April 2015
BERGEMA TEMBAKAN M16 SUKSIS USIM DI MELAKA
AYER KEROH, 11 April - Bergema Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang dengan bunyian tembakan senjata Colt M16-A1 apabila seramai 187 orang pelatih Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengikuti program menembak tahunan anjuran Suksis USIM di sini. Para pelatih yang terdiri daripada Skuad 7, 8 dan 9 ini ternyata teruja dengan program yang diaturkan khas untuk mereka ini. Ia sebagai salah satu keperluan bagi memenuhi modul-modul latihan sepanjang mereka mengikuti Kor Suksis. Dikendalikan oleh Unit Persenjataan (AMRA) IPK Negeri Sembilan yang terdiri daripada 13 orang jurulatih, ia telah memberi keyakinan dan keberanian kepada peserta untuk menyelesaikan tugasan ini terutamanya bagi mereka yang kali pertama merasai pengalaman memegang senjata. Bagi Najwa Murtadza, 20, pelajar Tahun Satu Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dari Skuad 9, ini merupakan pertama kali beliau memegang senjata M16. "Perasaan saya amat teruja untuk mengikuti latihan menembak pada hari ini. Walaupun diakui rasa gementar itu ada apabila mendengar bunyi tembakan M16, tetapi dengan adanya jurulatih di sisi memberi nasihat seperti mengawal pernafasan dan membetulkan posisi menembak yang betul, ia amat membantu melegakan saya ketika itu. Saya sungguh seronok untuk mengikuti latihan seperti ini lagi" ujarnya. Menurut Jamiqulhuda Ahmad, 21, pelajar Tahun Dua Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dari Skuad 7 menyifatkan latihan seperti ini amaf bagus kerana ia melatih untuk para peserta lebih fokus dan berdisiplin. "Sepanjang empat semester mengikuti latihan Kor Suksis USIM, ini merupakan kali keempat saya mengikuti latihan menembak seperti ini. [...]
USIM STREET DAKWAH JELAJAH KE ALAMANDA
PUTRAJAYA, 4 April 2015 – Konsep pembelajaran dakwah dan unsur-unsur jati diri dalam hiburan masih dikekalkan USIM Street Dakwah yang meneruskan sesi jelajah mereka buat kali kedua ke Alamanda baru-baru ini. Menghidangkan hiburan santai melalui konsep pemuzik jalanan (buskers), program anjuran Pusat Kebudayaan USIM ini jelas membuktikan keunikannya berbanding buskers lain dengan mengetengahkan seni muzik islamik di samping mendidik masyarakat terutamanya golongan generasi - Y ke arah kebaikan. Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Ismail Ahmed, pemilihan lagu-lagu yang disampaikan mempunyai unsur nasihat, pedoman dan dalil Al-Quran seiring dengan tema sharing knowledge dan sharing awareness bagi mengamit perhatian pengunjung. “Menampilkan kepelbagaian genre muzik kali ini sesuai dengan citarasa penonton di sini yang lebih inginkan persembahan yang rilaks dan medium pengajaran yang tidak terlalu berat,” katanya. “Program kali kedua ini juga merupakan proses penambahbaikan dari segi persembahan dan pengurusan di samping persediaan USIM sempena persembahan Festival Hari Guru Kebangsaan pada 14 hingga 16 Mei dan USIM Street Dakwah Jelajah Kedah yang bakal berlangsung pada 1 hingga 7 Ogos nanti,” tambah beliau lagi ketika ditemuramah di sini. Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung, Mohd Han Adam inisiatif seperti ini menyajikan banyak manfaat kepada masyarakat agar mereka tidak leka dengan hal dunia bahkan boleh menghayati keindahan bait-bait islamik. Manakala pengunjung yang berasal dari Filipina, Ubaidah, sangat teruja dan terhibur dengan hiburan santai tersebut walaupun tidak memahami bahasa Melayu kerana alunan dan rentak dari alat-alat muzik membantu menghangatkan persembahan. Selain persembahan nyanyian muzik dari USIM Buskers, terdapat juga penampilan istimewa daripada Siso Kopratasa yang turut dengan [...]
