Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

Disember 2023

Bukan dari keluarga yang senang, buat Syukri tekad untuk ubah nasib keluarga

NILAI - "Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang" itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Muhammad Syukri Rostam ketika memberi ucapan wakil pelajar Fakulti Bahasa dan Utama (FPBU) di Majlis Konvokesyen ke-21 USIM sidang ketiga pada 13 Disember 2023. Ayahnya merupakan seorang buruh kasar dan ibunya pula merupakan seorang suri rumah, berusaha keras membesarkan anak anak demi melihat mereka berjaya. Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi dengan kepujian ini tidak lekang menzahirkan perasaan gembira dan sebak apabila di tanya mengenai matlamat terbesar dalam hidupnya iaitu ingin membawa redha dan doa ibu dan ayahnya ke mana Sahaja beliau berada, “tanpa mereka tiadalah saya berdiri di atas pentas yang gah ini. Senyuman mereka mungkin belum mampu untuk saya balas hari demi hari, untuk mak dan abah, hadiah ini buatmu", ujarnya. Anak kedua dari 3 beradik ini berjaya peroleh Anugerah Dekan 8 semester berturut-turut dengan sentiasa berpegang dengan kata-kata "kasihilah guru-guru kalian dan kasihilah ilmu itu sendiri, junjunglah ilmu itu kerana dengan berilmu akan memberi pedoman buat kita di masa akan datang dengan izin Allah”. Katanya lagi, beliau berhasrat untuk menjadi seorang guru dan merancang untuk menyambung pengajian Diploma Pascasiswazah Pendidikan selepas ini. "Harapan saya kepada semua graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jadilah sebuah permata yang mampu menggilap diri sendiri di persada dunia. Sentiasalah berusaha untuk menuntut ilmu kerana dengannya kita akan belajar erti kehidupan sebenar”, ujar Syukri.   Nurul Fathihah Shaipol Azman StraComm Clique Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru [...]

Pasangan kembar seiras kongsi pentas konvokesyen

NILAI - Sepasang kembar Aida Farisah Ahyat (kakak) dan Aida Fasihah Ahyat (Adik), 24, dari program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) DPPPI, Fakulti Pengajian Bahasa Utama gembira dapat raikan konvo bersama di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pasangan kembar seiras yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut sebelum ini memegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian) juga dari USIM. Sejak kecil mereka sentiasa bersama dan tidak pernah berpisah malah dari segi makanan kegemaran, pemilihan gaya pakaian dan tempat belajar juga sama. Bukan itu sahaja, mereka juga pernah menerima anugerah kecemerlangan yang sama ketika menuntut di Maahad Tahfiz Jengka, Pahang. “Kami tidak pernah berenggang, kalau renggang pun apabila masing-masing mula bekerja” ucap Farisah. Menurutnya, Fasihah menjalani latihan industri di Kajang, manakala beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan Putri, Seremban sebagai guru pelatih. Hasrat untuk mengambil Diploma Pascasiswazah Pendidikan ini adalah inspirasi dari ibu mereka yang juga merupakan seorang guru. “Kami berharap untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi dan boleh membimbing generasi kini menjadi insan yang berguna” Ujarnya lagi. Sementara itu, Fasihah berkata, apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi hobi di mana beliau meminati sukan memanah manakala kakaknya meminati sukan bola jaring.   Nur Alyaa Safiah Aziz StraComm Clique Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

Johan Tilawah al-Quran Graduan Sulung Baharu Program Pengajian Qiraat USIM

NILAI –Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 25, hos rancangan televisyen dan juga pempengaruh yang semakin meningkat naik dan mula dikenali ramai melalui platform media sosial ini merupakan salah seorang daripada 45 orang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang telah bergraduasi di Majlis Konveksyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21 hari ini. Meskipun jadual hariannya kadang kala dipenuhi dengan jemputan program-program daripada stesen televisyen, beliau tetap tidak mengabaikan tugas hakikinya sebagai seorang pelajar. Mengenang kembali kenangan pahit manis menyiapkan penulisan tesisnya ketika di tahun akhir, ‘Ammar menzahirkan rasa syukur dan terharunya kerana usaha yang dilakukannya bersengkang mata siang malam dalam keterbatasan waktu dan kesibukkannya, akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan menggenggam segulung ijazah. “Ada satu masa tu dalam sehari, pada sebelah pagi saya pergi ke kelas, kemudiannya tengah hari pergi shooting program, sebelum sambung ke kelas semula pada petangnya”. Ujarnya. Ketika ditanya bagaimana beliau mengekalkan hafazan Al-Qurannya dalam kesibukan belajar dan bekerja beliau berkata, “antara sebab utama saya memilih bidang pengajian Al-Quran dan Qiraat ini adalah kerana untuk mengulang hafazan saya seperti zaman belajar diploma dahulu”. “Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih dapat mengekalkan hafazan ini dan berharap dapat kekal istiqomah dengannya sehingga di alam pekerjaan kelak Insha-Allah”. Ujarnya lagi. ‘Ammar turut berkongsi kisah manisnya dalam mengharumkan nama USIM di atas pencapaiannya sebagai Johan dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 anjuran Jabatan Agama Hal Ehwal Islam (JAKIM) di Terengganu pada september yang lalu. Selain Majlis Tilawah Al-Quran IPT, beliau [...]

