Prof Dr Norita Md Norwawi
Prof Dr Norita Md NorwawiPensyarah Fakulti Sains dan Teknologi
Dr Syed Najihuddin Syed Hassan
Dr Syed Najihuddin Syed HassanPensyarah Kanan Fakulti Quran dan Sunnah

Apakah pandangan kita pada apa yang berlaku di Sungai Kim Kim? Sejauh mana keprihatinan kita kepada isu pembalakan yang berleluasa, masyarakat yang ditindas di tanah air sendiri seperti di Palestin, Syria, Yaman, Rohingya dan Uighur? Apakah yang sedang melanda dunia kita? Siapakah yang bertanggungjawab dalam kerosakan alam ini? Bagaimanakah dapat diselamatkan dunia tempat tinggal ini? Pelbagai persoalan sebegini sentiasa bermain-main dalam pemikiran kita.

Apabila kita merenung kembali segala kerosakan di dunia ini, kita akan mendapati punca dan faktornya yang sebenar-benarnya ialah tangan-tangan manusia atau hasil perbuatannya sendiri. Persoalannya, adakah kita termasuk sebagai penyumbang kepada kerosakan itu? Firman Allah dalam Surah al-Rum, ayat ke-41:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Bagaimanakah kita dapat memulihkan serta mengembalikan kehijauan alam ini? Salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah dengan melakukan pembangunan kelestarian. Pembangunan kelestarian adalah satu agenda global bertujuan untuk membangun masyarakat yang mandiri dan sistem ekonomi yang mampan serta memelihara alam sekitar, agar generasi akan datang dapat hidup dalam sejahtera dengan mengurangkan pencemaran, menambahkan kehijauan serta struktur sosial yang lebih seimbang.

Usaha untuk pembangunan yang lestari tidak terletak hanya pada bahu sesetengah pihak sahaja. Sebagai warga planet bumi, kita semua mempunyai tanggungjawab sosial untuk menjaga alam dan masyarakat dengan amanah di pundak bahu sebagai khalifah di bumi tanpa mengira jawatan, bidang kepakaran dan pangkat. Setiap pihak perlu berganding bahu secara kolektif dalam membangunkan kelestarian alam, tempat yang sama-sama kita huni sekarang ini.

Namun usaha pembangunan lestari ini tidak akan berjaya mencapai matlamatnya jika tidak didokong atas dasar tanggungjawab bersama. Oleh itu, pendidikan berkaitan pembangunan lestari perlu dimasukkan sebagai topik penting dalam pembelajaran sama ada pada peringkat tadika, sekolah, mahupun institusi pendidikan tinggi. Bestari alam sekitar dalam bentuk kesedaran untuk menjaga kebersihan, mengurangkan pembaziran sama ada dalam bentuk sisa makanan, penggunaan sumber air dan eletrik secara optimum amat perlu dipupuk. Kempen seperti sifar plastik dan single plastic use amat wajar dilaksanakan dengan agresif agar kita tidak menjadi penyumbang tegar kepada masalah pencemaran plastik.

Sedangkan Rasulullah SAW sendiri menyarankan kita untuk mengalihkan duri yang dijumpai di jalanan, malah mengiktiraf perbuatan itu sebagai salah satu bahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW
عن أبي هريرة رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “الإيمان بضع وسبعون، أو بضع وستون شعبة، فأفضلُها قول لا إله إلا الله، وأدناها إماطة الأذى عن الطريق، والحياء شعبة من الإيمان.” رواه مسلم في صحيحه (برقم 35)
Maksudnya: Daripada Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu 73-79 bahagian, atau 63-69 bahagian. Bahagian tertinggi iman ialah perkataan la ilaha illa Allah (tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT), dan bahagian iman yang paling rendah pula ialah mengalihkan sesuatu yang mengganggu (seperti duri) dari jalanan. Dan perasaan malu ialah salah satu bahagian daripada iman. Diriwayatkan oleh Muslim (no. 35)

Justeru, jika kita memahami dan mengamalkan hadis ini, kita akan sentiasa mengalihkan segala halangan daripada jalan yang dilalui oleh sebarang makhluk Allah. Hal ini ialah manifestasi keimanan kita yang tersenarai dalam bahagian keimanan walaupun hanya pada tingkatan yang paling rendah. Sementelah itu, jika tiada langsung keprihatinan kita terhadap sesuatu yang merintangi jalan dengan mengalihkannya, keimanan kita sewajarnya dipersoalkan. Namun secara ironinya, sebahagian daripada kita pula yang berusaha meletakkan halangan serta rintangan tersebut di merata-rata tempat dalam pelbagai bentuk gangguan kepada persekitaran.