MAJLIS PELANCARAN BUKU “SAINS AKTUARI: DARI AKTUARIUS KE AKTUARI OLEH MENTERI PENDIDIKAN ІІ
NILAI, 8 APRIL 2015- Pelancaran Buku “Sains Aktuari: Dari Aktuarius ke Aktuari” disambut meriah dengan kehadiran para pelajar, pensyarah dan guru dalam bidang Sains Aktuari yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia. Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan ІІ Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Bin Jusoh.Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Encik Kamarul Zaman Shaharudin, Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad dan penulis buku tersebut Dr. Haslifah Mohamad Hashim. Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko yang ditawarkan di USIM telah bermula sejak sesi 2005/2006. Sehingga Sesi Akademik 2014/2015, jumlah pelajar di peringkat sarjana muda adalah seramai 320 orang dan sebanyak 5 kohot pelajar telah bergraduat menjadikan alumni sarjana muda bagi program ini adalah seramai 127 orang. “Selari dalam mengangkat niche USIM iaitu menerajui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, program ini agak unik berbanding program sains aktuari yang ditawarkan di luar sana kerana kurikulumnya diadun antara ilmu konvensional (aqli) dan ditambah dengan nilai-nilai agama (naqli)”. “Sebagai contoh pelajar dikehendaki mengambil kursus Teori Hibah & Faedah kompaun dan Prinsip Insurans & Takaful yang mana kedua-dua subjek ini menggabungkan elemen pengetahuan bersifat konvensional dan pada masa sama mempelajari sistem yang berlandaskan Syariah. Uniknya, gabungan kedua-dua elemen naqli dan aqli dalam satu subjek tidak ditawarkan di institusi lain menjadikan pelajar sains aktuari USIM berpengetahuan tinggi dalam kedua-dua sistem kewangan konvensional dan Syariah dan lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan korporat yang serba mencabar”, tambah Dato’ Musa. [...]
PENDEBAT USIM JULANG PIALA DEBAT EKONOMI IBNU KHLADUN ANTARA UNIVERSITI
NILAI, 12 April - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mencipta nama dalam arena perdebatan Universiti dan mengekalkan reputasi memilik pendebat yang mampu memberi saingan hebat apabila muncul johan Kejohanan Debat Ekonomi Piala Ibnu Khaldun pada semalam. Pendebat USIM yang dibarisi Ikmal Jamaluddin, 19; Siti Suhaila Sharudin, 21; Ahmad Farouq Ahmad Fuad, 19 dan Wan Nur Afifah Wan Nafi, 19 bertemu dengan lawan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dibarisi Raja Mamat Raja Ibrahim, 20; Nor Fatin Syahirah Zulkapli, 20; Muhd Ammar Rafiq Ruslan, 20 dan Hapsah Mohd Saleh, 19. Pertandingan akhir yang diadakan Dewan Kuliah Pusat 3 USIM membahaskan usul " KWSP: Kera Di Hutan Disusukan" dengan UniSZA bertindak sebagai Kerajaan dan USIM sebagai Pembangkang. Selaku Johan, para pendebat USIM membawa pulang Piala Pusingan Ibnu Khaldun, wang tunai RM 2000, piala iringan dan sijil penghargaan manakala UniSZA selaku Naib Johan menerima wang tunai RM 1000, piala dan sijil penghargaan. Muhd Ammar pula dinobatkan Pendebat Terbaik Akhir dan membawa pulang wang tunai RM 500 serta pasukan debat USIM juga diumumkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan liga. Debat Ekonomi Piala Ibnu Khaldun yang bermula pada 9 hingga 12 April disertai 32 orang pendebat dari pelbagai Universiti Awam antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun. Kejohanan sulung yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM dengan kerjasama Kelab Debat USIM dan Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) merupakan suatu kejohanan debat baharu yang bertemakan ekonomi dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman terhadap [...]
