November 2025
Dari Kejuruteraan ke Pendidikan: Ahmad Taufiq Buktikan Cita-Cita Menjadi Guru Tidak Pernah Terlambat
NILAI – Di usia 28 tahun, Ahmad Taufiq Mat Yaacob, anak jati Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan, membuktikan bahawa mengejar cita-cita sejati memerlukan lebih daripada sekadar satu ijazah. Graduan kejuruteraan elektronik ini kini kembali ke pangkuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengejar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam), sambil menguruskan ladang pertanian dan berkhidmat sebagai Guru Ganti KAFA di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal. Ahmad Taufiq, anak bongsu daripada empat adik-beradik yang kesemuanya merupakan pendidik, nekad mengikut jejak langkah keluarga. Beliau telah memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan dengan kepujian pada 2021, namun dorongan keluarga terutamanya ibunya, Puan Zabidah binti Salleh telah membulatkan tekadnya untuk menyambung pengajian dalam bidang keguruan. “Setelah menamatkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), saya menerima dua tawaran serentak, iaitu Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di UPSI dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di USIM. Atas nasihat ibu dan melihat semua adik-beradik saya berkhidmat sebagai guru, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran kembali di peringkat ijazah,” kongsi Taufiq. Mengimbas kembali strateginya, Taufiq menekankan pentingnya penetapan matlamat awal. Beliau menetapkan sasaran untuk mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. “Strategi saya mudah iaitu menetapkan matlamat dari awal contohnya dari peringkat semester pertama untuk mencapai anugerah Dekan. Jika ada subjek yang kita lemah, lebihkan fokus terhadap subjek tersebut berbanding subjek-subjek yang lain,” ujar Taufiq yang turut berkhidmat sebagai Presiden Sarjana Muda Pendidikan USIM bagi sesi 2023-2024. Kisah Taufiq menjadi lebih inspiratif apabila beliau berjaya mengimbangi tugas akademik yang mencabar dengan minatnya dalam bidang pertanian dan penternakan. Bermula dengan penternakan itik [...]
Dari Bilik Bersalin ke Dewan Peperiksaan: Kisah Cekal Graduan FPSK USIM Genggam Ijazah Kelas Pertama
NILAI – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini menyaksikan satu detik penuh emosi apabila sepasang suami isteri, Ahmad Sobri Iman Ahmad Fauzi dan Sharifah Amelia Syed Yazid, naik ke pentas bersama cahaya mata mereka, Ahmad Fateh (1 tahun 6 bulan), meraikan kejayaan keluarga kecil itu. Namun di sebalik senyuman bahagia, tersingkap sebuah kisah perjuangan luar biasa yang membuktikan ketabahan dan kekuatan mental seorang ibu muda. Sharifah Amelia, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dengan kepujian Kelas Pertama, berdepan ujian berat apabila perlu menduduki peperiksaan klinikal OSCE, peperiksaan yang terkenal dengan tekanan tinggi hanya beberapa hari selepas melahirkan anak sulungnya. Dengan perancangan teliti mengatur kelahiran pada hujung minggu, beliau kembali ke kuliah pada hari Rabu menggunakan kerusi roda, tetap bertekad menyempurnakan amanah sebagai pelajar tanpa mengabaikan peranan sebagai ibu. Kejayaan ini tidak hadir tanpa pengorbanan. Ia dibina melalui disiplin tinggi dan kerjasama erat antara pasangan ini. Ahmad Sobri Iman dan Sharifah Amelia mula mengenali sejak di Pusat Tamhidi USIM, dan sejak awal mereka mengamalkan pengurusan kewangan yang sangat berhemat, memanfaatkan sepenuhnya biasiswa JPA untuk membina simpanan sebelum mendirikan rumah tangga. Walaupun terpaksa melalui fasa hubungan jarak jauh apabila ditempatkan di kolej kediaman berlainan dan menjalani latihan klinikal di lokasi berbeza, mereka tetap belajar bersama secara dalam talian dan saling menguatkan. Ahmad Sobri Iman yang pernah tersenarai dalam Top 10 pelajar terbaik Peperiksaan Profesional Tahun Dua sentiasa menjadi mentor kepada isterinya. “Sebagai seorang suami, kita perlu sentiasa ambil tanggungjawab. Ini semua amanah, dan jangan sesekali berputus asa,”, ujarnya. [...]