Masyarakat juga perlu difahamkan bahawa usaha pembangunan kelestarian ini adalah satu amalan mulia, murni dan baik. Lazimnya, kempen untuk menutup suis lampu, apabila tidak digunakan yang dianjurkan oleh USIM adalah bertujuan untuk menjimatkan elektrik. Akan tetapi sebenarnya, USIM ingin membawa satu mesej di sebalik tindakan menutup suis lampu ini. Secara hakikatnya tindakan ini adalah satu amalan soleh, satu ibadah, satu kebaikan yang mudah dilakukan di sekeliling kita pada setiap hari, malah akan mendapat ganjaran jika difahami asasnya. Malah, inisiatif ini seiring dengan firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat ke-27 iaitu:

إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورٗا ٢٧
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya.”
Begitu juga, usaha untuk berjimat dan berhemat dalam penggunaan air semasa mengambil wuduk yang dianjurkan oleh Islam.

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم “مر بسعد وهو يتوضأ، فقال: “ما هذا السرف؟” فقال : أفي الوضوء إسراف؟ قال: ” نعم، وإن كنت على نهر جار.”
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘As RA berkata: Rasulullah SAW pernah melalui suatu kawasan, lalu melihat Sa’ad RA sedang berwuduk, seraya Baginda SAW bersabda: “Kenapakah berlebihan dalam berwuduk ini?” Maka Sa‘ad RA menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan? Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir airnya.”
Hadis hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Majah (no. 425)

Jelas di sini bahawa perbuatan berlebih-lebihan dalam berwuduk juga ditegur malah dilarang oleh Rasulullah SAW. Berlebih-lebihan menggunakan air atau pembaziran ini tetap dilarang sekalipun jika ibadah wuduk itu dilakukan pada tempat yang banyak air seperti di laut, sungai dan seumpamanya.

Ini bermaksud Rasulullah SAW sendiri juga begitu prihatin dalam mengoptimumkan penggunaan air. Menurut satu kajian, kebiasaan kita pada hari ini mengambil wuduk mencecah hampir berjumlah 7 botol air mineral 1 liter untuk satu kali wuduk, akan tetapi Rasulullah hanya menggunakan dalam 0.75 liter air sahaja atau senilai satu cupak timbangan. Begitu juga apabila mandi junub Rasulullah SAW juga menggunakan jumlah yang secukupnya sebanyak satu gantang air sehingga 5 cupak air (atau satu gantang dan satu cupak) sahaja. Persoalannya, berapa literkah yang kita gunakan untuk mandi pula?
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: “كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يتوضأ بالمد، ويغتسل بالصاع إلى خمسة أمداد.”
حديث صحيح، رواه البخاري (برقم 201) ومسلم (برقم 325) في صحيحيهما
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik berkata: “Rasulullah SAW mengambil wuduk dengan secupak air, dan mandi dengan segantang air sehingga lima cupak air”
Hadis sahih dan diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. hadis 201) dan Muslim (no. hadis 325)

Daripada perspektif penjagaan alam sekitar pula, Islam melarang jemaah haji dan umrah menebang pokok dan membunuh binatang ketika menjalankan ibadah tersebut. Malah larangan itu juga meliputi setiap orang yang memasuki dua tanah suci iaitu Tanah Haram Makkah dan Tanah Haram Madinah. Pelakunya berdosa besar jika sengaja malah turut didenda dengan bayaran sembelihan binatang ternakan yang tertentu. Jika perbuatan itu tidak disengajakan, denda sembelihan tetap dikenakan, namun tidak berdosa pelakunya. Antara hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil ialah Allah SWT memberikan garis panduan bagaimana kelestarian alam sekitar di Makkah dan Madinah yang wajib dipelihara oleh setiap pengunjungnya dan hal ini merupakan satu bentuk ibadah dengan mematuhi larangan tersebut.