8 graduan praktikal terima Anugerah Kesukarelawanan Borneo

NILAI - Terpanggil untuk menyahut cabaran pensyarahnya untuk keluar daripada zon selesa, Muhammad A’zim Bin Mohd Hafiz, 23, adalah salah seorang daripada lapan mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat menjalani Program Latihan Industri tahun akhir di Kepulauan Semporna, Sabah selama empat bulan bermula Mac 2023 yang lalu. A’zim merupakan graduan Sarjana Muda Dakwah Dan Pengurusan Islam yang bergraduasi hari ini berkata, beliau mulai meminati aktiviti kesukarelawanan sejak memulakan pengajian di USIM lagi. Ditanya mengenai perasaan menjalani Latihan Industri di Semporna, Sabah, beliau berkata ia merupakan pengalaman pertamanya menyantuni masyarakat di kepulauan di sekitar Sabah. Beliau mengakui terdapat pelbagai cabaran yang dihadapinya ketika bertugas disana. “Antara pengalaman yang sukar untuk saya lupakan adalah ketika bertugas mengajar anak-anak pulau ini tentang ilmu asas fardhu ain di Pulau Karindingan selama sembilan hari, di mana fasiliti utama seperti bekalan elektrik dan capaian internet sukar didapati. Dengan keterbatasan yang ada, ia menjadi satu cabaran buat saya untuk bertahan dari pagi sehingga ke petang sementara untuk menunggu waktu berbuka puasa”, ujarnya. Beliau turut berkongsi kisah pengalamannya bersama rakan seperjuangan yang menjadi bilal dan imam surau untuk mengetuai solat tarawih ketika disana, selain menjadi Khatib untuk membaca khutbah ketika waktu solat Jumaat. Mengakhiri temubual bersama A’zim, beliau berkongsi satu kata-kata hikmah yang menjadi penguat semangatnya untuk terus menceburi bidang dakwah di masa mendatang. “Teruskan berbuat baik walaupun diri sendiri bukan yang terbaik kerana setiap kebaikan itu dikira walaupun sekecil-kecil zarah atau biji sawi”.     Muhamad Faris Mohd Faisal StraComm [...]

Tidak berputus asa, Rahmatul terima ijazah USIM setelah 11 tahun

NILAI - Selepas 11 tahun Rahmatul Fikri Haidin, 30, akhirnya bergraduasi dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-21 sidang kelima yang berlangsung pada 14 Disember 2023. "Saya mulakan pengajian di USIM pada tahun 2012, dan sepatutnya saya bergraduasi selepas empat tahun, namun pelbagai kekangan ia terpaksa ditangguhkan". Rahmatul telah mengikuti semua subjek bagi program pentadbiran muamalat namun masih tidak melengkapkan syarat MUET bagi membolehkannya bergraduasi. Hatinya bagaimanapun terbuka apabila menerima panggilan daripada pihak Universiti untuk membantunya bergraduasi. "Pada September tahun lepas, Ketua Program Pentadbiran Muamalat Dr. Nur Qamarina sharom menghubungi saya untuk mengambil program Reach Out English for Employment Course yang akan melayakkan saya untuk bergraduasi. Pada mulanya saya tak nak meneruskan pengajian yang dah tertangguh ini kerana saya dah selesa dan berniat untuk menjalankan bisnes sendiri, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada isteri saya yang juga alumni USIM tahun 2016 yang meminta untuk saya mengambil kos jangka pendek ini, dan hanya diadakan pada setiap hujung minggu secara dalam talian, selama 12 hari, jadi saya sahut semangat beliau". "Jiwa saya telah sebati dengan berniaga, dan pernah membuka kiosk Chef Takoyaki di Nilai selama empat tahun, sebelum berhijrah ke Johor Bahru". Rahmatul bapa kepada tiga orang cahaya mata, kini bekerja sebagai assistant chef di sebuah restoran terkenal di Singapore, dan bercita- cita untuk membuka restoran beliau sendiri suatu hari nanti.

