November 2025
Firdaus Tamat Pengajian USIM Selepas Kemalangan Hampir Meragut Nyawa
NILAI — Muhammad Firdaus Mazrishammin, graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), membuktikan kecekalan luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajiannya meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2023. Ketika kejadian, Firdaus, 25, sedang berada di tahun akhir pengajian dan bercuti semester sebelum memulakan latihan industri. Kemalangan itu meninggalkan kecederaan yang amat serius termasuk tengkorak retak dan pendarahan otak sehingga memaksanya menjalani pembedahan segera dan bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selama 46 hari. Akibat kecederaan itu, beliau mengalami kelumpuhan sebelah kanan badan dan tidak mampu menggerakkan tangan atau berjalan. Walaupun kini sudah menunjukkan perkembangan ketara, beliau masih memerlukan bantuan ibunya, Hamidah binti Jalaludin, 50, serta rawatan berkala oleh lebih 13 orang doktor pakar. Keajaiban kemajuannya menyebabkan beliau digelar “Miracle Boy” oleh pakar rehabilitasi. Cabaran Firdaus tidak terhenti di situ. Proses mencari tempat latihan industri menjadi ujian besar apabila lebih 10 syarikat menolak permohonannya disebabkan faktor kesihatan. Namun USIM tampil membantu dengan memberi kelonggaran khas membenarkannya menjalani latihan industri di USIM. Firdaus ditempatkan dalam tugasan yang tidak memerlukan pergerakan fizikal berat, antaranya berkaitan pengurusan, penyelidikan hukum, analisis halal dan kajian syariah dalam sektor industri halal. Ibunya turut mengakui tempoh pemulihan itu amat mencabar secara fizikal dan emosi. Beliau perlu menguruskan temujanji hospital yang kadangkala berlaku setiap hari atau selang sehari, memandangkan suami bekerja sebagai jurulatih kapal laut dan jarang dapat bercuti. Firdaus menzahirkan penghargaan mendalam terhadap keluarganya yang menjadi [...]
Kehilangan Ayah Sebulan Sebelum Peperiksaan Tidak Patahkan Semangat Graduan USIM
NILAI — Seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Khairul Ellysa Khairul Azman, 24, menamatkan pengajian Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) dengan penuh ketabahan apabila kehilangan ayah tercinta hanya empat minggu sebelum peperiksaan akhir. Ellysa, yang kini menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman di Bangi, berkata ujian itu merupakan cabaran terbesar sepanjang pengajiannya, terutama dari segi emosi dan fokus akademik. “Walaupun sukar, saya tetap teruskan kerana itu yang papa mahukan. Kejayaan ini saya hadiahkan untuk papa,” katanya ketika ditemui. Beliau memilih bidang kehakiman dan guaman syarie kerana minat mendalam terhadap profesion peguam dan keinginan memahami sistem perundangan Islam secara lebih menyeluruh. Sokongan ibu, adik-beradik, rakan-rakan serta para pensyarah banyak membantu beliau kembali stabil selepas pemergian ayahnya. Mengimbangi jadual akademik dengan komitmen kerja sebagai pelatih guaman bukan perkara mudah, namun Ellysa mengekalkan disiplin ketat dengan menyusun tugasan mengikut keutamaan, menetapkan matlamat harian dan memberi masa untuk rehat bagi menjaga kesihatan mental. Beliau berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar tetap kuat apabila berdepan ujian hidup. “Cari sokongan, beri ruang untuk pulih, dan teruskan langkah,” ujarnya lagi. Oleh: Muhammad Iqbal bin Shamshor Annuar
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud Perkenan Isytihar Pembukaan Konvokesyen Ke-23 USIM
NILAI (25 NOVEMBER 2025) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan legasi keilmuan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan meraikan seramai 3,631 graduan pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23 yang berlangsung hari ini hingga 28 November 2025 di Dewan Tuanku Canselor. Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, yang berkenan berangkat bagi mengisytiharkan pembukaan konvokesyen serta menyampaikan anugerah kecemerlangan universiti serta penganugerahan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama. Daripada 3,631 graduan pada tahun ini, seramai 103 graduan Doktor Falsafah (PhD), 101 graduan Sarjana, 2,923 graduan merupakan graduan Sarjana Muda, 212 graduan Diploma Lanjutan (DIJAP) dan 292 graduan Diploma Pascasiswazah (DPPI). Pada majlis yang sama Tuanku Canselor turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emerita. Penerima Anugerah Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi UCSI Healthcare Group. Manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dianugerahkan kepada Datuk Abdul Latiff S. Mirasa, Ketua Pegawai Eksekutif, Nasyrul Quran. Turut menerima penganugerahan adalah seorang tokoh akademik USIM, iaitu Profesor Dr. Fauzias Mat Nor Fakulti Ekonomi dan Muamalat bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emerita. Majlis yang berlangsung selama empat hari yang melibatkan tujuh sidang ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Anas Azmi, graduan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian [...]