Selain daripada itu, Rasulullah SAW juga sangat menggalakkan umatnya agar bercucuk tanam walaupun jika hanya beberapa detik sebelum berlakunya Hari Kiamat. Tentunya sudah tiada masa lagi untuk melihat sebarang hasil kepada tanaman itu. Hal ini sebagaimana digambarkan dalam sabda Baginda SAW dalam hadis berikut:
عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “إن قَامَتِ على أحدكم القيامة وَفِي يَدِه فَسِيلَةٌ فَلْيَغْرِسْهَا”
رواه أحمد في المسند (برقم 12902) بإسناد صحيح.
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika terjadi hari kiamat kepada salah seorang daripada kamu sementara di tangannya ada satu tunas pokok, maka tanamlah tunas itu.” Diriwayatkan oleh Ahmad (no. 12902) dengan sanad yang sahih.

Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW menyarankan agar kita bercucuk tanam kerana hasil daripada tanaman itu akan dihitung pahala sedekah jika dimakan oleh manusia, haiwan, burung dan sebagainya.
عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “ما من مسلم يغرِس غَرْساً إلا كان ما أُكِلَ منه له صدقة، وما سُرِقَ منه له صدقة، وما أَكَلَ السَبُعُ منه فهو له صدقة، وما أَكَلَتِ الطيرُ فهو له صدقة، ولا يَرْزَؤُه أحدٌ إلا كان له صدقة.”
رواه مسلم في صحيحه (برقم 1552)
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Seseorang muslim itu apabila menanam sesuatu tanaman, jika dimakan hasilnya akan diberikan kepadanya pahala sedekah, jika dicuri daripada hasilnya juga mendapat pahala sedekah, jika hasilnya dimakan haiwan buas pun mendapat pahala sedekah, jika hasilnya dimakan beburung juga mendapat pahala sedekah, dan jika dipetik pokoknya juga mendapat pahala sedekah.” Diriwayatkan oleh Imam Muslim (no.1552)

Ini jelas menunjukkan bercucuk-tanam adalah satu kerja yang mulia, amal jariah yang memberi pahala yang berpanjangan selagi pohon itu memberi manfaat. Namun manfaat tersebut bukan sahaja apabila pohon itu berbuah tetapi juga apabila anak pokok mula ditanam, maka bermulalah proses fotosentisis yang akan menyumbangkan gas Oksigen pada setiap saat dalam udara, makanan kepada hidupan dalam tanah malahan memberikan kehidupan kepada pohon yang bertasbih dan berzikir kepada Allah swt dalam bahasa yang tidak kita fahami. Hubungan yang sinergi antara manusia yang bernafas mengeluarkan gas karbon dioksida dan alam di mana gas tersebut akan diserap oleh pokok. Pokok kemudiannya akan mengeluarkan bukan sahaja gas Oksigen, tetapi juga wap air dan glukos (bahan makanan pohon tersebut) melalui proses fotosentisis. Sesungguhnya memberikan kehidupan kepada sebatang pokok akan memberikan pelbagai manafaat kepada manusia dan haiwan serta alam sekitar.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat Surah Al-Isra’ ayat ke-44 sebagaimana berikut:
تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّۚ وَإِن مِّن شَيۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورٗا ٤٤
Maksudnya: “Langit yang tujuh, bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa bertasbih kepada-Nya. Dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya akan tetapi kamu sekalian tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia (Allah SWT) adalah Maha Penyantun, lagi Maha Pengampun.

