Julai 2014
PELANCARAN BUKU PENERBIT USIM DI TOKYO INTERNATIONAL BOOK FAIR(TIBF) 2014
ARIAKE TOKYO, JEPUN 4 Julai 2014 – Pelancaran Buku “Jom Belajar Bahasa Melayu” terbitan Penerbit USIM telah disempurnakan oleh YBhg Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Tokyo di Tokyo Big Sight, Jepun baru-baru ini. Projek penerbitan ini adalah hasil kerjasama dengan Takushoku University dan Japan-Malaysia Association (JMA) dengan cetakan pertama adalah sebanyak 1000 nashkah. Projek penulisan buku ini bermula pada tahun 2012 lagi apabila Penerbit USIM menyertai Tokyo International Book Fair (TIBF) buat kali pertama pada tahun tersebut yang diwakili oleh Puan Hariza Mohd Yusof. Penyertaan dan persembahan dari Penerbit USIM telah menarik minat Puan Faridah Mahamed yang merupakan pensyarah di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) untuk menerbitkan buku kerjasama berkaitan Bahasa Melayu bagi pembaca di Negara Jepun. Majlis ini diadakan sempena penyertaan kali ketiga Penerbit USIM di TIBF. Pada tahun ini, Malaysia merupakan Negara tema di mana delegasi penerbit-penerbit dari Malaysia berpeluang mempromosikan Malaysia melalui penerbitan buku serta mengetengahkan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa. Majlis yang penuh bermakna ini diadakan dalam keadaan santai dan dipengacarakan sendiri oleh Encik AraiTakuji serta diikuti ucapan Encik Mohd Khair Ngadiron yang mengucapkan syabas kepada Penerbit USIM kerana menurutnya bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan dan kerjasama penerbitan daripada pihak Jepun kerana mereka amat berhati-hati dan amat mementingkan kualiti. Turut memeriahkan majlis ini ialah ahli-ahli penerbit Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), staf-staf ITBM, dan tetamu-tetamu lain yang turut serta dalam rombongan ini seperti Penerbit PTS, Pelangi, Perpustakaan Negara Malaysia, Penerbit FIXI, wakil Majlis Buku [...]
AHLI AKADEMIK USIM WAKILI MALAYSIA JADI SARJANA PELAWAT DI BAWAH US-ASEAN FULBRIGHT PROGRAM
NILAI, 11 Jul 2014 – Ahli akademik daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr.Zulkifli Hasan, Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) telah terpilih bersama lapan ahli akademik lain yang mewakili masing-masing untuk terpilih menjadi Fulbright U.S – ASEAN Visiting Scholars yang merupakan salah-satu program di bawah Fulbright U.S – ASEAN Initiative yang mendapat tajaan Jabatan Negara Amerika Syarikat (U.S Department of State). Setiap calon yang terpilih mewakili negara ASEAN ini, mereka terlebih dahulu perlu menghantar permohonan mereka kepada Fulbright U.S – ASEAN Initiative bersama kertas cadangan projek penyelidikan masing-masing yang memfokuskan kepada isu-isu yang melibatkan hubungan U.S dan ASEAN. Saringan ketat dibuat kepada setiap permohonan oleh ahli panel yang terdiri daripada ahli U.S Mission to ASEAN, ASEAN Committee of Permanent Representatives dan ASEAN Secretariat. Calon yang disenarai pendek akan dipanjangkan kepada J.William Fulbright Foreign Scholarship Board untuk pertimbangan. Pengumuman rasmi senarai Sarjana Pelawat yang terpilih ini dibuat oleh United States Mission to ASEAN dalam satu kenyataan rasmi semalam. Dr.Zulkifli Hasan yang mewakili Malaysia akan di tempatkan di salah sebuah Universiti di Amerika Syarikat selama empat bulan bermula September hingga Disember tahun ini. Sepanjang berada di sana, beliau akan menjalankan penyelidikan berkaitan isu-isu perundangan dan kewangan Islam antara Amerika dan ASEAN. Dr.Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada Fulbright U.S – ASEAN Initiative kerana member peluang kepada beliau untuk menjadi peserta kepada program. Ini adalah satu peluang yang baik untuk membawa nama USIM dan Malaysia melalui perencanaan penyelidikan berkualiti dan hasilnya nanti boleh digunakan untuk meningkatkan lagi kerjasama Amerika dan [...]
