April 2026
USIM, KOOP USIM Meterai Perjanjian Perkasa Pembangunan Insan Holistik
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Koperasi Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia Berhad (KOOP USIM) dalam satu majlis yang berlangsung di Eksekutif Lounge Canselori USIM pada 20 April 2026 baru-baru ini. Perjanjian berkenaan menandakan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh pelaksanaan program latihan berkualiti tinggi yang memfokuskan kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan insan secara holistik. Kerjasama tersebut akan berkuat kuasa sehingga tahun 2028 dan akan dilaksanakan menerusi Sa'adah Counseling and Consultation Centre for Wellbeing di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), yang berperanan dalam penyediaan modul serta pelaksanaan latihan. Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, perjanjian yang dimeterai itu bukan sekadar satu bentuk persefahaman antara dua institusi, malah merupakan satu komitmen besar dalam usaha memperkasa pembangunan insan secara menyeluruh. Beliau berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, aspek kesejahteraan diri tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan, sebaliknya perlu diberi perhatian serius dalam pembentukan individu yang seimbang dari sudut emosi, mental dan spiritual. “Melalui kerjasama ini, program-program latihan yang dirancang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kompetensi dan profesionalisme, tetapi juga membina jati diri, memupuk keseimbangan dalam kehidupan serta memperkasakan potensi insan agar mampu menyumbang secara lebih bermakna kepada organisasi dan masyarakat,” katanya. Tambah beliau, sinergi antara USIM melalui kepakaran akademik, penyelidikan dan pembangunan modul dengan KOOP USIM menerusi keupayaan pengurusan serta sokongan operasi diyakini mampu memperluas manfaat program kepada lebih ramai pihak. “Dengan sinergi ini, kita bukan sahaja melaksanakan program latihan, tetapi sedang membina satu ekosistem pembangunan insan [...]
Kompeni Umar Al-Khattab Juara Pertandingan Ujian Jalan Laju PALAPES USIM
NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Pertandingan Ujian Jalan Laju (UJL) Antara Kompeni dengan penyertaan seramai 90 pegawai kadet. Kompeni Umar Al-Khattab telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, diikuti oleh Kompeni Abu Bakar As-Siddiq sebagai naib juara, manakala Kompeni Uthman bin Affan menduduki tempat ketiga. Program yang berlangsung pada 12 April 2026 itu urut melibatkan pegawai dan jurulatih PALAPES USIM yang bertindak sebagai juri serta pengadil, manakala pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mejar Noor Efendy Haji Samih. Mejar Noor Efendy Haji Samih berkata, Ujian Jalan Laju ini telah dilaksanakan di sekitar kampus USIM melalui laluan dan jarak yang telah ditetapkan. Pertandingan ini membabitkan penyertaan daripada tiga kompeni yang bersaing secara kompetitif bagi menilai tahap kecergasan fizikal, ketahanan mental serta semangat kerjasama dalam kalangan pegawai kadet, selaras dengan keperluan latihan ketenteraan semasa. "Sejurus tamat larian, semua peserta telah menjalani pemeriksaan Full Set Marching Order (FSMO), iaitu pemakaian loreng tempur lengkap bersama bagpack. Pemeriksaan tersebut dilaksanakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan fizikal pegawai kadet sentiasa berada pada tahap optimum, di samping menguji keupayaan mereka melaksanakan tugasan dalam situasi sebenar yang melibatkan bebanan peralatan di lapangan", ujarnya lagi. Penganjuran UJL ini selaras dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-31, iaitu “Kemahuan Untuk Menang”, yang menuntut setiap pegawai kadet agar sentiasa berdaya saing, memiliki semangat juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi sebarang cabaran.