Malahan haiwan dan serangga juga turut mendoakan orang beriman yang menuntut ilmu. Ini menunjukkan peri pentingnya flora dan fauna ini dipelihara kerana mereka adalah makhluk Allah SWT yang sentiasa bertasbih dan mendoakan kebaikan kepada orang beriman dan penuntut ilmu sebagaimana hadis berikut:
عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إن اللهَ وملائكتَه وأهلَ السماواتِ والأرضِ، حتى النملةَ في جُحْرِها، وحتى الحوتَ، ليُصلون على مُعَلّمِ الناسِ الخيرَ.” رواه الترمذي في سننه (برقم 2685)
Maksudnya: Daripada Abu Umamah al-Bahily RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya, sekalian penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut yang berada dalam lubang sarangnya, malah sehinggakan ikan paus, mereka semua sesungguhnya mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi (no.2685)

Dalam hadis yang lain, diberitakan oleh Baginda SAW tentang kelebihan serta fadilat penuntut ilmu yang berjalan demi menuntut ilmu sebagaimana hadis berikut:
عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “من سَلَكَ طريقاً يطلب فيه علماً، سلك الله به طريقاً من طرق الجنة، وإن الملائكة لتضع أجنحتها رضا لطالب العلم، وإن العالم ليستغفر له من في السماوات، ومن في الأرض، والحيتان في جوف الماء…” رواه أبو داود في سننه (برقم 3641).
Maksudnya: Daripada Abu al-Darda’ RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menempuh satu jalan dalam menuntut ilmu, maka Allah mudahkan satu jalan daripada jalan-jalan menuju ke syurga. Sesungguhnya para malaikat akan menghamparkan sayap-sayap mereka untuk penuntut ilmu sebagai tanda redha terhadap apa yang dilakukannya. Dan sesungguhnya seseorang yang alim yang mengajarkan kebaikan akan dimohonkan keampunan baginya oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, malah sehinggakan ikan yang berada dalam air.” Diriwayatkan oleh Abu Daud (no.3641)

Terma bestari diri merujuk kepada pelaksanaan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini yang menitik beratkan penggunaan yang optimum, tanpa membazir sama ada dalam penggunaan air, tenaga elektrik atau sumber-sumber lain. Perkara-perkara tersebut juga merupakan satu ibadah iaitu tanda kehambaan kita kepada Allah SWT. Bestari diri juga memperlihatkan sikap keprihatinan kita kepada aspek alam sekitar dengan memelihara dan serta bercucuk tanam kerana manafaatnya yang besar.

Malahan bestari diri juga meliputi dan merangkumi hal menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan seperti yang diungkapkan dalam surat Al-Ma‘un ayat 1 – 3 yang memerintahkan kita untuk berlaku baik kepada anak-anak yatim dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Firman Allah SWT:
أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ ١ فَذَٰلِكَ ٱلَّذِي يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ ٢ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ ٣
Maksudnya: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis menyatakan adalah tidak wajar jika kita tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran kita dalam kelaparan.
عن أنس رضي الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: “ما آمن بي من بات شبعاناً وجاره جائع إلى جنبه وهو يعلم.”
رواه المنذري في الترغيب والترهيب (3/323) بإسناد حسن
Maksudnya: Daripada Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman secara sempurna dengan aku, orang yang tidur kekenyangan dalam keadaan jiran bersebelahannya dalam keadaan lapar, sedangkan dia mengetahui perkara tersebut.” Diriwayatkan oleh al-Mundhiri (3/323)

Sebagai tambahan, Allah SWT dalam surah Al-Insan ayat 8 hingga 10, turut menjelaskan sifat-sifat ahli syurga iaitu orang yang prihatin terhadap orang miskin, anak yatim dan tawanan seperti mereka yang berada di Palestin, Syria, Rohingya, Yaman, Uighur dan sebagainya.
وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسٗا قَمۡطَرِيرٗا ١٠

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah SWT semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia mengenakan ke atas kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah menjadi masam berkerut-kerut.”

Namun, turut dinyatakan juga dalam ayat-ayat tersebut tentang tujuan mereka mengerjakan khidmat amal soleh tersebut iaitu semata-mata kerana Allah SWT serta takut akan azab Allah SWT pada hari akhirat nanti, bukan bertujuan untuk pengiktirafan dan penghargaan manusia.

Justeru, dapat disimpulkan di sini bahawa “Bestari Diri” bermula dengan kesedaran tanggungjawab kita kepada Allah SWT, melaksanakan amanah kekhalifahan di atas muka bumi berpandukan syariat dan akhlak yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, bestari diri ini adalah bertunjangkan kepada kepercayaan kepada Tuhan dan akan menghasilkan masyarakat yang sejahtera, alam sekitar yang lestari serta ekonomi yang mampan.