Prof Dato’ Dr Wan Mohammad Nasir merupakan Dekan Pengasas, Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau pernah menerima anugerah “Distinguished Fellow of Asia” bersempena dengan kongres dan konvokesyen Asia-Pacific Region of Section XX, ICD di Kuala Lumpur pada 12 Mac 2016 yang lalu.

Anugerah yang diterima oleh beliau adalah hasil daripada pencapaian dan sumbangan sepanjang berada dalam profession pergigian.

Beliau telah terlibat dalam proses pembangunan profesion pergigian sejak tahun 1988 sebagai ahli Majlis Pergigian Malaysia (Malaysian Dental Council) termasuk tiga tahun sebagai pendaftar majlis.

Sebelum menceburi bidang pendidikan pergigian di peringkat Universiti beliau telah bergerak aktif dalam membangunkan kurikulum program pendidikan auxiliari pergigian untuk menyokong efisiensi dan keberkesanan kerja profesion pergigian semenjak tahun 1980an.

“Saya amat bersyukur kehadrat Ilahi di atas penganugerahan ini. Saya sudah melebihi umur 65 tahun dan selagi bertenaga dan berfikiran yang jitu, saya akan terus berusaha menyumbang kepada
profesion pergigian dan masyarakat”.

“Harapan saya ialah anak didik saya dapat terus berusaha dengan ikhlas dan gigih untuk pesakit mereka, masyarakat dan profesion pergigian melalui penghayatan nilai-nilai Islam.”

Beliau kini memegang jawatan sebagai pengerusi pemurnian dokumen akreditasi program pergigian dan turut dilantik menganggotai Jawatankuasa Teknikal Akreditasi Pergigian mewakili profesion pergigian.