PALAPES USIM Terima Audit Luaran MASt, Perkukuh Tadbir Urus Dokumentasi Persaraan dan Pemberhentian
NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima kunjungan Tim Audit Luaran bagi pelaksanaan Audit Luaran MASt Pengurusan Dokumentasi Persaraan dan Pemberhentian Anggota Tetap Tentera Darat di Markas Kompeni (MK) PALAPES USIM, pada 17 April 2026 baru-baru ini. Audit tersebut bertujuan memastikan pasukan mengamalkan sistem pengurusan kualiti yang berkesan serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan menerusi Manual Kualiti MASt. Audit luaran berkenaan telah diketuai oleh Leftenan Kolonel Khairul Azmi bin Mohamed selaku Ketua Juruaudit Luaran dari Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) bersama Mejar Mohd Daud bin Mohamad dan Kapten Muhamad Hafiz bin Zakaria. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mejar Noor Efendy Haji Samih. Seterusnya, Leftenan Halimatun Saidah Aminuddin selaku Pegawai MASt pasukan telah menyampaikan taklimat berhubung pelaksanaan audit dalaman yang telah dijalankan oleh pasukan sebelum Tim Audit Luaran memulakan pemeriksaan. Sepanjang audit berlangsung, pemeriksaan fizikal turut dilaksanakan terhadap dokumen-dokumen berkaitan persaraan dan pemberhentian anggota tetap, yang diteliti secara terperinci oleh Tim Audit Luaran. Audit kemudiannya diteruskan dengan sesi Exit Conference, yang menyaksikan penyampaian dapatan serta maklum balas hasil pemeriksaan yang telah dilaksanakan. Sesi audit diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan oleh semua pihak sepanjang pelaksanaan audit tersebut. Secara keseluruhannya, audit yang dijalankan berjaya dipatuhi oleh pasukan berdasarkan keperluan senarai semak MASt Pengurusan Dokumentasi Persaraan dan Pemberhentian Anggota Tetap Tentera Darat. Pelaksanaan audit ini juga selaras dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31 melalui falsafah “Kemahuan Untuk Menang”, khususnya [...]
PALAPES USIM anjur Family Fun Run dan Family Day 2026, perkukuh semangat kekeluargaan
NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Family Fun Run dan Family Day PALAPES USIM Tahun 2026 bertempat di Markas PALAPES USIM pada 12 April 2026 baru-baru ini. Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan melibatkan warga PALAPES USIM yang terdiri daripada lapan pegawai, 18 anggota, 14 ahli BAKAT serta 38 kanak-kanak. Program dimulakan dengan sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum acara larian berlangsung. Aktiviti tersebut dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani bersama Pegawai Kadet dan berjaya menarik penyertaan aktif dalam kalangan anggota serta ahli keluarga dalam suasana ceria dan penuh bertenaga. Acara seterusnya ialah pelepasan Family Fun Run sejauh 3.2 kilometer yang telah disempurnakan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM, Lt. Kol. Rozaimi Kamarudin. Larian tersebut menyaksikan penyertaan anggota dan ahli keluarga yang berlari bersama dalam suasana harmoni, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan warga PALAPES USIM. Majlis penutup program pula berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah. Penganjuran ini turut menggabungkan sambutan Family Day PALAPES USIM yang memberi ruang kepada warga pasukan dan ahli keluarga untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai dan mesra. Pelbagai aktiviti telah diatur bagi memeriahkan program, antaranya permainan dalaman yang melibatkan keluarga dan kanak-kanak serta persembahan oleh pegawai kadet. Pengisian yang disusun bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan silaturahim antara warga PALAPES USIM dan keluarga masing-masing. Pada akhir majlis, acara penyampaian hadiah telah diadakan sebagai penghargaan kepada para pemenang atas pencapaian dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Turut diadakan [...]
JKSNS-USIM perkenal Jurnal Perundangan Syariah Dalam Talian Pertama di Malaysia
SEREMBAN – Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan Bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (KOPKES 2026) yang berlangsung di Klana Resort Seremban semalam menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan wacana perundangan Syariah negara menerusi peluncuran Jurnal AL-TAQRIR: Jurnal Perundangan Syariah dalam talian pertama di malaysia, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Konvensyen itu menghimpunkan pengamal undang-undang, ahli akademik serta pelajar dalam usaha memperkukuh wacana kehakiman dan perundangan Syariah di peringkat kebangsaan. Bertemakan “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita dalam Pemilikan Harta”, program ini menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk ucaptama dan forum yang membincangkan integrasi antara prinsip Syariah dan adat dalam pengurusan harta. Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, yang turut menyaksikan peluncuran jurnal berkenaan sebagai manifestasi penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan institusi kehakiman. Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun dalam ucapannya menegaskan bahawa Negeri Sembilan perlu berani diketengahkan sebagai sebuah Hab Intelektual Perundangan Syariah dan Adat yang disegani, selain menjadi destinasi rujukan kepada para cendekiawan, pelajar dan pengkaji dari dalam dan luar negara. “Penerbitan Jurnal AL-TAQRIR sebagai satu langkah berani dan progresif dalam mendokumentasikan khazanah perundangan serta penghakiman Syariah untuk rujukan dunia akademik”, ujarnya lagi. Beliau turut mengingatkan bahawa usaha memperkasa institusi kehakiman dan perundangan Syariah bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata. Penerbitan jurnal ini dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam memartabatkan penerbitan ilmiah berimpak tinggi dalam bidang perundangan [...]