STAF KESELAMATAN USIM TERUS TRADISI BUBUR LAMBUK
NILAI, 10 Jul 2014 – Bubur lambuk merupakan salah satu menu yang sinonim di bulan Ramadan untuk dijadikan juadah berbuka puasa.Kakitangan Bahagian Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengekalkan tradisi penyediaan dan agihan bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga USIM sepanjang bulan Ramadan ini sejak dimulakan pada tahun 2009. Bubur lambuk ini disediakan secara gotong-royong oleh kakitangan keselamatan USIM bermula dari penyediaan bahan mentah sehinggalah kepada proses memasak, membungkus dan edaran. Penyediaan juadah yang amat diminati dan dinanti warga USIM setiap kali bulan puasa ini, diketuai oleh Encik Marhaban Morliorjo, kakitangan Unit KeselamatanTrafik USIM dengan dibantu 6 orang rakannya yang lain. Menurut Marhaban, penyediaan bahan mentah disediakan pada waktu malam manakala mereka akan mula memasak mulai jam 8.00 pagi yang mengambil masa 3 jam untuk masak sepenuhnya. Sekurang-kurangnya sebanyak dua periuk besar digunakan untuk menyediakan sekitar 1000 bungkusan yang mula diedarkan pada jam 4.30 petang. “Menggunakan resipi turun-temurun, keistimewaan bubur lambuk kami ini adalah pada keenakan rasa rempah-ratusnya dan daging lembu segar yang banyak kita masukkan. Kos bagi penyediaan bubur lambuk adalah sekitar RM 500 bagi satu kawah besar” “Alhamdulillah, saban tahun kos ini ditampung oleh kakitangan yang membuat sumbangan wang tunai secara individu mahupun berkumpulan kepada kami. Pengurusan Universiti juga menggemarinya dan turut membantu ketika edaran dibuat pada kakitangan” katanya lagi. Bagi Ketua Bahagian Keselamatan USIM, Kpt (B) Abdul Wahab Mat Zin, komitmen yang ditunjukkan oleh kakitangannya amat terpuji kerana proses penyediaan ini dibuat secara sukarela oleh mereka. Pada tahun ini, Bahagian Keselamatan bekerjasama dengan Pusat Islam USIM [...]
SISWA USIM BERSAMA BELIA ANTARABANGSA BINCANG WARISAN DUNIA DI QATAR
QATAR, 3 Jun 2014 – Satu pengalaman yang amat bermakna kepada Saudara Mohd Iqmal Hisham Kamarudin, pelajar tahun akhir program Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila dipilih mewakili Malaysia ke Persidangan ‘World Heritage Youth Forum’ bertempat di Qatar. Beliau terpilih untuk bersama-sama belia antarabangsa lain yang mewakili 21 kerusi ahli jawatankuasa UNESCO semasa iaitu Algeria, Colombia, Croatia, Finland, Jerman, India, Jamaica, Jepun, Kazakhstan, Korea, Lebanon, Malaysia, Peru, Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Senegal, Serbia, Turkidan Vietnam. Selain itu, persidangan belia pada kali ini turut dihadiri oleh negara-negara jemputan seperti Bahrain, Mesir, Kuwait, Mauritania, Morocco, Oman, Palestin, Arab Saudi dan Sudan. Persidangan belia ini merupakan satu simulasi yang menyerupai persidangan UNESCO, tetapi ia hanya melibatkan golongan belia yang mewakili Negara masing-masing. Persidangan kali ini merupakan kali yang ketiga seumpamanya diadakan selepas persidangan belia pertama di Kazan, Rusia dikuti SiemRiep, Kemboja menjadi tuan rumah. Persidangan belia yang dilangsungkan pada 3-15 Jun 2014 ini juga diadakan bersempena dengan Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia Kali Ke-38 yang berlangsung pada 15-25 Jun 2014 bertempat di Qatar juga. Menurut Iqmal, objektif diadakan Persidangan Belia ini untuk memberi kefahaman mengenai Konvensyen 1972 dan cabaran pelaksanaannya; meningkatkan kesedaran terutamanya bagi golongan belia mengenai budaya warisan Negara masing-masing; menerangkan peranan arkeologi awam dan masyarakat setempat dalam pengurusan warisan; melahirkan golongan belia dengan kepakaran berkaitan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan serta mendedahkan kepada golongan belia bagaimana jawatankuasa UNESCO bekerja. “Simulasi Persidangan Belia pada kali ini telah berlangsung selama 4 hari. Mengambil format dari persidangan sebenar, ianya [...]