“Tidak Rugi Langsung Sambung Belajar” – Dua Ijazah Kedoktoran Kini Dalam Genggaman
NILAI – Tiada siapa mampu menjangka perjalanan masa hadapan. Itulah kisah luar biasa seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini menggenggam dua ijazah kedoktoran pada usia muda, sekali gus menjadi inspirasi kepada para pelajar dan masyarakat. Dr. Nurmaizah binti Mohd Yusaimi, 32, baru sahaja menerima ijazah kedoktoran keduanya pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23, setelah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri. Sebelum ini, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang pergigian di USIM pada tahun 2017 dan berkhidmat sebagai doktor gigi selama setahun lima bulan. Memilih untuk kembali ke USIM sebagai alumni Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, proses kemasukan beliau ke bidang perubatan menjadi lebih mudah.“Saya bertegas dan tunjukkan kemahuan yang tinggi untuk sambung belajar. Tidak rugi langsung untuk sambung belajar kerana pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya sambil berkongsi hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pengkhususan dalam bidang perubatan pada masa hadapan. Menyambung pengajian selepas bekerja bukan satu tugas ringan. Banyak ilmu baharu perlu dipelajari, ditambah pula dengan pengalaman bertemu pesakit pelbagai ragam. Namun segala cabaran itu tidak menghalang beliau untuk terus melangkah sehingga bergelar graduan hari ini. Walaupun pada awalnya ada yang mempersoalkan keputusannya untuk kembali belajar, Dr. Nurmaizah tetap teguh dengan pilihannya. Sokongan rakan-rakan, pensyarah serta doa restu ibu dan ayah menjadi pendorong utama yang menguatkannya untuk terus maju menghadapi setiap rintangan. “Alhamdulillah, segalanya Allah SWT permudahkan,” tambahnya. Kisah Dr. Nurmaizah menjadi bukti bahawa tekad, disiplin dan kesabaran mampu membuka pintu kejayaan. Beliau menegaskan bahawa kejayaan adalah milik mereka yang tidak pernah berputus [...]
Qusyairash terima Anugerah Khas Keusahawanan Universiti
NILAI – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini terus menyaksikan kecemerlangan mahasiswa apabila Mohd Qusyairash Gregory @ Mohd Zainuddin graduan dari Tawau, Sabah, dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Khas Keusahawanan Universiti. Graduan berusia 24 tahun itu merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), dan berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Kedua Bahagian Atas (CGPA 3.33). Beliau merupakan anak keempat daripada enam beradik, membesar dalam keluarga sederhana yang sentiasa menekankan nilai berdikari dan keberanian mencuba. Minatnya dalam bidang keusahawanan mula terserlah sejak awal pengajian apabila beliau aktif menyertai program pembangunan bakat pelajar dan aktiviti kemahasiswaan berteraskan keusahawanan. Penglibatan aktifnya dalam beberapa inisiatif perniagaan pelajar, pengurusan projek serta latihan industri membuka ruang untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan pengurusan perniagaan. Usaha gigih itu akhirnya melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi peringkat universiti dalam bidang keusahawanan. Menurutnya, kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelajar dari pelbagai latar belakang mampu mencipta perubahan jika tidak takut mencuba. “Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini. Ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi hasil sokongan keluarga, rakan-rakan serta para pensyarah yang banyak membimbing sejak tahun pertama.” Beliau turut berkongsi bahawa perjalanan sebagai pelajar perantau dari Sabah bukanlah mudah, namun cabaran itulah yang menguatkan dirinya untuk lebih berdikari dan matang dalam membuat keputusan. Beliau menekankan bahawa dunia keusahawanan bukan hanya soal keuntungan, tetapi keupayaan membina nilai, memberi manfaat kepada komuniti dan berani keluar dari zon selesa. Katanya, pengalaman sepanjang pengajian mengajarnya bahawa kegagalan tidak harus ditakuti, sebaliknya menjadi ruang belajar untuk memperbaiki diri. “Usah takut [...]