USIM Cipta Sejarah, lahirkan 131 graduan dari tujuh program baharu
NILAI, 25 November 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah baharu apabila berjaya melahirkan sejumlah 131 graduan bagi tujuh program baharu pada Majlis Konvokesyen ke-23 USIM kali ini. Ia adalah program Doktor Falsafah Alam Bina, Sarjana Sains Alam Bina, Sarjana Sains Pergigian Gunaan, Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian), Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian) (Mod 3U1I), Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan dengan Kepujian serta Diploma Lepasan Ijazah – Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pada sidang pertama, seramai empat graduan sulung Program Sarjana Sains Pergigian Gunaan di bawah Fakulti Pergigian (FPg) diraikan. Graduan perintis tersebut ialah Nurul Kauthar Mohamad Khari, 34, Farishah Nur Abd Samad, 32, Vishalah Retna a/p Retnasingam, 39, dan Munirah Mohd Rosali, 36, merupakan antara 204 graduan yang menerima ijazah pada majlis konvokesyen Sidang Pertama yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud hari ini. Mereka mengambil masa setahun untuk menamatkan pengajian sarjana sebelum meneruskan perjalanan akademik ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun. Kehadiran mereka sebagai kumpulan graduan pertama program unik ini membuktikan komitmen USIM dalam menyediakan platform akademik berimpak tinggi yang melahirkan pakar bukan sahaja berkemahiran klinikal, tetapi juga mahir dalam bidang sains pergigian gunaan seperti bioteknologi dan teknologi bahan pergigian moden. Sepanjang tempoh pengajian, para graduan bukan sahaja mempelajari aspek kesihatan dan pergigian, malah turut diberi peluang mendalami integrasi ilmu Naqli dan Aqli, sejajar dengan falsafah pendidikan USIM yang inklusif kepada semua [...]