KOMPLEKS PUSAT ISLAM USIM SIAP MENJELANG 2016
NILAI, 1 Julai 2014 – Kedatangan bulan Ramadan kali ini turut membawa khabar gembira kepada warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila projek pembangunan Kompleks Pusat Islam USIM disambung semula pembinaannya yang terhenti sejak tahun 2002 atas faktor kekangan peruntukan kewangan Kerajaan ketika itu. Kompleks Pusat Islam seluas 6500 meter persegi akan menempatkan sebuah masjid yang mampu menampung kapasiti jemaah seramai 4000 orang dengan memiliki ruang solat dua tingkat, bilik pengurusan jenazah, pejabat pentadbiran dan beberapa kemudahan lain untuk merancakkan aktiviti dan agenda Islam di dalam kampus dan masyarakat Islam sekitarnya. Menelan kos pembinaan sebanyak RM 20 juta menggunakan peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Pusat, projek pembinaan Pusat Islam USIM telah memulakan kerja tanah pada 2 Jun lalu dan dijangka siap pada Februari 2016 dengan tempoh pembinaan memakan masa 20 bulan oleh syarikat kontraktor yang telah dilantik. Satu majlis ringkas tetapi amat bersejarah iaitu Majlis Pengesahan Semula Arah Kiblat Pusat Islam USIM telah diadakan pada hari ini anjuran Pusat Islam USIM dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sembilan yang diketuai oleh Ustaz Rashidi Isa, Pegawai Pejabat Mufti Negeri Sembilan. Menurut Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Pengarah Pusat Islam USIM, secara prosedurnya sebarang projek pembinaan masjid yang terhenti melebihi tempoh dua tahun perlu untuk dibuat pengesahan semula arah kiblatnya oleh Pejabat Mufti dan prosedur ini tidak mengambil masa yang lama. “Sesungguhnya pembinaan Pusat Islam ini amat ditunggu-tunggu oleh warga USIM. Lokasinya semasa perancangan pembinaan kampus dahulu kita letakkan pada kedudukan yang strategik iaitu diantara Bangunan Canselori dan Perpustakaan.” “Kedudukannya membawa [...]
Jun 2014
SEMINAR PENYALAHGUNAAN DADAH: “WAY FORWARD” USAHA BERSAMA USIM DAN AADK
Nilai, 24 Jun – Usahasama antara Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tercapai melalui penganjuran Seminar Penyalahgunaan Dadah “Way Forward” sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2014. Penganjuran kali ini merupakan titik tolak kepada usaha di antara pihak USIM dan AADK untuk memantapkan lagi kesedaran semua pihak akan bahaya dan ancaman dadah. Selaras dengan matlamat ini, ACREDA berperanan sebagai satu pusat kecemerlangan untuk membantu negara melalui aktiviti-aktiviti akademik dan kemasyarakatan seperti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan isu-isu penyalahgunaan dadah. “Usaha-usaha rawatan dan pemulihan dadah perlulah sentiasa dilakukan dengan amalan rawatan terbaik yang menekankan konsep pemulihan dadah yang bersifat menyeluruh (holistik). Saya melihat usaha membanteras serta memerangi penyalahgunaan dadah ini tidak boleh dibuat secara perseorangan sahaja atau oleh agensi tertentu tetapi hendaklah dibuat secara menyeluruh oleh anggota masyarakat dan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab bersama,” ucap YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad. “Menyedari permasalahan dadah yang semakin meruncing, AADK telah melaksanakan pendekatan baharu iaitu pendekatan pencegahan berfokus. Pendekatan pencegahan berfokus dirangka berdasarkan maklumat profiling kawasan melalui kaedah Geographic Information System (GIS). Melalui kaedah ini, skop kawasan sasaran telah diklasifikasikan kepada Kawasan Umum, Berisiko dan Berisiko Tinggi. Program pencegahan yang dirangka adalah lebih berfokus kepada kawasan dan kumpulan sasar supaya menjurus kepada keperluan sesuatu komuniti dan kawasan,” ujar YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapannya. Melalui seminar ini, USIM dan AADK berharap agar satu resolusi serta dapatan yang baru dapat dihasilkan agar persepsi [...]
