Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanTimbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasmi melaporkan kes positif COVID-19 pertama negara pada 25 Januari yang membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, diam tak diam sudah hampir lima bulan kita ‘hidup’ bersama wabak ini. Bagaimana pandemik wabak COVID-19 merubah senario kehidupan sosial dan ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia dalam masa yang singkat tidak perlu diperjelaskan lagi kerana semua orang dapat melihat dan merasai kesannya termasuk penulis.

Selepas kes pertama dilaporkan, hari demi hari yang dilalui selepas itu makin mendebarkan rakyat Malaysia apabila KKM melaporkan kes-kes positif jangkitan makin bertambah dalam negara. Bermula dari satu angka bertukar ke dua angka dan seterusnya naik ke tiga angka jangkitan. Ia makin menambahkan ketakutan apabila kes kematian berpunca dari COVID-19 mula dilaporkan dan ketika ini rakyat Malaysia makin menyedari bahawa virus ini bukan biasa-biasa.

Satu keputusan yang sukar tetapi perlu dibuat telah diambil Kerajaan apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Mac membuat pengumuman secara langsung bahawa Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac diseluruh negara. Keputusan ini ibarat ditelan mati emak, diluah pula mati bapa tetapi ini pilihan terbaik setelah semua aspek diberi pertimbangan dengan penuh kebijaksanaan oleh Kerajaan. Dapat dilihat polis dan tentera bersama-sama membuat sekatan jalan raya dan rondaan, pergerakan rakyat dibataskan, sektor ekonomi bukan dalam ‘essential services’ terhenti, aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat dilarang, manakala sekolah dan instiusi pengajian tinggi lengang tanpa pelajar.

Atas keperluan untuk membendung dan memutuskan jangkitan di kawasan tertentu, Kerajaan melaksanakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan Batu 21 hingga Batu 24 di SungaI Lui, Hulu Langat dan Menara City One, Kuala Lumpur antara kawasan terawal dikenakan perintah ini. Kawad berduri dipasang memagari seluruh kawasan PKPD dengan tentera lengkap bersenjata mengawal ketat setiap inci kawasan agar tiada yang bolos. Segalanya terlihat umpama filem perang tetapi hakikatnya, memang negara sedang berperang dengan musuh halimunan yang amat berbahaya ini. Di medan peperangan sebenar dapat disaksikan frontliners kita bertempur hebat dengan COVID-19 siang dan malam, 24 jam tanpa henti. Mereka tiada masa untuk berehat secukupnya, malah ada yang tidak dapat berjumpa pasangan mahupun anak-anak dalam tempoh yang lama walaupun tinggal sebumbung.

Satu sejarah kepada negara untuk melihat rakyat Malaysia ‘berkurung’ di rumah untuk tempoh yang lama kerana PKP dan di sinilah bermulanya norma baharu dalam kehidupan kita. Selepas lebih dua bulan hidup dalam PKP, rakyat Malaysia dilihat sudah mula menerima kehidupan norma baharu dan menyesuaikannya dalam aktiviti ekonomi, pendidikan dan sosial seharian. Berkurung bukannya bermaksud kalah atau pengecut, tetapi inilah strategi perang paling berkesan untuk memutuskan rantaikan jangkitan sekaligus melandaikan graf COVID-19.

Kepatuhan rakyat Malaysia semasa pelaksanaan PKP dan semangat juang yang tinggi oleh barisan hadapan khususnya staf kesihatan KKM mula membuahkan hasil. Sehingga 31 Mei, kes kumulatif COVID-19 adalah sebanyak 7,819 kes dengan 6,353 pesakit ini telah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad manakala kes kematian masih rendah iaitu hanya 115 kes  atau 1.47 peratus daripada keseluruhan kes. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr. Noor Hisham Abdullah pada baru-baru ini juga mengumumkan bahawa Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan terakhir dalam melawan penularan COVID-19.

Ini berdasarkan kepada kejayaan Malaysia menurunkan nilai kebolehjangkitan atau RO (R-naught) ke paras yang rendah. Dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak, menurunkan nilai RO kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak. Dalam kes jangkitan COVID-19 di negara kita, nilai RO adalah 3.55 sebelum PKP dilaksanakan dan ia menurun kepada 0.6 semasa PKP dikuatkuasakan. Apabila Kerajaan memutuskan ingin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, data semasa KKM menunjukkan nilai RO semasa semakin menurun kepada 0.30 dan inilah menjadi asas mengapa kita kini dikatakan berasa di fasa pemulihan terakhir.

Selepas kita berjaya melepasi fasa pemulihan terakhir nanti dan PKPB ditamatkan tidak bermaksud kita sudah menang dan boleh hidup bebas seperti sebelum ini kerana kelekaan akan membawa padah. China yang telah lama melepasi fasa pemulihan tidak menyatakan bahawa mereka telah menang dalam menamatkan virus ini tetapi mengakui telah menang dalam mengawal dan mengekang penularannya. Segala saranan dan nasihat oleh Kerajaan dan KKM bagi mengekang penularan COVID-19 selama ini sebaiknya elok sahaja untuk kita terus kekal disiplin melaksanakannya walaupun tiada lagi penguatkuasaan dari pihak berkuasa.

Misalnya elakkan untuk berada di kawasan yang sesak dan sempit serta bertutur dengan jarak yang dekat kerana elemen penjarakan sosial terbukti berjaya memutuskan rantaian jangkitan. Rakyat Malaysia juga seharusnya terus menjadikan amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) sentiasa dibawa apabila berada di luar; dan memakai penutup hidung dan mulut (face mask) semasa di tempat awam atau jika bergejala. Peringatan daripada KKM seperti elakkan bersalaman/bersentuhan; amalkan etika batuk dan bersin; dapatkan rawatan segera jika bergejala; duduk di rumah dan elakkan amalan kunjung mengunjung; dan lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh juga tiada salahnya untuk kita terus amalkannya.

Amalan-amalan seperti yang dinyatakan di atas ini merupakan sebahagian norma baharu yang menjadi rutin seharian sepanjang PKP dan PKPB adalah bekalan terbaik untuk rakyat Malaysia membawanya selepas 9 Jun nanti sekiranya PKPB ditamatkan. Percayalah ia bukanlah bekalan yang sia-sia tetapi dapat membantu kita daripada dijangkiti COVID-19 dan mematikan terus penularan virus ini di kemudian hari.