Mutawif & Pensyarah Tasmik: Dua Anak Muda Tamat DIJAP dengan Perjuangan Hebat
NILAI — Program Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menonjol sebagai platform lahirnya graduan berjiwa kental, apabila dua graduan pada majlis konvokesyen kali ini tampil dengan kisah perjuangan yang yang benar-benar menguji kekuatan diri. Bagi Muhammad Faruq Muhammad Idris, 29, kejayaan menggenggam skrol DIJAP bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol kekuatan menghadapi pelbagai ujian hidup. Anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini menetap di Ipoh, melalui laluan pendidikan agama sejak sekolah menengah, termasuk pengajian Tahfiz di Darul Quran sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Muda di Jordan. Namun cabaran sebenar bermula sebaik menyambung DIJAP apabila beliau perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai suami, bapa, anak dan pelajar, selain berdepan kekangan kewangan yang kritikal. Untuk menampung kehidupan dan yuran pengajian, Faruq bekerja serentak sebagai Pensyarah Tasmik sambilan di UNITEN, imam dan tenaga pengajar Bahasa Arab. Keadaan bertambah getir apabila ibunya diserang strok, manakala isterinya pula baru melahirkan cahaya mata mereka. “Ketika itu saya perlu jaga ibu, urus bayi baru lahir, bekerja dan pada masa yang sama menyiapkan tugasan pengajian,” jelasnya. “Belajar tiada had masa. Masalah bukan alasan untuk berhenti.” Faruq kini bersedia memulakan latihan dalam kamar (chambering) sebagai langkah ke arah menjadi Peguam Syarie bertauliah. Sementara itu, di Sabah pula, kisah Mohd Mirza Nazhan Mohd Usal, 25, membuktikan bahawa komitmen bekerja sepenuh masa tidak menghalangnya daripada menyelesaikan pengajian dengan cemerlang. Anak jati Lahad Datu ini mengikuti DIJAP Pesisir Sabah, inisiatif USIM untuk memberi peluang pendidikan syarie kepada profesional di Timur Malaysia. Sejak semester pertama, Mirza bekerja sepenuh [...]
Rezeki Pengantin Baru: Tamat DIJAP Bersama di USIM
NILAI — Pasangan muda Nur Nuwairah Mohammad Lutfi, 26, dan Muhammad Faruq Mohd Farith, 28, tidak menyangka rezeki mereka begitu manis apabila berpeluang menamatkan pengajian Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hanya dua bulan selepas mendirikan rumah tangga. Sebelum menyambung pengajian DIJAP, kedua-duanya merupakan alumni Universiti Malaya dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dengan Kepujian. Memilih USIM sebagai destinasi seterusnya, pasangan ini berkata program DIJAP menawarkan peluang kerjaya yang lebih luas dalam sektor kehakiman dan perkhidmatan kerajaan, selain kos pengajian yang lebih berpatutan berbanding universiti lain. Dari segi latar keluarga, Nuwairah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, manakala Faruq adalah anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik. Mengimbau perjalanan pengajian mereka, pasangan ini mengakui tempoh tersebut bukanlah mudah. Mereka perlu mengimbangi kerja, persiapan perkahwinan dan tugasan akademik. Namun sokongan keluarga menjadikan segala urusan lebih teratur. Nuwairah yang juga pempengaruh media sosial dengan 32.6 ribu pengikut di Instagram berkata, suaminya banyak membantu mengurus masa terutamanya ketika komitmen kerja dan pengajian semakin padat. Beliau mula menceburi dunia kandungan digital sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula dengan menjual knitwear dan menghasilkan ilustrasi digital sebelum beralih sepenuhnya kepada penciptaan kandungan. “Saya mula dapat perhatian sebab saya suka buat creative photo editing. Ramai jadikan hasil saya sebagai rujukan,” katanya. Pendapatan sampingan itu membantu menampung perbelanjaan harian sepanjang pengajian. Sementara itu, suaminya Faruq menitipkan pesanan kepada pasangan yang merancang untuk berkahwin semasa belajar. “Kalau nak kahwin masa belajar, ukur baju pada badan sendiri. Jangan banding dengan orang [...]