PENDEKATAN WASATIYYAH DIKEMBANGKAN KEPADA IPT
NILAI, 19 Jun – Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) mengambil pendekatan proaktif mendekatkan segenap lapisan masyarakat mengenai kefahaman wasatiyyah yang sebenarnya sejajar dengan iltizam YAB Dato’ Seri Najib Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang mengetengahkan pendekatan ini dalam mengemudi ummah dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa depan. Justeru itu, IWM telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan pendekatan wasatiyyah diperingkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula dengan kumpulan fokus utama adalah kelompak mahasiswa. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut bersama dengan aspirasi IWM dan YAB Perdana Menteri apabila melancarkan Pendekatan Wastiyyah Peringkat USIM yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri merangkap Pengerusi IWM. Dalam ucapannya, Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin turut mempelawa kerjasama kepakaran ahli akdemik USIM untuk membantu IWM membangunkan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa. Indeks ini nanti akan dijadikan kayu ukur bagi melihat perlaksanaan Maqasid Syariah oleh negara-negara Islam khususnya dalam kerangka pentadbiran mereka. Indeks ini akan dibangunkan secara bersama dengan kepakaran ahli akademik, golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan berkepentingan untuk memastikan Indeks terbaik dihasilkan. USIM menjadi IPT Ketiga dipilih oleh IWM untuk melancarkan Pendekatan Wasatiyyah diperingkat IPTA selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu dan Universiti Malaya (UM). “IWM yang ditubuhkan pada 3 Disember 2012 dan dilancarkan dengan rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac 2013 menyasarkan Pendekatan Wastiyyah ini akan dilancarkan disemua 20 IPTA bagi memastikan garapan pendekatan wasatiyyah ini sebagai tonggak kepada kesatuan ummah di negera ini difahami dengan baik terutamanya dalam mendepani [...]
FST MENANG KATEGORI UTAMA I-REKA 2014
NILAI, 29 Mei 2014 – Sebanyak 88 penyertaan pelajar terserlah dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Pelajar atau dikenali sebagai (i-REKA) yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai pada 28 Mei 2014. Pemenang Utama kategori pra siswazah telah dimenangi oleh kumpulan The Instinct yang terdiri dari 6 orang ahli kumpulan dengan pertaruhkan produk Skinana Krunchi dibawah bimbingan pensyarah Prof Madya Dr Alina Bt Abdul Rahim. Skinana Krunchi adalah sejenis makanan ringan (kerepek) yang diperbuat daripada kulit pisang. Daripada sesuatu yang dianggap sisa atau bahan yang tidak digunakan, kulit pisang kaya dengan serat pemakanan, protein, asid amino, asid lemak poli tak tepu dan kalium. Ia juga mengandungi sebatian antioksidan termasuk polifenol, catecholamines dan karotenoid. Manakala kategori pasca siswazah dimenangi oleh kumpulan Tenrm dengan membawa produk TenRM. TenRM, atau www.tenrm.com adalah inovasi oleh saudara Nader Yahya Alkeinay berasal dari Yemen dan dibimbing oleh pensyarah Prof Madya Dr Norita Md Norwawi. Ia merupakan laman web pasaran dalam talian Malaysia yang menawarkan tugas-tugas dan perkhidmatan bermula dengan kos sebanyak RM10. Sebaik sahaja mencapai jualan ke 10 dengan maklum balas positif 90%, secara automatik dipindahkan ke tahap 2, dimana layak untuk memilih harga untuk perkhidmatan dari RM10 - RM200. Kedua-dua pemenang ini adalah merupakan pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST). i-REKA sebelum ini dikenali sebagai Pertandingan Inovasi Pelajar (SIC). Ia adalah anjuran Urusetia Rekacipta dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (UREKA USIM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), dan Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan (FKP) dengan kerjasama Pusat Pengurusan & Penyelidikan (PPP) dan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). [...]
