Dr. Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd DaliPensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Muncul tahun baru, kita sering membuat resolusi seperti aku nak kurus tahun ni, aku nak bersenam 20 minit sehari, aku nak simpan wang simpanan, aku nak panjat Gunung Everest dan sebagainya. Azam baru di tahun baru sudah menjadi kebiasaan. Yang menjadi kebiasaan juga adalah bila azam hanya tinggal azam sahaja. Tiada tindakan yang kita benar-benar lakukan. Cuba kita muhasabah adakah kita telah mencapai azam kita yang dibuat awal tahun lepas? Adakah ianya tercapai? Apa yang menyebabnya tidak tercapai? Apa yag patut kita lakukan agar kita dapat capai azam tersebut?

Saya ingin bertanyakan suatu soalan yang penting sempena azam tahun baru ini. Kita boleh berazam dengan sebanyak mana pun azam. Cuma saya hendak tanya secara peribadi adakah kita ada buat belanjawan kewangan tahun baru? Ada tidak kita buat belanjawan kita setiap tahun? Jika ada, adakah kita buat belanjawan bersama keluarga? Ada tidak kita libatkan isteri dan anak-anak dalam perancangan bajet kita?

Kalau tak pernah, apa yang patut anda buat? Kalau pernah adakah anda buat setiap tahun tanpa gagal? Kalau belum, bila nak mula buat? Kalau alasannya sebab saya belum berumahtangga, cukuplah buat untuk perancangan individu sahaja. Jadi, amatlah penting untuk kita meluangkan sedikit masa setiap tahun bersama keluarga untuk membuat belanjawan kewangan. Mungkin kita perlu satu hari, mungkin hanya separuh hari dan mungkin hanya perlukan sejam sahaja. Ini bergantung kepada kesesuaian anda. Adalah lebih baik daripada tidak buat langsung belanjawan tahunan.

Apa sebab kita perlu libatkan keluarga semasa buat belanjawan? Apakah peranan ahli keluarga di dalam perancangan kewangan kita? Apakah hal-hal tentang kewangan keluarga hanya difikir dan ditangani oleh ketua keluarga sahaja. Adakah anak-anak terlalu kecil lagi untuk memikirkan tentang kewangan keluarga? Adakah kita hanya membiarkan masa yang berlalu menentukan masa depan kita tanpa merancang kewangan kita?

Persoalan-persoalan ini perlu kita tanya pada diri kita sendiri dan kita boleh menemui jawapan daripada persoalan tersebut. Ekonomi mendatang semakin besar cabarannya. Penglibatan keluarga dalam ekonomi keluarga adalah amat penting untuk seseorang ketua keluarga memacu arah tuju kedudukan kewangan keluarga. Malahan penglibatan ahli keluarga di dalam perancangan belanjawan dapat memberi peluang kepada ahli keluarga untuk sama-sama merancang aktiviti keluarga seperti merancang percutian akhir tahun, perbelanjaan persekolahan dan sebagainya.

Masa belum terlambat untuk kita semua membuat perancangan belanjawan tahunan secara berjemaah. Panggil semua ahli keluarga untuk sama-sama merancang. Jadikan mesyuarat perancangan belanjawan sebagai aktiviti wajib keluarga pada setiap tahun. Biarkan anak kita sama-sama merancang. Semoga mereka juga dapat mempelajari ilmu kewangan apabila mereka pula berkeluarga. Ilmu kewangan perlu di berikan kepada anak-anak seawal boleh.