UFM UITM SUNTIK SEMANGAT RADIO USIM
SHAH ALAM, 19 Mac – Lawatan sulung Radio USIM ke UFM UiTM baru-baru ini menjadi satu titik permulaan sekali gus bertindak sebagai batu loncatan kepada Radio USIM agar lebih berdaya maju dan kompetitif dalam bidang pengurusan radio kampus. Penyelaras Radio USIM yang juga pensyarah Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, puan Rosninawati Hussin menjelaskan objektif lawatan ilmiah yang julung-julung kali ini diadakan bermatlamat untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman mengenai radio masing-masing, “Inisiatif seperti ini mampu memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai cara susun atur dan teknologi yang digunakan oleh UFM dalam mengangkasakan imej mereka di samping menjalin ukhuwah antara dua universiti ini.” “Perkongsian ilmu melalui lawatan ilmiah ini membantu meningkatkan prakarsa dalam pelaksanaan Radio USIM dan mencabar kemampuan mahasiswa supaya keluar dari zon selesa,” tambah beliau lagi. Melibatkan seramai 38 orang mahasiswa USIM kunjungan ini dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada mahasiswa yang terlibat untuk terus melangkah ke hadapan dalam usaha menjadikan Radio USIM antara senarai radio kampus terbaik kelak. Menurut Ketua Eksekutif Radio USIM, Muhd Mursyidi Ab Alim, curahan input yang diberikan oleh UFM membantu Radio USIM untuk mengaplikasikan ilmu baharu seperti pengendalian segmen-segmen dengan baik bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar. “Radio USIM selepas ini perlu lebih bijak mengatur strategi dan memperkukuhkan pengurusan organisasi di samping penyampai radio sendiri perlu ada pengetahuan komprehensif dan skill komunikasi.” “Selain pengisian yang padu, penyampai radio perlu tahu menggunakan nada suara yang efektif untuk membina hubungan dengan pendengar dengan cara yang kreatif,” ujar beliau lagi. Menurut salah [...]
KHAIRUL ROZIKIN DAN AIN NAJWA DINOBAT OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI USIM 2014
NILAI, 10 April – Khairul Rozikin Abu Kassim, pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Ain Najwa Mohd Latif, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2014. Pemilihan mereka berdua sebagai penerima anugerah berprestij ini dibuat semasa Majlis Anugerah Sukan USIM 2014 yang berlangsung gilang-gemilang pada petang semalam di Dewan Besar USIM. Sebanyak 20 anugerah disampaikan antaranya Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang, Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik, Anugerah Pasukan Terbaik dan Anugerah Pasukan Harapan. Khairul Rozikin yang berasal dari Selangor menyinar dalam acara futsal apabila mewakili Malaysia ke Sukan Universiti Asean kali ke-17 di Palembang, Indonesia pada tahun lalu. Menghadiahkan negara dengan pingat gangsa, beliau membuktikan bahawa USIM juga mempunyai bakat berharga bertaraf antarabangsa. Bekas pemain bawah 19 tahun Felda United kini aktif sebagai pemain bola sepak dalam Liga Felda Kebangsaan melahirkan rasa syukur kerana anugerah diterima ini merupakan pengiktirafan kedua diterima beliau selepas baru-baru ini turut dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik Majlis Sukan Universti-universiti Malaysia (MASUM) dalam Majlis Anugerah MASUM 2014 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang disempurnakan oleh YB P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II. Bagi Ain Najwa, mewakili USIM dalam acara Pencak Silat dalam Kejohanan Silat MASUM tahun lalu dan berjaya menggondol Pingat Perak, ternyata memberi tuah kepadanya untuk dipilih sebagai Olahragawati USIM kali ini. Staf Jabatan Keselamatan iaitu Shah Ruddin Harun dan Wan Azura Radzuan, staf Jabatan Perpustakaan dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori Kakitangan. Shah Ruddin menghadiahkan Pingat [...]