Zulfithri Angkat Martabat Mahasiswa: Mantan YDP MPP Terima Anugerah Kepemimpinan
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan pelajarnya apabila Mohamad Zulfithri bin Mohd Johari, 24, diumumkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) sempena Majlis Konvokesyen ke-23. Beliau yang merupakan mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian. Zulfithri berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Beliau dibesarkan dalam keluarga sederhana; ayahnya, Mohd Johari bin Shafie, bekerja sebagai petugas kebersihan di RnR Gunung Semanggol, manakala ibunya, Hasmawati binti Abdul Hamid, merupakan suri rumah sepenuh masa. Latar belakang ini menjadi pemangkin semangat beliau untuk menuntut ilmu dan mengubah kehidupan keluarga. Sepanjang pengajian, beliau aktif dalam kepimpinan dan berjaya mengangkat nama USIM di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai wakil universiti ke Global Student Leadership Summit di Universiti Istanbul, Turkiye, bagi membentangkan kertas kajian bersama pemimpin pelajar dari seluruh dunia. Keupayaan beliau memimpin dan membawa suara mahasiswa menjadikan prestasinya diiktiraf di peringkat fakulti dan universiti. Untuk menampung perbelanjaan pengajian, Zulfithri turut bekerja separuh masa dalam empat bidang berbeza sepanjang tempoh belajar. Beliau pernah berniaga kecil-kecilan, bekerja di A&W dan paling mencabar, bekerja lapan bulan di Sports Direct Aeon Nilai dalam masa yang sama menjalani latihan industri di Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi. Beliau tidak bercuti selama hampir lima bulan, menghabiskan hari Isnin hingga Jumaat bagi latihan industri, manakala Sabtu dan Ahad bekerja sehingga lewat malam. Pengalaman tersebut menguji ketahanan fizikal dan mentalnya, namun menjadi titik penting dalam membentuk disiplin [...]
“Firdaus: Dari Hafiz 30 Juzuk ke Tokoh Maal Hijrah USIM
NILAI – Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah USIM, Muhammad Firdaus Mohd Faisal, 25, selamat bergraduasi bersama 123 graduan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang berlangsung pada sidang ketujuh Majlis Konvokesyen ke-23 USIM baru-baru ini. Beliau yang merupakan finalis Anugerah Tokoh Siswa Negara (Kesukarelawanan) turut muncul sebagai mahasiswa berpengaruh melalui gabungan kecemerlangan dalam bidang dakwah, kepimpinan, serta khidmat komuniti. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Firdaus tidak bermula dengan latar belakang pendidikan tahfiz. Minatnya terhadap hafazan muncul ketika zaman sekolah menengah, bermula dengan mempelajari teknik menghafaz daripada para ustaz sebelum memulakan hafazan melalui surah lazim dan surah pilihan. Minat mendalam itu akhirnya mendorong beliau mengikuti pengajian di Diploma Tahfiz Itqan Negeri Sembilan, dan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun. Sebagai hafiz 30 juzuk, Firdaus aktif memimpin komuniti setempat. Beliau sering diberi kepercayaan menjadi imam solat Tarawih di kawasan perumahan serta memimpin bacaan dalam majlis berbuka puasa bersama pensyarah. Sehingga kini, beliau konsisten melakukan murajaah bagi memelihara hafazan, membuktikan disiplin itqan bukan sekadar dicapai, tetapi dipertahankan. Selain menonjol dalam kepimpinan mahasiswa dan tokoh agama, Firdaus turut menyimpan aspirasi untuk menjadi ahli korporat. Beliau yakin ilmu dakwah dan pengurusan boleh dimanfaatkan dalam sektor korporat melalui urus tadbir strategik yang memberi impak lebih luas kepada masyarakat. Kini, Firdaus berkhidmat di Yayasan Negeri Sembilan sebagai Penyelaras Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan. Beliau bertanggungjawab menyelaras program mahasiswa termasuk kesukarelawanan, kepimpinan, serta jaringan antara negeri. Peranan ini disandang selepas tiga bulan menjalani latihan industri di organisasi sama, dan menunjukkan keserasian awal beliau [...]
