Putrajaya, 3 Mac 2014 – Telah berlangsungmeriah ‘Majlis Iringan Kasih’ yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM bagi meraikan pelajar Program Fleksi SPADA sesi 2012/2013 yang menamatkan program pengajian mereka pada bulan Mac 2014.

Majlis dirasmikan oleh YBhg Dato’ Mohd Tajudin b Don, Pengarah Bahagian Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertempat di Hotel Palm Garden, IOI City Resort, Putrajaya turut diserikan dengan kehadiran YBhg Naib Canselor USIM, YBhg Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dekan-dekan, para pensyarah dan pihak-pihak penaja pelajar iaitu JPA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penganjuran majlis ini dilihat sebagai tanda sokongan pihak Universiti atas segala usaha yang dijalankan oleh para pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka disamping menghargai pihak penaja dan agensi kerajaan dan NGO seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pengasih yang berkaitan dalam membantu usaha para pelajar mendalami pendidikan penyalahgunaan dadah.

Menyerikan majlis adalah tayangan khas filem pendek hasil cetusan idea Prof. Madya Dr. Abd. Halim Mohd Hussin, mantan Pengarah ACREDA yang dilakonkan oleh para pelajar Program Fleksi SPADA sesi 2012/2013 yang bertajuk ‘Sinar Di hujung Kelam’. Filem pendek ini disasarkan akan ditayangkan di sekolah-sekolah sekitar Malaysia sebagai satu usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar.

ACREDA berterima kasih kepada para penaja Program Fleksi SPADA yang telah memberi kepercayaan kepada pihak Universiti bagi menggalakkan para penjawat awam menyambung pengajian di peringkat Sarjana hingga berjaya melahirkan graduan yang boleh menghayati bidang kaunseling penagihan yang menjadi bekalan ilmu dan teras dalam menjalankan kerja-kerja khidmat pengurusan penyalahgunaan dadah.

Usaha ACREDA tidak terhenti setakat ini sahaja malah perkongsian pendapat tentang kaedah rawatan dan pemulihan dalam penyalahgunaan dadah melalui penganjuran bengkel kajian kes. Bagi manfaat bersama, pihak ACREDA mengambil inisiatif untuk berkongsi kajian-kajian kes tersebut di dalam bentuk penerbitan buku yang bertajuk Kajian Kes: Rawatan dan Pemulihan Dadah Masa Kini dan akan diterbitkan dalam masa yang terdekat.

Disediakan oleh :

Khairunnisa Ismail

Penolong Pendaftar

Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA)

Dikemasikini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)