NILAI, 22 JUN 2016 – Bergema alunan bacaan ayat- ayat suci Al-Quran memenuhi ruang surau Al-Abrar Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila 1500 peserta menyertai Majlis Khatam Perdana anjuran Pusat Islam USIM di sini.

Program tadarus Quran ini bermula dari 1 ramadhan sehingga penutup 17 ramadhan iaitu bersempena meraikan Nuzul Al-Quran. Para peserta terdiri daripada para pelajar dan kakitangan USIM bermula kira-kira jam 5.30 petang. Majlis khatam perdana ini dipimpin oleh saudara Nurrahimi bin Ibrahim, pelajar Tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang juga merupakan sahabat YADIM USIM.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (PEKERTI). Yang Dipertuanya, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin yang juga isteri kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan mengadakan lawatan pada 15 Jun dan menyumbangkan 1000 buah naskah Al-Quran untuk digunakan oleh para peserta dalam majlis ini”.

“Penyertaan dan komitmen peserta amat baik untuk majlis khatam yang dianjurkan ini. Melalui program pengisian Ramadan seperti ini, ia bukan sahaja mendekatkan umat Islam dengan kitab suci Al-Quran, malah sebagai pendekatan baik untuk mendidik jiwa menyintai dan menghayati kalam-kalam Allah SWT yang penuh hikmah ini sebagai pedoman hidup”, ujar Pengarah Pusat Islam, Dr. Khairul Anuar Mohamad.

Selesai majlis khatam, ia diteruskan dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama warga Universiti dan ahli keluarga diikuti solat Maghrib, solat Isyak, solat sunat Terawikh dan jamuan moreh sebagai penutup.

Turut sama menyertai majlis ini adalah Pengurusan Universiti antaranya Naib Canselor, Prof Dato Dr. Musa Ahmad; Prof Dato’ Dr. Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah dan kakitangan universiti.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204