MPP USIM ANJUR HUMANITY CONVOY 2014
NILAI, 31 MEI 2014 - Majlis Perwakilan Pelajar USIM anjur program konvoi berbasikal, atau di beri nama humanity convoy 2014 dengan kerjasama Pusat Sukan USIM. Program julung kali dianjurkan MPP ini telah mendapat sambutan hampir 80 mahasiswa USIM dengan diiringi oleh Unit Kesihatan Pelajar. Program ini bermula seawal jam 7 pagi dengan kayuhan bermula dari USIM sejauh 17KM ke sekitar Bandar Baru Nilai. Peserta berhenti di Taman Perumahan Desa Cempaka Puri dan Surau Ar Rahman Desa Cempaka Nilai selama 3 jam untuk melakukan khidmat masyarakat iaitu membersihkan kawasan longkang, membersihkan pokok, menanam pokok, membersihkan kolah surau dan mengecat surau. Menurut pengarah program saudara Aminurrasyid Sahrom, program seumpama ini telah lama dirancang, dan diadakan sempena Minggu Kemanusiaan pada minggu yang sama. Program ini adalah bagi membudayakan menjaga kesihatan dan menyemarak budaya berbasikal di USIM selain untuk menjaga alam sekitar ia juga bagi merapatkan ukhwah antara warga MPP dan pelajar bersama masyarakat komuniti. “Walaupun minggu peperiksaan bakal menjelma, namun aktiviti mesyarakatan tetap diteruskan kerana program sebegini sememangnya mendekatkan diri kita kepadaNYA menikmati dan menghayati pemandangan alam ciptaanNYA sambil bersukan dengan berbasikal, jelas Amin lagi”. Ybhg. Prof Dato Dr Musa Ahmad Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa berkata, universiti sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti sukan seperti ini dan perlu diketengahkan melihatkan semangat anak-anak muda yang cintakan arena sukan berbasikal, beliau berucap semasa majlis perasmian sebelum pelepasan konvoi berbasikal dilakukan. Disediakan oleh: Raihan Bt Nasir Biro Sukan MPP USIM Disemak oleh: Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
KELUARGA MURNI, NEGARA HARMONI- MASEC USIM 2014
NILAI, 29 MEI 2014 –Seminar Kaunseling Keluarga Dan Seksualiti (MASEC) USIM 2014 dengan tema “Keluarga Murni, Negara Harmoni” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) pada 28 dan 29 Mei 2014. Pelbagai program menarik yang menampilkan kaunseling hebat dari pelbagai bidang antaranya bengkel kemahiran kaunseling perkahwinan, pengenalan dan symptom-simpton LGBT, perundangan dan prosedur kes di mahkamah dan banyak lagi. Forum akan disampaikan oleh Prof Madya Dr. Saedah bte A.Ghani, Prof Emeritus Dr. Mohd Ismail Bin Mohd Thambi dan Prof Madya Dr Ahmed Mahir Bin Mohamed Mokhtar Bakri,Haji Hushim bin haji salleh dan ramai lagi. Kumpulan sasaran untuk menyertai seminar ini adalah pegawai-pegawai psikologi, kaunselor, pelajar dan orang awam. Kini, masalah sosial dan emosi dikalangan masyarakat khususnya remaja semakin meruncing. Walhal perkara ini dapat dibendung sekiranya ia bermula dari awal lagi serta mendapat didikan dan sokongan awal dari rakan-rakan dan keluarga terdekat. MASEC anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM bermatlamat meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran kepada peserta tentang kepentingan pengetahuan dalam seksualiti untuk menjadi kaunselor professional dalam bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan. Selain itu, MASEC turut membincangkan dan mengenalpasti isu-isu terkini yang berhubungkait dengan isu seksualiti ketika berhadapan dengan klien kelak. Seminar telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri YBhg. Dr Haji Hanafi bin Harun. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) YBhg. Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan YBhg. Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani. Disediakan oleh: Noorumaina Mohamed Yunus Penolong Pegawai Media StraComm