TAUTAN MAHABBAH FKP TINGKAT KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR
GOMBAK, 22 Mac - Program Tautan Mahabbah yang menjadi program tahunan pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung dengan jayanya di Kem Alang Sedayu, Gombak, Selangor, baru - baru ini. Program tiga hari dua malam yang disertai seramai 174 orang mahasiswa tahun satu hingga tiga ini tampil dengan slogan ‘Menelusuri Tasbih Ukhwah’. Bagi penganjuran program tautan mahabbah kali ini, deligasi mahasiswa jurusan Komunikasi tahun dua tampil sebagai penganjur untuk merealisasikan program tersebut. Pengarah program, Mior Muhammad Shahid Mior Mohammad Zin berkata, “Program yang bertemakan perkhemahan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan pelajar selain mencungkil bakat terpendam dari aspek komunikasi, kepimpinan, pengurusan dan banyak lagi melalui aktiviti yang dijalankan.” Beliau yang ditemui selepas majlis perasmian turut berkata, “Diharap agar hubungan sesama pelajar kian erat sejajar dengan nama dan tujuan penganjuran program ini serta moga kasih yang kian terjalin kekal ke akhir hayat.” “Pelajar akan memperoleh banyak ilmu baharu yang boleh dipraktikkan kelak melalui aktiviti yang telah dijalankan,” ujarnya. Tambahnya lagi, sekalung pujian selayaknya diberi kepada para urus setia program yang sedaya upaya memberi khidmat terbaik dan bertungkus - lumus untuk menjayakan pogram ini selain berbangga dengan kerjasama dan penglibatan aktif daripada setiap pelajar. Ketika ditanya mengenai tema program yang agak berbeza berbanding sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa pihak ahli jawatankuasa program sengaja menampilkan kelainan agar mahasiswa keluar dari kelompok selesa masing-masing serta merasai pengalaman baru terutamanya pengalaman tidur di dalam khemah. Beliau turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan [...]
PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI ANJUR “SETITIS DARAH SERIBU MAKNA 2015”
NILAI - Pada 17 Mac – 19 Mac 2015, satu program derma darah telah diadakan di Lobi Kolej Kediaman 1, dan berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang. Program ini merupakan hasil kolaborasi antara Pusat kesihatan Universiti, Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar dan JUnit Tabung Darah Hospital Tuanku Jaafar. Golongan sasaran bagi program ini adalah terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia. Program Derma Darah Perdana Siri 1 yang bertemakan, “SETITIS DARAH SERIBU MAKNA 2015” ini merupakan program pertama bagi tahun 2015 dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti dan U3P Program ini adalah bertujuan untuk membuka peluang kepada pelajar dan kakitangan USIM bagi melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya kepada para pesakit yang dalam kecemasan, serta membantu Unit Tabung Darah HTJ bagi mengatasi masalah kekurangan Darah di Hospital tersebut , di mana pihak hospital telah mensasarkan untuk mendapatkan sebanyak 80 beg bekalan darah sehari. Walau bagaimanapun, program kali ini telah berjaya mengumpul sebanyak 228 beg darah dan merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Syabas diucapkan kepada para penderma. Selain dari itu juga pada 18 Mac 2015 (Rabu) di sesi pagi telah diadakan taklimat Thalasemia yang telah disampaikan oleh Dr. Zainab Kausar , Pegawai Perubatan, serta saringan percuma bagi ujian ini telah diadakan oleh wakil dari Klinik kesihatan Nilai. Program ini bertujuan untuk mengesan awal tanda-tanda masalah Thalasemia dikalangan pelajar dan kakitangan. Sehubungan itu, jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada barisan Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar dan Kakitangan Pusat Kesihatan Universiti [...]
