Dr Sofia Hayati Yusoff
Dr Sofia Hayati YusoffPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Kemerdekaan adalah satu terma yang sudah difahami maksudnya oleh setiap golongan masyarakat. Malah anak-anak kecil yang berada di pra sekolah juga sudah didedahkan dengan makna sebuah kemerdekaan. Hari Kemerdekaan yang disambut saban tahun pada peringkat kebangsaan lebih kepada mengimbau kemerdekaan negara yang telah dikecapi sejak tahun 1957 lagi. Kerana sebuah kemerdekaan, Malaysia sudah mencipta pelbagai kejayaan besar dan rakyat jelata telah menikmati kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Daripada sebuah negara pertanian tanpa peralatan canggih, Malaysia telah menelusuri kejayaan dan perkembangan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan teknologi. Hari ini Malaysia mampu berdiri sebagai sebuah negara berdaulat yang merdeka dan maju dalam sektor pelbagai dan rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat majmuk dapat hidup penuh harmoni tanpa sebarang sengketa.

Akan tetapi, dalam kita menikmati kehidupan yang merdeka, semakin maju negara, semakin ramai rakyatnya yang menderita dan dibelenggu pelbagai masalah sosial kerana kepesatan dan kemajuan sesebuah negara itu. Malaysia tidak terkecuali. Kita dapat lihat hari ini betapa ramai rakyat Malaysia yang menghadapi pelbagai masalah sosial dan keadaan semakin parah jika tidak ada pengurusan yang baik bagi menangani segala penyakit sosial yang membelenggu  dan mengikat jiwa rakyat di dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan itu tidak dapat ditafsirkan secara komprehensif jika sebahagian rakyat menderita kerana dijajah oleh pelbagai penyakit sosial.

Masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang belum merdeka kehidupan mereka kerana belenggu hutang yang menjerut leher mereka sendiri akibat daripada kelumpuhan ekonomi dunia pasca COVID-19. Rentetan daripada masalah ini, timbul pula masalah lain iaitu penyakit mental akibat tekanan perasaan dan depresi kerana terlalu berat menanggung bebanan dan seterusnya menjejaskan emosi. Lebih parah lagi apabila semua yang membelenggu jiwa sebahagian rakyat ini mengundang kepada gejala sosial yang lebih teruk seperti rasuah, merompak dan membunuh. Memerdekakan jiwa dan kehidupan daripada penyakit sosial dalam menerajui sebuah kehidupan serba moden di atas tanah air yang sudah lama merdeka memerlukan kekuatan jatidiri dalam diri setiap rakyat. Inilah yang perlu diterapkan sedari kecil dan kekuatan jiwa serta jatidiri itu hanya boleh berlaku dengan penghayatan agama yang sebenar. Kekuatan iman yang disemai melalui penghayatan agama secara holistik mampu memerdekakan jiwa dan diri seseorang daripada belenggu pelbagai penyakit sosial seperti rasuah, rompak, dan lain-lain lagi.

Bersesuaian dengan kalimah Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud; “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Allah SWT telah berikrar di dalam kitab suci Al-Quran mengenai kehebatan umat Islam yang patuh kepada perintahNya dan ajaran sebenar Rasullullah SAW. Ayat di atas memberi indikator jatidiri itu terbina dengan penghayatan agama yang sebenar. Disitulah kemerdekaan jiwa akan dapat dikecapi secara komprehensif. Akhir kalam, kita bukan hanya ingin terus merdeka daripada penjajahan negara, tetapi kita juga mengidamkan sebuah kemerdekaan hakiki, iaitu kemerdekaan jiwa daripada penyakit-penyakit yang merosakkan jatidiri sebuah bangsa di dalam sebuah negara yang berdaulat.