Sarat mengandung bukan penghalang Aliya untuk habiskan pengajian
NILAI - Graduan Fakulti Pendidikan Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Aliya Yasmin Mohamad Nizam, 26, menjadi inspirasi pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23 apabila berjaya menamatkan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) dalam keadaan sarat hamil. Ketika melalui minggu-minggu genting peperiksaan dan penyiapan projek akhir, kandungannya sudah mencecah lapan bulan, namun beliau tetap teguh meneruskan pengajian. Komitmen Aliya Yasmin terhadap cita-cita untuk menjadi pendidik bertauliah mengatasi segala cabaran fizikal dan mental, membuktikan bahawa pengorbanan masa, tenaga dan kesihatan demi ilmu tidak pernah sia-sia. Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut berkongsi bahawa minatnya terhadap bidang perguruan mendorong beliau menyambung pengajian di USIM walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza. Menggalas peranan sebagai pelajar dan isteri yang sedang mengandung bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya apabila tugasan memerlukan pergerakan aktif. “So far okay, Alhamdulillah. Tapi cabaran yang paling saya risau adalah program luar yang mewajibkan kami berkhemah selama empat hari tiga malam di Pulau Besar, Melaka, ketika kandungan saya sudah empat bulan lebih,” katanya. Walaupun perlu mengikuti aktiviti yang agak lasak, beliau bersyukur kerana menerima pemantauan rapi daripada pensyarah serta jurulatih bagi memastikan keselamatannya sepanjang program. Pencapaian Aliya Yasmin turut diperkukuh oleh sokongan persekitaran yang kondusif. Beliau menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah FPBU yang sentiasa memahami keadaannya dan memberi kelonggaran sewajarnya. Tidak kurang penting, sokongan moral dan emosi daripada suami serta keluarga menjadi sumber kekuatan utama yang membantu beliau kekal fokus sepanjang pengajian. Beliau turut menitipkan pesanan kepada para pelajar, agar terus cekal mengejar [...]
Kasih Ibu Bapa: Antasha Bangkit Dari Ujian Kesihatan ke Pentas Konvo USIM
NILAI — Ketabahan seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Khadijah Antasha Abd Rashid, 23, wajar dijadikan inspirasi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian meskipun berdepan masalah kesihatan serius hanya sebulan sebelum menghantar Final Year Project (FYP). Antasha, anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Nor Alida Misti, 53, dan Abd Rashid Ali, 55, pada awalnya merancang menangguhkan pengajian selama satu semester. Namun dorongan rakan-rakan dan para pensyarah menguatkan tekadnya untuk terus berjuang sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah. “Saya memang tak sangka. Tapi atas dorongan kawan-kawan dan lecturer, saya habiskan juga,” katanya dengan penuh syukur. Beliau mengimbas kembali detik getir ketika diserang sakit saraf yang menyebabkan dirinya tidak mampu bangun, menulis atau makan sendiri. Sepanjang tempoh itu, rakan-rakan menjadi penyokong utama bantu menyediakan makanan, menyiapkan tugasan dan menemani beliau hadir ke kelas meskipun dalam keadaan lemah dan demam. Antasha turut berkongsi bahawa penglibatan aktifnya dalam StraComm Clique, khususnya dalam penulisan berita dan penyuntingan video, membantu menstabilkan emosi serta mengurangkan tekanan sepanjang pengajian. Namun sumber motivasi terbesarnya tetap datang daripada ibu bapanya, yang bekerja menjual nasi lemak. “Saya nak mak ayah saya berhenti jual nasi lemak. Itu yang buat saya teruskan juga walaupun sakit,” ujarnya. Bagi Antasha, momen menyarung jubah konvokesyen adalah antara detik paling bermakna. Sosok pertama yang terbayang di fikirannya ialah ibunya, insan yang menjadi “tangan” ketika beliau tidak mampu melakukan apa-apa sepanjang sakit. Beliau menegaskan bahawa tanpa kekuatan dan doa ibunya, kejayaan hari ini mungkin tidak akan tercapai. Menutup bicara, Antasha menitipkan [...]
