Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah dan Undang-Undang

Semua sektor tempat kerja yang ada dalam negara perlu menilai semula semua sasaran kerja mereka serta menilai semula tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja mereka untuk seluruh tahun 2020 ini dengan mengambil kira keadaan semasa luar jangka yang sedang dihadapi pada ketika ini. Segala sasaran kerja serta tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja yang telah dirangka pada tahun yang lalu untuk digunapakai pada tahun ini sama ada disektor awam ataupun disektor swasta tidak lagi boleh dipakai akibat daripada penularan Novel Koronavirus (COVID-19) diserata dunia termasuklah dalam Malaysia. Penularan COVID-19 yang boleh membawa maut ini telah membawa perubahan drastik terhadap kehidupan semua pihak termasuklah kehidupan para pekerja. Banyak aktiviti harian serta kerja yang terpaksa ditangguh dan dibatalkan sepenuhnya bagi membendung penularan virus berkenaan.

Kerajaan diserata dunia juga termasuklah dalam Malaysia telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan virus berbahaya terbabit. Sama ada kita suka ataupun tidak, corak kehidupan kita sekarang sudah berubah sepenuhnya dimana ramai pihak yang tidak dapat melakukan tugasan seperti yang biasa dilakukan sebelum ini. Walaupun ada tempat kerja yang menyarankan kakitangannya untuk bekerja dari rumah dan mengunakan teknologi komunikasi moden, tidak semua tempat kerja yang mampu mengunakan sistem teknologi komunikasi moden dengan sepenuhnya atas faktor-faktor tertentu. Hasil kerja yang dilaksanakan melalui pengunaan teknologi komunikasi moden ini juga tidak dapat saingi dan mencapai tahap keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti pengunaan sistem kerja secara konvensional dengan berada ditempat kerja seperti yang biasa diamalkan oleh para pekerja dalam negara kita buat sekian lama.

Memandangkan kita tidak dapat memenuhi tahap keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti biasa yang dilakukan pada tahun-ahun sebelum ini, adalah ingin dicadangkan supaya supaya setiap tempat kerja yang ada dalam negara kita untuk melihat semula sasaran kerja yang telah disasarkan ditempat kerja masing – masing serta menilai semula tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja mereka sepanjang tahun 2020 ini. Adalah mustahil untuk para pekerja memenuhi segala segala sasaran kerja seperti yang telah dirangka serta memenuhi tahap prestasi akibat daripada penularan COVID-19.

Terdapat dua jenis sasaran kerja yang selalu digunapakai oleh para majikan dalam negara iaitu melalui sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sistem e-Prestasi. Sistem Petunjuk Prestasi Utama atau dalam Bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI) adalah satu sistem penilaian berkaitan dengan pencapaian sesebuah organisasi serta individu pekerja. Ianya selalunya dirangka pada awal tahun oleh pihak pentadbiran organisasi untuk difahami dan yang paling penting dipenuhi oleh setiap kakitangan pekerja mereka dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan didalam petunjuk KPI berkenaan. Buat sekian lama dalam negara kita pihak kerajaan telah banyak kali menyarankankan sektor-sektor kerja mengunapakai budaya kerja yang berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama atupun KPI ini. Sejajar dengan visi, misi dan fungsi setiap organisasi tempat kerja, setiap organisasi tempat kerja perlu mengukur tahap prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh mereka bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan dapat disalurkan kepada pihak pelanggan dengan baik. Pengunaan KPI ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tahap prestasi organisasi secara keseluruhannya serta tahap keupayaan setiap pekerja mereka. Usaha tambahbaik juga dapat dilakukan dengan mudah dengan melihat dan menilai semula sasaran yang tidak dapat dipenuhi didalam KPI terbabit.

Selain daripada pengunaan KPI, kita juga memiliki proses penilaian berasaskan e-prestasi. Proses penilaian e-prestasi ini adalah satu jenis proses penilaian prestasi setiap pekerja yang dinilai pada setiap tahun untuk diketahui tahap prestasi pekerja terbabit yang berkerja disesebuah tempat kerja. Banyak tugasan yang telah ditetapkan dan perlu dipenuhi oleh pihak pekerja sepanjang perkhidmatan mereka melalui proses e-prestasi ini. Terdapat juga sistem permarkahan tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja ini melalui sistem e-prestasi ini. Sekiranya pekerja terbabit gagal memenuhi tahap permarkahan tertentu seperti yang telah ditetapkan oleh pihak majikan ditempat kerja mereka, pekerja terbabit boleh dikenakan tindakan displin ataupun hukuman seperti penafian untuk kenaikkan tangga gaji tahunan dan lain-lain lagi.

Memandangkan penularan COVID-19 sudah pun menganggu segala aktiviti dan tugasan harian para pekerja dalam negara kita serta suasana ketidaktentuan pada masa kini akibat daripada penularan COVID-19 ini, adalah wajar sekiranya semua pihak majikan dalam negara kita untuk melihat dan menilai semula terhadap semua sasaran kerja yang telah ditetapkan serta tahap prestasi yang diharapkan untuk dipenuhi oleh setiap pekerja mereka. Sasaran kerja serta tahap prestasi setiap pekerja tidak boleh lagi dinilai pada tahun ini mengikut cara-cara yang telah dilakukan sebelum ini.