USIM dan Lembaga Tabung Haji rai kejayaan 226 graduan Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2026
NILAI, (13 APRIL 2026) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama strategik Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meraikan kejayaan seramai 226 graduan Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2026 dalam satu majlis graduasi yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM hari ini. Program EPIH yang berlangsung dari Januari hingga Mac 2026 merupakan inisiatif akademik hasil kerjasama antara Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM dan Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji. Program ini bertujuan melahirkan pembimbing ibadat haji dan umrah yang profesional, berkemahiran tinggi serta berintegriti dalam memastikan kesejahteraan jemaah sepanjang pelaksanaan ibadah. Majlis turut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Encik Mustakim Mohamad yang menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama strategik antara TH dan USIM dalam memperkukuh ekosistem bimbingan ibadah haji negara. Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, program ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah berteraskan nilai dan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. “Melalui program EPIH, USIM berperanan melahirkan tenaga pembimbing yang bukan sahaja memahami aspek teknikal ibadah haji, tetapi juga memiliki keupayaan membimbing jemaah dengan hikmah, empati dan profesionalisme,” katanya. Sementara itu, menurut salah seorang graduan EPIH 2026 yang juga merupakan pelajar terbaik kali ini, Nur Hidayah Noordin,37, berkata, pertama kali mengerjakan umrah bersama Ibu pada tahun 2024 menyebabkan beliau nekad untuk menambah ilmu yang mendalam tentang ibadah umrah dan haji ini. “Saya rasa jahil ketika itu kerana banyak [...]
USIM Pilihan Majikan dan diiktiraf peneraju kebolehpasaran graduan
KUALA LUMPUR - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan pencapaian cemerlang apabila diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan menerusi empat program pengajian dalam Talentbank Graduate Employability Index 2026 pada 11 April 2026 baru-baru ini. Pengiktirafan oleh Talentbank ini adalah berdasarkan dapatan komprehensif kajian nasional yang menilai maklum balas serta validasi majikan sebenar di Malaysia, sekali gus memperlihatkan USIM sebagai antara institusi yang konsisten melahirkan graduan berkualiti tinggi dan menjadi pilihan industri. Empat program pengajian USIM yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Sains Aktuari (Fakulti Sains dan Teknologi), Perbankan (Fakulti Ekonomi dan Muamalat), Kaunseling (Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan) serta Pergigian (Fakulti Pergigian). Pengiktirafan ini mencerminkan tahap keyakinan tinggi industri terhadap kualiti graduan universiti ini, khususnya dari aspek kesediaan memasuki alam pekerjaan, kompetensi profesional, prestasi di tempat kerja serta kecenderungan majikan untuk membuat pengambilan berulang hasil pengalaman positif bersama graduan USIM. "Ia memperlihatkan keupayaan USIM dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berkualiti serta berdaya saing dalam dunia pekerjaan, dan seterusnya mengukuhkan kedudukan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang relevan, diyakini industri serta komited dalam melahirkan graduan holistik bagi memenuhi keperluan masa hadapan negara," ujar YBrs. Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM. Majlis penganugerahan berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBrs. Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah bersama wakil Pusat Kerjaya dan Alumni, Encik Mohd Hazrul Fareeza Harun yang kini menjalankan fungsi Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni.