“Sangat cintakan ilmu yang mendalam”, Penerima anugerah Diraja Pingat Jaya Cemerlang USIM bergraduasi di Majlis Konvokesyen ke-21 USIM

NILAI - “Gunakanlah sekecil-kecil peluang untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman. Ilmu itu didatangi bukan untuk mendatangi. Setiap ilmu perlu disulami dengan adab. Letak Allah yang pertama dan utamakan ibu ayah, insyaAllah semuanya baik-baik “. Inilah pegangan yang dibawa sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah buat Muhammad Isyraq Husaini Muliadi dan Aufa Abdullah, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) di Majlis Konvokesyen ke-21 USIM pada 12 Disember 2023. Muhammad Isyraq Husaini Muliadi,23, graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-undang, anak kedua dari empat beradik merupakan Felo Perdana 2023 kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pelbagai kejayaan dan pengalaman dalam dunia pidato dan debat menjadikan beliau seorang yang matang dalam setiap keputusan yang dibuat. “Tahun 2020 adalah detik hitam dalam kehidupan saya apabila ayah pergi buat selamanya. Itulah permulaan kepada sebuah kebangkitan yang menguatkan setiap usaha dan daya untuk terus bergerak maju ke hadapan. Saya percaya kehilangan yang tuhan aturkan ini, bukanlah satu alasan untuk saya meratapi nasib dan kesedihan tetapi sebenarnya tuhan sedang mengajar bahawa dalam dunia ini tidak semua yang kita inginkan itu dapat dikecapi”,ujarnya lagi. Sementara itu, Aufa Abdullah,23, graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) anak sulung dari dua beradik ini tanamkan azam dari awal untuk mengubah nasib keluarganya melalui Pendidikan. Beliau percaya dengan ilmu yang berkat disulami dengan keredhaan ibu dan ayah pasti Allah akan permudahkan setiap urusan kita. “Melihatkan kepada keadaan keluarga yang kurang [...]

Graduan Sulung Industri Halal USIM Tekad Teroka Bidang Halal

NILAI - “Jangan kedekut ilmu, selalulah berkongsi kepada rakan-rakan” itulah antara nasihat ringkas Nor Afzan Azizan, 25, salah seorang daripada 61 orang graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang telah bergraduasi pada Majlis Konveksyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21 semalam. Nor Afzan ketika ditemui turut berkongsi perasaan teruja beliau kerana berjaya menamatkan pengajian. “Alhamdulillah, saya sangat seronok kerana ia adalah salah satu program akademik yang saya pilih dengan kehendak saya sendiri dan sememangnya bercita-cita untuk menjadi Eksekutif Halal yang berjaya”. Seawal semester pertama berada di kampus, Nor Afzan juga telah melakukan kerja separuh masa sebagai fasilitator Al-Quran di Kolej Permata Insan (KPI) dan dalam masa yang sama menjadi tutor di sekitar kejiranan di Nilai. Beliau mengakui bukan mudah untuk melakukan semua itu dalam masa pengajiannya. “Hendak bahagikan masa antara belajar, berpersatuan dalam organisasi dan bekerja separuh masa merupakan satu cabaran yang amat hebat sehingga menyebabkan air mata saya mengalir, tapi ianya dianggap sebagai satu dorongan pada saya untuk terus kuat”. ujarnya. Ketika ditanya kepada Nor Afzan sebab mengapa beliau berusaha bekerja separuh masa semenjak di semester awal lagi, beliau berkata bahawa beliau tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya kerana sepanjang pengajian di USIM, beliau tidak mengambil sebarang bentuk pinjaman mahupun biasiswa pendidikan, dan semuanya ditanggung sepenuhnya oleh kedua ibu bapa. Nor Afzan yang kini sedang bekerja di Serunai Coe Sdn Bhd sebagai Eksekutif Halal turut berkongsi pandangan beliau mengenai industri halal di Malaysia yang disifatkan sebagai bidang yang amat luas dan [...]

