Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd NoorFakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Kita biasa mendengar orang bijak pandai mengatakan bahawa anak-anak kecil itu umpama sehelai kain putih. Terserah kepada kebijaksanaan ibu bapanya untuk mencorakkan ia dengan sewajarnya. Untuk itu ibu bapa memegang tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan dan kemandirian anak-anak mereka agar seimbang dari aspek fizikal, emosi, rohani dan intelek. Fungsi ibu bapa bukan semata-mata memberi makanan dan pakaian, bahkan meliputi aspek didikan yang sempurna serta menjaga keselamatan, kesihatan dan hak-hak mereka.

Namun, masih lagi wujud sebilangan daripada ahli masyarakat kita yang tidak memahami peri pentingnya memberi didikan yang sempurna buat anak-anak. Golongan ibu bapa ini bukan setakat mengabaikan bahkan mendera anak-anak mereka sendiri. Statistik kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan melibatkan peratusan yang tinggi dalam kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Laporan-laporan seperti ini sungguh membimbangkan semua pihak. Malaysia telah genap 61 tahun mengecapi kemerdekaan dan semakin hari semakin pesat membangun. Namun sayangnya, ia tidak disusuli dengan pembangunan nilai-nilai ketamadunan yang sewajarnya di kalangan sebilangan pihak dalam masyarakat kita.

Apa sebenarnya punca penderaan anak-anak ini? Berdasarkan kajian ilmiah pelbagai pihak, penderaan ini berpunca daripada masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak dan masalah yang berlaku di pihak pendera itu sendiri. Anak-anak dikatakan menjadi punca penderaan kerana asyik menangis, tidak mendengar cakap, tidak berdisiplin dan seumpamanya. Bagi ibu bapa pula masalah seperti mabuk, tekanan emosi, masalah seks, dan kecuaian menjadi faktor pendorong kepada penderaan anak-anak mereka.

Kesan penderaan terhadap anak-anak ini sudah tentulah kepada diri mereka sendiri. Di samping kesan fizikal di tubuh badan, wujud juga kesan mental dan psikologi. Anak-anak sudah tidak meletakkan ibu bapa sebagai pelindung yang boleh diharapkan di dalam kehidupan. Bahkan ibu bapa akan dianggap sebagai musuh yang ditakuti dan perlu dijauhi.

Natijahnya, mulalah mereka mencari jalan penyelesaian sendiri didorong dengan tahap pemikiran yang masih cetek, seperti menghisap rokok dan dadah, berpeleseran dengan rakan-rakan yang nakal, bahkan hingga ke tahap melarikan diri dari rumah atau melakukan pelbagai jenayah.

Selain itu banyak juga kajian ilmiah yang menyatakan bahawa kesan penderaan kepada kanak-kanak ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Dikatakan bahawa mereka akan mendera anak-anak mereka pula di atas faktor membalas dendam atau melempiaskan tekanan perasaan yang dilaluinya semasa kecil. Inilah antara gejala negatif yang menjadi implikasi daripada hilangnya nilai kemerdekaan dalam jiwa dan minda kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

Jika disoroti pernyataan di dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga bagi memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka. Namun mengapa masih ada lagi kes-kes penderaan? Inilah satu gejala yang boleh diiktiraf sebagai budaya ‘barbarian’ dan tidak bertamadun. Apakah wajar anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa ini didera sedemikian rupa? Jika faktor mahu mendidik dijadikan alasan, ini bukanlah kaedah yang tepat. Jika ibu bapa dan rumah tidak lagi menjadi entiti perlindungan yang boleh diharapkan oleh anak-anak, apalah ertinya konsep ‘Rumahku, Syurgaku’ pada mereka.

Sebagai langkah membanteras gejala penderaan terhadap anak-anak ini, kerajaan serius melaksanakan kempen-kempen kesedaran dalam memupuk nilai kasih sayang dalam institusi kekeluargaan. Kempen-kempen kekeluargaan yang diuar-uarkan melalui media massa, media cetak dan bahan-bahan edaran di pusat-pusat komuniti jelas cuba memupuk semangat dan kesedaran bahawa keluarga perlu diberikan keutamaan. Dalam konteks perundangan pula, kerajaan telah menggubal Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang melindungi hak golongan kanak-kanak daripada sebarang perlakuan penderaan atau pencabulan hak mereka. Selain itu, sesiapa yang didapati mendera kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian, akan disiasat dan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Namun, langkah pencegahan gejala penderaan yang lebih bermakna adalah di kalangan ibu bapa sendiri. Adalah dicadangkan agar pertamanya, ibu bapa meluangkan lebih masa untuk mendampingi anak-anak mereka. Ianya dapat memberi kesempatan yang luas kepada ibu bapa memahami perkembangan dan keperluan anak-anak mereka serta memupuk tali silaturrahim yang erat dalam keluarga. Misalnya, bawa anak-anak bersiar-siar atau berkelah, bersukan, menyertai aktiviti komuniti dan keagamaan, dan sebagainya.

Kedua, ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti mereka.

Ketiga, sekiranya anak-anak ada membuat kesilapan, dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenang-wenangnya menghukum membuta tuli. Hukuman yang ingin dikenakan sekalipun perlulah tidak melampaui batasan. Cukup sekadar memberi pengajaran dan tidak bersifat emosional.

Keempat, jika wujud sebarang bibit-bibit atau anasir yang boleh mendorong ke arah melakukan penderaan, ibu bapa perlu segera mendapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perkembangan psikologi kanak-kanak, pakar perubatan, ahli agama dan sebagainya. Tidak dinafikan bahawa bantuan daripada komuniti dan bijak pandai dapat membantu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan di dalam keluarga.

Secara umumnya pula, anak-anak yang diasuh dengan sempurna dan penuh dengan kasih sayang ini akan menjadi generasi yang diharapkan dapat terus menjana pembangunan dan pentadbiran negara pada masa hadapan. Ibu bapa harus ingat bahawa suatu hari nanti anak-anak mereka ini jualah yang akan membela nasib mereka semasa tua. Jika dari kecil lagi sudah didera dan tidak diberikan bimbingan yang sewajarnya, tidak mustahil ibu bapa ini akan memenuhi rumah-rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua kelak. Atau lebih teruk lagi, dibiarkan begitu sahaja oleh anak-anak mereka tanpa sebarang pembelaan.  Tidak dapat tidak, ibu bapa wajib mewujudkan dan mengekalkan nilai-nilai kemerdekaan yang total buat anak-anak mereka dari segi keselamatan, kesejahteraan dan perkembangan kehidupan mereka yang sihat.