Perkukuh jaringan global, USIM meterai kerjasama strategik bersama Universiti Uzbekistan
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperluaskan jaringan antarabangsa apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Urgench State University named after Abu Rayhan Biruni (USU), Uzbekistan dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama Rektor USU, Profesor Feruza Madrakhimova, yang mengetuai delegasi ke Malaysia. Dalam ucapannya, Naib Canselor USIM menyatakan bahawa kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi dalam memperkasa bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan ilmu, selaras dengan aspirasi USIM sebagai Universiti Rujukan Global berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Melalui MoA ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif kerjasama termasuk pertukaran staf akademik dan pelajar, perkongsian bahan ilmiah dan penerbitan, permohonan geran penyelidikan bersama serta penganjuran forum, seminar dan persidangan antarabangsa. Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak dalam memperkukuh kecemerlangan akademik di peringkat global, selain menyumbang kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran dalam dunia Islam. USIM turut berharap jalinan strategik ini dapat meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar dari Uzbekistan untuk melanjutkan pengajian di USIM, sekali gus memperkukuh lagi reputasi universiti sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan. Kerjasama ini menandakan satu lagi langkah signifikan USIM dalam memperluaskan jaringan global serta memperkukuh kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Fakta Sama, Kenapa Akta Berbeza Dalam Kes Kematian Jalan Raya?
Kes kematian di jalan raya sering mengundang perhatian masyarakat. Setiap kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, orang ramai pastinya berharap agar keadilan ditegakkan dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan yang sewajarnya. Namun, dalam beberapa kes, timbul persoalan apabila seseorang tertuduh didakwa di bawah akta yang berbeza walaupun fakta kes yang dilaporkan kelihatan hampir sama. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat: mengapa satu perbuatan boleh membawa kepada pertuduhan di bawah undang-undang yang berlainan? Bagi orang awam, situasi ini mungkin kelihatan mengelirukan kerana kes yang mempunyai fakta yang sama boleh dituduh di bawah undang-undang yang berbeza. Contohnya, jika seseorang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pertuduhan boleh dibuat sama ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kanun Keseksaan. Perbezaan akta ini membawa implikasi undang-undang serta hukuman yang juga berbeza. Dalam sistem perundangan, satu perbuatan boleh melanggar lebih daripada satu undang-undang pada masa yang sama. Ini bermakna fakta yang sama boleh membawa kepada beberapa kesalahan yang berbeza, bergantung kepada peruntukan undang-undang yang terlibat. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang boleh didakwa di bawah akta yang berlainan walaupun perbuatannya adalah sama. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian daripada struktur sistem perundangan yang membolehkan sesuatu perbuatan dilihat dari sudut yang berbeza. Setiap undang-undang mempunyai fungsi tersendiri dan melindungi kepentingan yang berbeza dalam masyarakat. Oleh itu, fakta yang sama boleh dinilai melalui beberapa perspektif undang-undang yang berlainan. Perrbezaan Tujuan dan Skop Setiap Undang-Undang Setiap undang-undang digubal dengan tujuan dan skop yang tertentu. Undang-undang lalu lintas, misalnya, memberi tumpuan [...]
USIM, UNIA Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Akademik dan Penyelidikan Serantau
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Al-Amien Prenduan (UNIA), Indonesia dalam satu majlis yang berlangsung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM pada 3 April 2026 baru-baru ini. Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa bersama Rektor UNIA, Dr. Muhtadi Abdul Mun’im. Turut hadir adalah barisan pengurusan tertinggi kedua-dua institusi serta delegasi akademik. Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, kerjasama ini merupakan kesinambungan hubungan strategik yang telah terjalin sejak tahun 2018 melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) bersama Institut Dirosat Islamiyah Al-Amien (IDIA) Prenduan. Beliau menyifatkan perkembangan UNIA sebagai sebuah universiti serta kejayaan pelaksanaan program mobiliti pelajar sebagai bukti kukuh keberkesanan kolaborasi ini. “MoU ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang bahasa, pendidikan serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada pembangunan ummah,” katanya. Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pertukaran pelajar dan staf, pembangunan program akademik bersama, pelaksanaan penyelidikan kolaboratif serta perkongsian penerbitan dan harta intelek. Kerjasama ini juga selari dengan aspirasi USIM dalam memperkasa integrasi ilmu Naqli dan Aqli, di samping memastikan pendidikan Islam terus relevan dan progresif dalam mendepani cabaran abad ke-21. Majlis ini sekali gus menandakan satu lagi langkah signifikan dalam usaha USIM memperluas jaringan global serta memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.