Setia bersama USIM, lengkapkan semua Peringkat Tinggi Pengajian di USIM

NILAI- Perjalanan akademik graduan Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi ini panjang. Lebih menarik, beliau berjaya melengkapkan semua peringkat pengajian akademik di peringkat tertiary beliau kesemuanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Muhammad Harith Noor Azam, 28, yang berasal dari Pulau Pinang memulakan pengajian awalnya dengan mengikuti Program Tamhidi di USIM sebelum menyambung pengajian pada peringkat ijazah dalam program Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat). Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam program Sarjana Sains dan menyelesaikan Ijazah Kedoktoran beliau dalam bidang Sains dan Teknologi. Bercerita mengenai pengalaman kerjayanya, Harith pernah bekerja dalam bidang Sains Komputer selama tujuh tahun selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana muda selain turut menyatakan hasrat untuk bertukar bidang dengan memohon untuk menjadi tenaga akademik di universiti tempatan. Berkongsi perasaan gembira dan pengalaman sepanjang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah ini, banyak cabaran yang perlu dihadapi dan salah satunya ialah menyiapkan tesis dan penyelidikan beliau dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19. Kata beliau, waktu itu adalah waktu yang mencabar kerana beliau mengalami kesukaran untuk bertemu dengan penyelia bagi menyiapkan tesis. Walaupun keadaan pada waktu sangat sulit, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyiapkan tesis sehingga berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi pada sidang pertama hari ini. Selain kesukaran menyambung pengajian dikala pandemik menular, graduan yang merupakan anak sulung dalam adik beradiknya ini juga turut membuat kerja-kerja sambilan bagi menampung kos pembelajarannya suatu ketika dahulu. Tiada kata yang lebih indah yang boleh diberikan [...]

Duta Besar Palestin hadir terima Ijazah Anumerta wakili dua graduan USIM yang syahid dalam serangan Zionis

NILAI – Duta Besar Palestin, Tuan Yang Terutama Walid A. M. Abu Ali hadir ke Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menerima Ijazah Anumerta mewakili dua graduan USIM yang terkorban dalam serangan Zionis di Gaza, Palestin, iaitu Mohammed J. H. Alzaanin, Doktor Falsafah (Pengurusan Sumber Manusia) serta isteri, Kholoud M. H. Elzaneen, Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi. Ijazah dianugerahkan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang berkenan menganugerahkan ijazah itu kepada Duta yang mewakili pasangan tersebut. Dalam serangan pada 8 Oktober 2023 itu, Mohammed disahkan terbunuh bersama isteri di perkampungan mereka di Bait Hanon.Turut terkorban adalah tiga orang anak mereka manakala seorang lagi anak lelaki Mohammed, Jamil Mohammed, disahkan selamat. Walid yang ditemui berkata, beliau berbesar hati dan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada USIM kerana telah menganugerahkan ijazah Doktor falsafah dan Sarjana ini kepada Mohammed dan Kholoud yang sepatutnya hadir meraikan hari kejayaan mereka menamatkan pengajian ini serta mengharapkan agar rakyat dan Kerajaan Malaysia meneruskan sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terkesan dalam peperangan yang melibatkan rejim Zionis ini.

Amarah pada hati kering Amerika dan kesatuan solidariti untuk Palestin

Semenjak konflik antara Palestin dan Israel kembali marak semula sejak 7 Oktober lalu, pihak berkuasa Gaza melaporkan lebih 17,000 penduduk telah terbunuh di Gaza. Wanita dan kanak-kanak merupakan jumlah korban terbesar dalam konflik kali ini iaitu kira-kira 70 peratus dari angka nyawa yang melayang akibat kekejaman rejim Zionis. Lebih 46,000 lagi cedera manakala yang masih selamat menjadi sebahagian dari 1.8 juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Penindasan dan kekejaman terbaharu yang berlaku di sana belum menampakkan akan menemui titik noktah dalam masa terdekat. Pada satu Ketika, dunia melihat ada sinar untuk gencatan senjata dikuatkuasakan melalui satu draf resolusi yang dicadangkan oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara kandungan draf resolusi berkenaan adalah yang menggesa semua pihak terlibat dalam konflik untuk mematuhi undang-undang antarabangsa, terutamanya perlindungan orang awam, menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan dan menyeru Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk melaporkan kepada Majlis Keselamatan mengenai pelaksanaan gencatan senjata. Ditaja hampir 100 negara anggota, menerima sokongan 13 ahli Majlis Keselamatan PBB dengan United Kingdom (UK) berkecuali, tetapi akhirnya usaha ini musnah begitu sahaja apabila Amerika Syarikat (AS) tetap dengan hati keringnya, menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak awal konflik ini berlaku konsisten mengecam tindak tanduk rejim Israel yang disokong oleh AS melahirkan rasa kesal dan membantah tindakan terkini AS. Beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza. “Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan [...]

Go to Top