Graduan USIM Harumkan Nama Negara, Pimpin Solat Tarawih di Korea
NILAI — Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli, 24, graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah mengharumkan nama negara apabila diberi kepercayaan untuk berkhidmat sebagai Imam Tarawih di Cheongju, Korea Selatan sepanjang Ramadan 2025 lepas. Tawaran tersebut pada mulanya mengundang rasa bimbang kerana perlu merantau seorang diri tanpa persiapan mencukupi, namun atas galakan rakan dan para guru, beliau akhirnya menerima peluang berharga itu malah segala perbelanjaan turut ditaja sepenuhnya. Anak kelahiran Kuala Kubu Bharu yang dibesarkan di Bukit Beruntung ini merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Ibunya, Khilwati Mashud, 56, menjadi tunggak keluarga selepas pemergian ayahnya pada tahun 2012. Sejak usia 13 tahun, Nizamuddin mula menghafaz Al-Quran dan berjaya menamatkan hafazan pada usia 15 tahun. Perjalanan pendidikannya merangkumi Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung Dua, seterusnya Maahad Tahfiz Wa Dirasah Islamiah Mawaddah di Teluk Intan. Beliau meneruskan SPM di Sekolah Menengah Agama Al-Taqwa sebelum melanjutkan STAM di Baitussaadah Education Group, Kota Damansara, di mana beliau memperkukuh penguasaan bahasa Arab dan mengulang hafalan. Beliau kemudian menyambung pengajian di USIM dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Tawaran ke Korea Selatan datang ketika beliau sedang mencari tempat Latihan Industri (LI) pada tahun akhir pengajian. Melalui cadangan penasihat di Baitussaadah Education Group, beliau dihantar oleh Pertubuhan Kebajikan Assolahiyyah Malaysia (PKAM) untuk berkhidmat di Cheongju selama sebulan. Berbekalkan karakter, bacaan, kepimpinan dan keyakinan, beliau kemudian diangkat sebagai duta bagi mengukuhkan hubungan dengan komuniti Muslim di Korea. Nizamuddin berkongsi bahawa suasana di Korea amat berbeza, dengan masyarakat Muslim merupakan kumpulan minoriti. Cheongju dianggap kawasan luar bandar [...]
Dua Pasang Kembar Raih Ijazah: Kejayaan Berganda di Konvokesyen USIM
NILAI — Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini mencipta momen istimewa apabila dua pasang kembar seiras diraikan serentak sebagai graduan. Kehadiran mereka bukan sahaja menarik perhatian para tetamu, malah memberikan sentuhan sentimental terhadap perjalanan akademik empat tahun yang ditempuh bersama. Bagi mereka, kejayaan ini bukan sekadar penutup sebuah fasa, tetapi bukti bahawa hubungan adik-beradik terutamanya sebagai kembar mampu menjadi kekuatan luar biasa dalam menempuh cabaran hidup. Pasangan pertama ialah kembar seiras dari Selangor, Saidatul Afifa Abdul Ghaffar dan Saidatul Afiqa Abdul Ghaffar, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Sejak kecil, mereka tidak pernah terpisah dan melalui hampir setiap fasa kehidupan bersama. Menurut mereka, proses permohonan UPU dilakukan secara berasingan mengikut minat masing-masing. Namun, takdir menemukan mereka kembali dalam program pengajian yang sama. “Masa isi borang UPU, kami buat secara berasingan dan tak bincang langsung. Bila keputusan keluar, kami terkejut apabila dapat universiti dan kursus sama,” kongsi mereka sambil tersenyum. Sepanjang empat tahun di USIM, mereka bukan sahaja menjadi rakan sekelas, tetapi juga rakan tugasan dan rakan serumah. Walaupun berbeza personality, Afifah yang ceria dan spontan serta Afiqa yang lebih tenang, perbezaan itu sentiasa menjadi pelengkap. “Kembar memberi banyak kelebihan, terutama bila buat tugasan berkumpulan. Kami saling percaya dan sudah faham cara kerja masing-masing. Bila subjek susah, kami belajar sampai dua-dua faham.”, ujar Afifa. Keberhasilan mereka di USIM kini diteruskan dengan langkah baharu apabila kedua-duanya melanjutkan pengajian ke Diploma Pascasiswazah Pendidikan Islam (DPPI) di USIM. Mereka mempunyai Impian untuk menjadi [...]









