GEORGETOWN, 17 Dis – Empat orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mewakili universiti ke pertandingan 3rd Creative Visual Awards di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ternyata tidak pulang dengan tangan kosong apabila menggondol kategori ‘Creative Media Award’ melalui video pendek kreatif mereka berjudul Origami.

Pertandingan yang memasuki edisi ketiga  dianjurkan oleh USM  ini terbuka kepada pelajar-pelajar universiti dalam dan luar negara. Sebanyak 12 video yang disenarai pendek oleh panel juri untuk merebut beberapa anugerah yang dipertandingkan antaranya adalah Creative Idea Award, Best Cinematography, Best Visual Effects, Best Editing, Jury Prize, Best Documentary dan Best Drama.

Kumpulan pelajar USIM ke pertandingan ini menggelarkan diri mereka sebagai Light Motion Production terdiri daripada Zainal Hakim Zakaria, Aiman Nasaruddin, Ahmad Hafiz Mislachuddin, Fairus Abdul Manaf, Maisarah Mohammad, Mohammad Nor Amin Jamaluddin, Jasmi M. Zain dan Muhammad Safuan Fadzil.

Melalui tuah Origami, mereka membawa pulang hadiah berupa baucer buku bernilai RM 500, piala dan sijil penghargaan. Menurut Aiman Nasaruddin, yang bertindak sebagai penyunting video, mereka sendiri tidak menyangka dengan kemenangan ini kerana video-video yang dipertandingkan pada pertandingan tersebut hebat belaka.

“Light Motion Production telah menghantar tiga video ke pertandingan ini, Alhamdulillah dua daripadanya telah disenarai pendek untuk majlis anugerah tersebut iaitu Origami yang mengisahkan mengenai pelajar sekolah yang menghidap penyakit Disleksia dan Dua Lebih Baik  yang menonjolkan kisah seorang lelaki yang melakukan pengorbanan di dalam pengorbanan”.

Antara video yang dipertandingkan adalah 50 Lorek Mawar Merah, Halus, Human Nature, Leleh, Nota, Origami, Potong, Shortcut, The Clock tower Conspiracy dan Traditional Wooden Shoes.

Disediakan oleh:

Light Motion Picture