 17 Mei 2025 di Lapang Sasar Terbuka, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. Turut hadir dalam program ini ialah SUPT/KS Dr. Hisham Sabri, Timbalan Komandan Kor SUKSIS USIM; ASP Sharifah Noorula’ain binti Syed Salim, Pegawai JPJKK IPK Negeri Sembilan merangkap Pegawai Lapang Sasar; enam orang jurulatih dari Kor SUKSIS USIM; serta 13 orang jurulatih dari Unit Persenjataan (AMRA), IPK Negeri Sembilan. Kor SUKSIS USIM merupakan salah satu kursus Kokurikulum Berkredit di bawah Teras Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah. Para pelatih dilatih mengikut silibus yang telah diselaraskan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman untuk semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dengan matlamat untuk melahirkan pelatih yang berkemahiran dan berdisiplin tinggi. Kor SUKSIS USIM juga berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan Modul Latihan Menembak Revolver .38 bagi Skuad 17, 18 dan 19 seperti yang telah dijadualkan dalam perancangan tahunan semester ini. Latihan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelatih, malah turut mengasah nilai disiplin dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pegawai pelatih. Program ini memberi pendedahan penting kepada pelatih berkaitan penggunaan senjata [...]
USIM Perkasa Budaya Komunikasi Organisasi Melalui Kursus Duta Ho-Ren-So
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga kampus menerusi penganjuran Kursus Duta Ho-Ren-So, anjuran Jabatan Pendaftar melalui Seksyen Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia. Seramai 20 orang staf yang terpilih telah dilantik sebagai Duta Ho-Ren-So USIM bagi membawa aspirasi komunikasi berkesan dalam organisasi. Kursus ini dilaksanakan bertujuan memperkukuh penghayatan dan pembudayaan Nilai-Nilai Teras USIM selari dengan konsep Ho-Ren-So yang diinspirasikan daripada budaya kerja Jepun yang menggabungkan tiga elemen penting iaitu Houkoku (melapor), Renraku (memaklum) dan Soudan (berbincang). Ia dilihat sebagai formula berkesan dalam membina organisasi yang proaktif, berdaya saing dan harmoni. Menurut Ketua Seksyen Latihan, Puan Sharifah Norabidzah Nurul Aida Syed Saaid, pelaksanaan kursus ini selari dengan ilham Naib Canselor USIM yang memperkenalkan gagasan Ho-Ren-So sebagai salah satu pendekatan berstruktur dalam menyemarakkan Nilai-Nilai Teras al-Qawiyy al-Amin. “Penghayatan terhadap Ho-Ren-So dapat memperkukuh keberkesanan komunikasi dalaman, membina kepercayaan antara staf dan mewujudkan jaringan hubungan (kizuna) yang erat serta menyumbang kepada kemajuan institusi secara kolektif,” ujarnya. Program dua hari yang berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2025 di Bilik Seminar Ibnu Mas‘ud, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) ini diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti simulasi komunikasi, bengkel peranan duta, serta perbincangan isu komunikasi organisasi. Peserta juga didedahkan kepada strategi peningkatan kecekapan kerja dan kepimpinan komunikasi yang relevan dalam ekosistem pentadbiran universiti. Menariknya, program ini turut diselaraskan bersama Jelajah Daerah Negeri Sembilan (JDNS) 2025, Siri 1 yang dianjurkan oleh HRD Corp Negeri Sembilan. Jelajah ini menampilkan lebih 60 buah syarikat dan penyedia latihan [...]
