NILAI, 14 JUL 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasakan bidang penyelidikan yang dipelopori oleh ahli akademiknya apabila menerima peruntukan terkini penyelidikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi berjumlah RM 1,133,300.00. Peruntukan ini diluluskan oleh Kementerian di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Fasa 1/2016 melibatkan 17 projek penyelidikan USIM.

Menurut kenyataan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan USIM, 17 projek penyelidikan ini mencakupi lima bidang iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (RM 69,000), Sains Kesihatan dan Klinikal (RM 199,000), Sains Sosial (RM 367,400), Sastera dan Sastera Ikhtisas (RM 347,900) ; dan Sains Tulen dan Gunaan (RM 150,000).

Antara projek penyelidikan yang menerima peruntukan geran yang besar ialah penyelidikan bertajuk Identification of the Predominant Infectious Oral Microbiome and Its Virulence Factors in Pericoronitis yang diketuai pensyarah Fakulti Pergigian, Dr. Ahmad Dzulfikar Samsudin berjumlah RM 120,000.

Diikuti pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Puan Nur Kareelawati Abd Karim menerima geran berjumlah RM 99,200 untuk projek  Developing a Model of Human Management for Muslims in Creative Media Industries in Malaysia. Manakala penyelidikan Electrical Studies of Renewable BioNanocomposite Biopolymer Electrolyte For Dye Sensitized Solar Cell (DSSC) Application oleh Prof Madya Dr Azwani Sofea, pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi menerima dana sebanyak RM 81,000.

Pemilihan 17 projek penyelidikan ini telah melalui saringan awal yang ketat oleh Jawatankuasa Penilai yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum diluluskan diperingkat akhir oleh Jawatakuasa Induk Skim Geran Penyelidikan Fundamental yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi. Penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian adalah berdasarkan kepada syarat, peraturan dan kriteria serta garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.

Pusat Pengurusan Penyelidikan USIM turut menjelaskan bahawa projek penyelidikan yang menerima peruntukan di bawah FRGS Fasa 1/2016 ini tidak dibenarkan untuk menerima sebarang peruntukan daripada Kementerian/agensi lain bagi projek penyelidikan yang sama serta Ketua Projek perlu mematuhi segala garis panduan yang berkaitan sepanjang tempoh penyelidikan ini berjalan mengikut tahun yang telah ditetapkan.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204