Penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan semasa menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendorong Yahya Yusof untuk membantu golongan susah seperti orang miskin, anak yatim, mangsa dera dan mangsa penceraian dengan berkhidmat di sebuah organisasi Badan Amal di Janda Baik, Pahang.
Beliau yang diberi amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus di Badan Amal Nur Zaharah (BANZ) itu turut berkongsi pengalaman apabila terpaksa mengalas perut setiap hari dengan mi segera ketika dalam pengajian dan bekerja secara sambilan membolehkan beliau menyelami perasaan penghuni rumah kebajikan yang sedang dikendalikan kini.

“Menguruskan organisasi kebajikan memerlukan rangkaian kerjasama banyak pihak, justeru pengalaman dalam bidang kepemimpinan ketika menuntut di USIM amat berguna kepada saya.
“Antara lain pelantikan sebagai Timbalan Yang Dipertua MPP ketika berada dalam pengajian tahun pertama adalah suatu peluang dan penghormatan untuk saya menyumbang idea, tenaga serta khidmat kepada mahasiswa ketika itu,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik kepada pasangan Yusof Adam dan Aishah Husein itu berkata, minat mendalam untuk membantu masyarakat serta golongan memerlukan, selain faktor diri berasal daripada keluarga susah, mendorong beliau terus menabur bakti melalui alam kerjaya.

“Seperti di universiti, kami di organisasi kebajikan juga perlu merancang pelbagai aktiviti untuk membantu penghuni menjalani kehidupan yang baik,” katanya.
Kini, BANZ dihuni seramai 48 orang berumur dari 8 hingga 21 tahun.