Air Mata di Sebalik Senyuman: Sharifah Tamat Konvo USIM Saat Suami Koma
NILAI - Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menyaksikan sebuah detik penuh emosi apabila seorang graduan Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP), Sharifah Shafika Amira Syed Shikh Mawardi, 29, melangkah ke pentas menerima skrol dalam keadaan diuji dengan dugaan keluarga yang amat berat. Sharifah, yang berasal dari Kulim, Kedah, menamatkan pengajian ketika suaminya masih koma sejak 18 Mei lalu selepas terlibat dalam kemalangan motosikal berhampiran rumah mereka. Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam itu menyebabkan suaminya mengalami Traumatic Brain Injury (TBI) dengan pendarahan serius di bahagian kanan otak sehingga menghilangkan sebahagian fungsi saraf. Sejak tragedi itu, rutin hidup Sharifah berubah sepenuhnya. Di samping menguruskan kuliah dan tugasan, beliau perlu menjaga suami di hospital dan membesarkan anak perempuan yang masih kecil. Namun dalam keadaan perit, beliau tetap berulang-alik dari Kulim ke USIM setiap minggu untuk menghadiri kelas serta peperiksaan dengan memandu seorang diri antara dua negeri tanpa pernah culas. Sharifah mengakui beliau turut berdepan kekangan kelengkapan belajar kerana tidak memiliki komputer riba. Tugasan hanya dapat disiapkan di pejabat sebelum beliau akhirnya membeli laptop terpakai secara ansuran agar dapat menyiapkan kerja-kerja pengajian di hospital sambil menemani suaminya. Di sebalik kesukaran itu, sokongan keluarga, terutama ayahnya Encik Syed Shikh Mawardi, 61, menjadi pendorong utama yang memastikan beliau terus bertahan. Ayahnya membantu menjaga cucu, mengurus persekolahan malah membeli semula kereta Sharifah bagi membolehkan yuran pengajian DIJAP diselesaikan. “Ayah saya adalah tulang belakang saya. Kalau bukan kerana pengorbanan beliau, saya tak mungkin berada di sini hari ini,” kata [...]
iLEC 2025 Angkat Tema Pembangunan Generasi Madani di Era Kecerdasan Buatan
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) sekali lagi menganjurkan International Language and Education Conference (iLEC 2025), sebuah persidangan dwitahunan yang menghimpunkan lebih 100 penyertaan dari kalangan sarjana bahasa dan pendidikan dari seluruh dunia termasuk China dan Bangladesh. Persidangan selama dua hari ini berlangsung bermula pada 17 hingga 18 November 2025 di FPBU, USIM. Bertemakan “Empowering Language and Education to Develop the Madani Generation in the Era of Artificial Intelligence”, iLEC 2025 memberi fokus kepada peranan bahasa, pedagogi dan penyelidikan pendidikan dalam membentuk generasi Madani yang progresif, kritis, beretika dan bersedia menghadapi cabaran kecerdasan buatan (AI). Persidangan ini juga memberi ruang kepada para peserta membina jaringan profesional merentas negara dan disiplin. Pakar-pakar bahasa dan pendidikan turut dijemput membentangkan wacana terkini berkaitan pendidikan, teknologi AI, literasi bahasa serta pembinaan masyarakat global yang Madani. Tahun ini, iLEC 2025 turut menerima sokongan antarabangsa menerusi kerjasama sebagai penganjur bersama oleh University of Anbar, Iraq, sekali gus memperkukuh jaringan akademik antara Malaysia dan Timur Tengah. Antara objektif utama persidangan ini adalah sebagai medan pertukaran idea, teori, teknik dan pengalaman dalam pendidikan dan Bahasa, selain mengupas isu kritikal era teknologi dan AI yang memberi kesan terhadap pedagogi, penyelidikan dan pembangunan generasi muda. Menurut Pengarah Bersama iLEC 2025, Dr. Habibah Ismail dan Dr. Farah Nadia Harun, iLEC 2025 membawa kelainan yang signifikan dengan memperkenalkan Action Research for Innovation and Sustainability in Education (ARISE) 2025 iaitu Pertandingan Kajian Tindakan memberi peluang kepada penyelidik mempamerkan hasil kajian tindakan inovatif selaras dengan keperluan pendidikan [...]