Mock Trial USIM 13.0 Angkat Nilai Keadilan dan Pendidikan Holistik
NILAI - Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) malam ini menyaksikan pelancaran gilang-gemilang pementasan *Mock Trial USIM edisi ke-13, yang bertemakan “ASMARALOKA”. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) atas penganjuran berterusan program tahunan ini yang diusahakan oleh pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Undang-Undang & Syariah. Mock Trial, katanya, bukan sekadar satu pementasan, malah platform pembelajaran kreatif yang mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sistem kehakiman negara. “Pendekatan santai dan kreatif seperti ini mampu mencapai sasarannya dalam mewujudkan masyarakat yang celik undang-undang — asas kepada masyarakat yang beradab dan adil,” ujar beliau. Beliau turut menekankan nilai-nilai penting dalam profesion perundangan seperti keadilan, integriti, amanah dan tanggungjawab yang perlu sentiasa dihayati, selaras dengan tuntutan al-Quran dalam Surah An-Nisa’, ayat 58. Dalam masa yang sama, Profesor Dato’ Dr. Nik Salida juga menzahirkan rasa bangga atas penglibatan aktif mahasiswa USIM dalam program berimpak tinggi yang memperkayakan pengalaman akademik serta membentuk sahsiah holistik sejajar dengan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli. Belaiu berharap agar Mock Trial terus menjadi medan untuk memperkukuh literasi undang-undang dalam kalangan mahasiswa serta melonjakkan nama USIM dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang ke persada antarabangsa. Majlis turut dihadiri oleh Professor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah (TNC HEP & Alumni), Professor Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad (Pemangku Dekan FSU), Dr. Norfadhilah Che Amani (Ketua Penasihat) dan Cik Maslaily Athirah Md Razali selaku Pengarah Program Mock Trial 13.0. [...]
“Little Detective Science Camp” Cungkil Minat Sains Kanak-Kanak dengan Cara Seronok dan Interaktif
NILAI – Seramai 26 mahasiswa program Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program “Little Detective Science Camp” bertempat di Kompleks Islam Tunku Muhriz (KITM), pada 10 Mei baru-baru ini. Program julung kali anjuran Industrial Chemical Student Society (ICSS) sesi 2024/2025 dengan kerjasama FASTLAB USIM itu berjaya menghimpunkan 41 pelajar sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun dari sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka, Sekolah Kebangsaan Nilai Impian, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Nilai dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum. Bertemakan “Detektif Cilik”, program ini bertujuan menanam minat awal terhadap bidang sains melalui pendekatan pembelajaran berasaskan penyiasatan, eksperimen dan permainan interaktif. Peserta dibimbing menyelesaikan ‘misteri sains’ menggunakan kemahiran pemerhatian dan penyelidikan secara praktikal. Program ini turut memberi pendedahan kepada bidang STEM secara menyeronokkan, di samping mengasah kemahiran seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Lebih menarik, para peserta berpeluang merasai suasana pembelajaran ala universiti, sekali gus membina aspirasi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Menurut Penasihat Program, Dr. Nur Atiqah Nasir, program ini adalah langkah terbaik untuk mendekatkan bidang sains dengan kanak-kanak secara mesra dan mudah difahami. “Kanak-kanak mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Aktiviti hands-on membolehkan mereka belajar secara langsung dan mengaitkan konsep sains dengan kehidupan harian,” jelas beliau. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk eksperimen forensik asas seperti mengesan cap jari, analisis DNA, corak darah, ujian pH dan kesan tapak kaki. Peserta perlu melengkapkan lima modul sebelum [...]
USIM Street Clinic Terengganu: Mahasiswa Dekati Komuniti Desa
KUALA NERUS– Seramai 47 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyantuni masyarakat Kampung Tanjung Sabtu, DUN Buluh Gading menerusi program USIM Street Clinic: Program Bakti Siswa Chapter Terengganu yang berlangsung pada 12 Mei 2025 baru-baru ini. Program anjuran Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA USIM) serta sokongan Pusat Kesihatan USIM itu berjaya menghimpunkan 19 mahasiswa U3P dan 28 ahli PERMATA USIM untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat luar bandar. Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, penyampaian bakul rahmah, ziarah rumah, gotong-royong memasak bubur dan membersihkan kawasan kampung, aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak serta kuliah maghrib bersama penduduk. Menurut ADUN Buluh Gading, YB Ustaz Ridzuan Hashim, inisiatif sebegini amat dialu-alukan kerana memberi impak positif kepada komuniti dan membentuk peribadi pelajar yang prihatin dan cakna terhadap keperluan masyarakat. Pengarah Program juga selaku presiden U3P, Nurul Wahidah Sallehudin berkata penganjuran program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai sendiri suasana kehidupan desa, selain mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, empati dan kepimpinan. “Kami berdepan cabaran seperti perubahan tentatif saat akhir dan hujan lebat yang menjejaskan beberapa aktiviti, namun pelajar berjaya menyesuaikan diri dan program tetap berjalan lancar dengan sambutan baik daripada penduduk kampung,” ujarnya. Jelas beliau, program ini bukan sahaja menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat setempat, malah membuka ruang kepada pelajar untuk menyumbang jasa kepada komuniti. Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini
Kembara Prihatin USIM–UNISSA Eratkan Hubungan Serantau dan Komuniti Orang Asli
PORT DICKSON – Seramai 31 orang terdiri daripada pelajar dan pegawai pengiring menyertai Program Kembara Prihatin Bersama Orang Asli anjuran bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung di Kampung Orang Asli Sunggala, Port Dickson. Program yang berlangsung pada 14 Mei 2025 baru-baru ini disusun dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya melukis mural di Balai Raya, gotong-royong membersihkan kampung, pembersihan surau dan tandas awam, serta sukaneka bersama kanak-kanak Orang Asli. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tempatan, malah menjadi platform pertukaran budaya dan nilai antara pelajar Malaysia dan Brunei. Menurut Pengarah Program, Nur Irdina Syahirah Shamzulnizam, pelaksanaan program ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pelbagai cabaran perlu dihadapi sejak di peringkat perancangan lagi. “Antara cabaran utama termasuklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta penyesuaian aktiviti dengan komuniti setempat. Memandangkan program ini dijalankan pada hari bekerja dan hari persekolahan, kehadiran penduduk agak terhad. Oleh itu, kami terpaksa mengubah suai tentatif agar aktiviti tetap relevan dan memberi manfaat,” jelas beliau. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Zakat USIM, Perpustakaan USIM, LaundryBar Nilai, UNISSA Brunei serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM atas sokongan dan sumbangan yang bagi menjayakan program ini. “Saya menyeru agar mahasiswa USIM lebih giat menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan bersama komuniti luar. Semoga kolaborasi dengan universiti-universiti luar negara seperti UNISSA dapat diteruskan dan diperluaskan lagi. Dalam masa sama, saya berharap lebih banyak syarikat tampil memberikan tajaan serta sokongan kepada program berbentuk tanggungjawab sosial seperti ini,” tambah beliau. [...]
Jalinan Strategik Malaysia-Brunei Perkukuh Kolej Kediaman Sebagai Hab Kepimpinan Serantau
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) terus memacu keterlihatan dan pengaruhnya di peringkat antarabangsa dengan menerima kunjungan hormat daripada Unit Kediaman Pelajar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam. Lawatan bersejarah yang berlangsung pada 13 Mei 2025 di USIM ini menyaksikan penyertaan aktif daripada pimpinan kolej kediaman kedua-dua institusi, termasuk Pengurus Kediaman Pelajar UNISSA dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM. Antara pengisian utama program ini ialah Forum Student Empowerment: Kolej Sebagai Tapak Kepimpinan dan Ilmu, yang menjadi medan perbincangan strategik mengenai peranan kolej kediaman dalam mencorak kepimpinan pelajar. Forum ini turut memperlihatkan keterlibatan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, menjadikan program ini sebagai titik temu dua hala yang penuh makna. Sepanjang program berlangsung, peserta turut menyertai sesi lawatan penanda aras dan perkongsian amalan terbaik pengurusan kolej kediaman di USIM. Penerangan menyeluruh mengenai operasi kolej, tadbir urus pelajar serta pendekatan pembinaan karakter kepimpinan menjadi antara fokus utama yang dikongsikan. Menurut Pengarah PRUPEL, Puan Raja Mariam Raja Mohd Esa, program seperti ini diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan untuk pertukaran idea, perkongsian strategik, dan pengukuhan hubungan antara institusi dan lebih baik lagi merentas nusantara. “Dengan adanya dialog dua hala, peserta dapat memperkayakan pengalaman masing-masing dan meneroka pendekatan terbaik dalam pengurusan kolej kediaman. Kelestarian program ini boleh dicapai melalui kesinambungan kerjasama, dokumentasi hasil perbincangan, serta pelaksanaan inisiatif yang dibincangkan supaya manfaatnya dapat dirasai dalam jangka masa panjang,” jelas beliau. Hubungan erat antara Malaysia dan Brunei dalam bidang pendidikan turut mendorong kerjasama seperti [...]