FPBU ANJUR SINERGI PENGUCAPAN AWAM DAN KEUSAHAWANAN (SPEAK)
NILAI – Pada 27 Februari hingga 5 Mac 2014 yang lepas, satu program berbentuk bengkel dan keusahawanan dinamakan sebagai “Sinergi Pengucapan Awam Dan Keusahawanan” yang telah dianjurkan oleh Exco Kepimpinan Dan Pembangunan Modal Insan, dan juga Exco Penjanaan Ekonomi Dan Keusahawanan Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama bertempat di Fakulti Pengajian Quran Sunnah dan Pusat Tamhidi. Program ini membawakan tiga bengkel yang berbeza iaitu Bengkel Pengucapan Awam, Bengkel Adobe Photoshop, dan Bengkel MUET. Program ini bertujuan untuk memberi penekanan dan pemantapan Bahasa Inggeris dalam kalangan peserta khususnya melalui perlaksanaan secara teori dan praktikal di samping pembelajaran yang disediakan oleh pihak universiti. Selain itu juga, program ini bertujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkebolehan dalam perkara-perkara yang rumit. Dengan pelbagai aktiviti yang dirancang, selain dapat meluaskan pengetahuan, terdapat beberapa kemahiran lain yang dipelajari dan ditekankan terhadap peserta seperti perkongsian dalam kumpulan, kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran berkomunikasi. Program ini dijayakan lagi dengan penampilan istimewa iaitu PU Yusof, Hezry Yasin, Daie Farhan dan Aiman Azlan dalam slot Bengkel Pengucapan Awam. Manakala Bengkel Adobe Photoshop disampaikan oleh Al-Imran Azmi .Ketiga-tiga bengkel mendapat sambutan yang memberangsangkan iaitu seramai 400 orang pelajar. Lebih menarik lagi pihak penganjur membuka tapak jualan untuk memberi peluang kepada mahaiswa dan mahasiswi untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan sekaligus belajar bagaimana cara–cara untuk menjana kewangan. Rata-rata peserta yang ditemuramah memberikan komen positif terhadap penganjuran ini malah mencadangkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang. Disediakan Oleh: Norhafizah Binti Abu Hassan Pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian [...]
USIM PERKENAL POTONGAN GAJI SKIM WAKAF TUNAI DANA WAKAF AL-ABRAR
NILAI, 1 APRIL 2015 - Pusat Pembangunan dan Pembiayaan Wakaf (PPPW) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pendekatan baharu dalam memberi peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan amalan berwakaf dalam bentuk tunai melalui pelancaran Potongan Gaji Skim Wakaf Tunai Dana Wakaf Al-Abrar. Skim ini telah diperkenalkan untuk memudahkan semua kakitangan awam dan swasta untuk menunaikan ibadah wakaf dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang sering berlaku dalam menunaikan ibadah wakaf. Majlis pelancaran skim potongan gaji wakaf ini telah dirasmikan oleh Prof. Dato' Dr. Musa Ahmad, Naib Canslelor USIM sebentar tadi di Dewan Besar USIM. Sebagai perintis, skim ini difokuskan kepada kakitangan USIM terlebih dahulu dan akan dikembangkan secara berperingkat-peringkat kepada pihak luar. Inisiatif yang diambil oleh PPPW ini adalah selari dengan usaha USIM untuk menerajui dan menggalakkan pembiayaan pembangunan wakaf. Melalui PPPW, ia akan menguruskan kutipan dan agihan tabung amanah wakaf USIM berdasarkan keputusan Majlis Wakaf USIM - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jawatankuasa Dana Wakaf Al-Abrar. Dana wakaf yang dikumpulkan ini akan digunakan untuk aktiviti dakwah, pendidikan, penyelidikan, penerbitan, kesihatan, pembangunan pendidikan dan fasiliti kesihatan. Skim ini terbuka kepada semua kakitangan awam dan swasta yang beragama Islam. Masyarakat bukan Islam juga boleh memberi sumbangan wakaf tunai secara potongan gaji asalkan mereka bersetuju memenuhi syarat dan prosedur ditetapkan. Penyumbang juga tidak terhad kepada kakitangan syarikat dan agensi di Negeri Sembilan, malah ia terbuka kepada pihak luar untuk memberi sumbangan wakaf tunai secara potongan gaji. Kerjasama awal USIM-MAINS dalam memanfaatkan pembiayaan dana wakaf adalah menubuhkan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Klinik Hemodialisis [...]