MJSL USIM Raih Pengiktirafan Berprestij Dalam Anugerah CREME Jurnal 2025
NILAI – Malaysian Journal of Syariah and Law (MJSL) di bawah pengurusan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan reputasinya di persada penerbitan ilmiah apabila menerima pengiktirafan berprestij dalam Anugerah CREME Jurnal 2025, iaitu salah satu kategori penghargaan di bawah Malaysia Scopus Research Star Award 2025. Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung pada 6 November 2025 di Everly Hotel, Putrajaya dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Pengiktirafan ini sekali lagi menegaskan kedudukan MJSL sebagai jurnal akademik terkemuka dalam bidang syariah dan undang-undang, bukan sahaja di Malaysia malah turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Penganugerahan ini mencerminkan keunggulan pengurusan jurnal MJSL yang mematuhi standard akademik antarabangsa, termasuk proses editorial yang telus, sistematik dan berintegriti. Ia juga memperlihatkan sumbangan besar jurnal tersebut dalam memartabatkan penyelidikan syariah dan undang-undang melalui penerbitan artikel berimpak tinggi daripada sarjana tempatan serta antarabangsa. Ketua Editor MJSL, Prof. Madya Dr. Ahmad Syukran Baharuddin berkata bahawa penganugerahan tersebut merupakan satu penghormatan besar buat MJSL dan USIM. “Sokongan dan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi memberi motivasi untuk kami terus meningkatkan mutu penerbitan akademik. Kami komited memastikan MJSL kekal relevan dan berimpak tinggi di persada penerbitan ilmiah,” katanya. Pengiktirafan dalam Anugerah CREME Jurnal 2025 ini turut membuka peluang untuk memperkukuh jaringan sitasi dan kolaborasi akademik di peringkat global, seterusnya mengukuhkan kredibiliti Penerbit USIM sebagai sebuah penerbit akademik yang berwibawa. MJSL dijangka terus menjadi wadah penting dalam menyumbang kepada wacana ilmu dan perkembangan penyelidikan dalam bidang syariah dan undang-undang, seiring aspirasi USIM untuk [...]
Pengambilan Ke-46 PALAPES USIM Raih Penyertaan Tertinggi
NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Sains Islam Malaysia (PALAPES USIM) mencatat sejarah baharu apabila seramai 58 calon Pegawai Kadet berjaya lulus Temuduga Akhir Pengambilan Ke-46 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM. Jumlah ini melebihi kuota asal iaitu 50 orang bagi setiap pengambilan, menjadikan ia penyertaan terbesar setakat ini. Calon-calon yang hadir terdiri daripada 35 lelaki dan 23 wanita, dan kesemuanya telah melepasi tapisan awal melibatkan pemeriksaan Body Mass Index (BMI), Ujian Kecergasan Asas (UKA) serta pemeriksaan kesihatan. Temuduga akhir dikendalikan oleh Lembaga Temuduga PALAPES USIM yang dianggotai lapan panel, dipengerusikan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM, Lt Kol Rozaimi bin Kamarudin. Menurut Lt Kol Rozaimi bin Kamarudin, saringan akhir ini amat penting bagi memilih calon yang benar-benar berpotensi dan berdisiplin tinggi. Beliau menegaskan bahawa PALAPES bukan sahaja platform latihan ketenteraan, malah medan membentuk sahsiah, jati diri dan nilai patriotisme dalam kalangan mahasiswa USIM. Sejurus selesai proses temuduga, kesemua 58 calon disahkan lulus dan seterusnya menghadiri Upacara Angkat Sumpah Pegawai Kadet Pengambilan Ke-46 PALAPES USIM. Majlis penuh tertib itu menyaksikan para calon melafazkan ikrar taat setia sebagai Pegawai Kadet, sekali gus menandakan pelantikan rasmi mereka ke dalam pasukan PALAPES. Upacara tersebut turut dihadiri para pegawai, ahli panel temuduga dan jurulatih yang menyaksikan detik bersejarah ini. Dengan pelantikan ini, para Pegawai Kadet akan meneruskan latihan ketenteraan mengikut Rancangan Pengurusan Latihan (RPL) PALAPES secara berperingkat. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar serta ucapan tahniah kepada semua Pegawai Kadet baharu. Diharapkan pelantikan ini menjadi permulaan perjalanan penuh makna dalam [...]









