Dari seorang yang pemalu dan tidak berkeyakinan, Muhammad Nazim Bin Uzir, 29, yang merupakan anak jati Kedah menyahut cabaran dengan mendalami ilmu fotografi sebagai kerjaya.
Anak keempat dari lima beradik ini yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang USIM pada mulanya hanya menjadikan bidang fotografi ini sebagai hobi sahaja namun, sejak 2011 beliau mula aktif dengan mengambil tempahan fotografi perkahwinan, majlis-majlis rasmi dan sukan.
“Saya selalu rasa gemuruh apabila berdiri untuk bercakap di khalayak ramai, namun apabila diberi kepercayaan ketika dilantik menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sukan & Rekreasi pada tahun kedua pengajian, semua itu berubah.
“Dari situlah saya mula membina keyakinan diri menerusi pelbagai program kampus dan penyertaan seminar lain dalam bidang akademik serta banyak perkara yang saya belajar daripada pensyarah, kakitangan serta rakan di USIM”,tambah Nazim.
Turut berkongsi pengalaman manis ketika di USIM, pada mulanya beliau tidak berminat langsung dengan pengajian undang-undang, namun beliau bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian undang-undang dalam tempoh yang ditetapkan walaupun beliau gagal satu subjek pada tahun akhir dan berjaya mengambil peperiksaan ganti semasa cuti semester akhir.
“Walaupun, saya tidak pernah mendapat anugerah khas dalam akademik, tetapi pernah mendapat satu anugerah khas dalam kokurikulum, iaitu Kejohanan Bolasepak Liga Fakulti dengan dianugerahkan Penjaring Terbanyak Liga Fakulti 2007/2008 dengan tujuh gol,” katanya lagi yang kini membina kerjaya sebagai Pegawai Media Persatuan Bola sepak Kedah (KFA).