Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

April 2012

USIM, BiotechCorp Lancar Makmal Analisis IHRAM

NILAI- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) melancarkan makmal analisis halal Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) melalui kerjasama dalam bidang bioteknologi dengan usaha memacu indusri halal negara. Pelancaran yang diadakan sempena majlis rangkaian BioNexus Program (BNP) yang ke-3, dirasmikan oleh Y.Bhg. Profesor Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Hj. Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia. Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Dato’ Dr. Mohd Nazlee Kamal. Naib Canselor USIM dalam kenyataannya berkata, penubuhan makmal tersebut dilaksanakan adalah bertujuan bagi memastikan universiti sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan industri halal yang dilihat semakin penting dalam menjamin status halal sesebuah produk. “Makmal tersebut menawarkan perkhidmatan analisis produk halal serta menekankan konsep halal melalui latihan umum dan praktikal berkenaan pemilihan produk makanan, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain produk yang menjadi barangan keperluan seharian seorang Muslim,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, Dato’ Dr. Mohd Nazlee Kamal berkata, industri bioteknologi terbabit berperanan sebagai pemangkin nilai tambah kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perubatan dan perindustrian. “Negara kita turut berpotensi untuk menjadi hab halal serantau bagi pusat promosi dan pengeluaran, makanan halal, produk selain makanan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain,” katanya. Beliau menambah, kerjasama dengan USIM adalah bertepatan kerana ia merupakan pusat kecemerlangan universiti yang berperanan meningkatkan penjanaan kualiti ilmu, perkhidmatan, peralatan dan kemudahan. “Penghargaan harus diberikan kepada USIM dalam usahanya membangunkan salah satu makmal analisis halal di Malaysia serta universiti tersebut sedang mengorak langkah ke arah [...]

Siri 2 Walkathon 10,000 Langkah Sasar Penyertaan Lebih Ramai Warga Usim.

NILAI - Siri 2 Walkathon 10,000 langkah yang akan diadakan pada 25 April ini diharapkan dapat memupuk minat dan menarik lebih ramai lagi warga USIM untuk turut serta menjayakan program  kesihatan ini. Menurut Dr. Mohd Hairulhisyam Ngatiman, Pegawai Perubatan YM, Unit Kesihatan pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Program walkalthon siri 1 telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sukan pada 28 Mac yang lalu. “Kita mensasarkan penyertaan yang lebih ramai lagi khususnya warga USIM sendiri supaya turut serta di dalam program sihat seperti ini” ujar beliau. “Walkathon 10,000 langkah yang dirancang pada setiap hari rabu keempat setiap bulan  ini merupakan wadah dan pencetus cara hidup yang lebih sihat serta sempurna” tambah beliau lagi. Menurutnya lagi, walkalthon 10,000 langkah ini adalah senaman berjalan kaki sejauh 6 km di sekitar kampus USIM yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai jarak 6 km yang disasarkan dalam masa terdekat dan secara ukuran realiti program ini  akan memberi impak yang besar kepada kesihatan warga USIM. Unit Kesihatan Pelajar (UKP) mengucapkan jutaan terima kasih kepada  warga USIM yang turut serta dalam program ulung walkalthon 10,000 langkah pada Mac yang lalu dan mengalu-alukan penyertaan seluruh warga USIM pada 25 April ini di Kompleks Sukan Tunku Najihah. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Unit Kesihatan Pelajar di talian 06-7986115 Oleh: Unit Kesihatan Pelajar.

KK1 Ungguli SUKOL 2012

NILAI - Kolej Kediaman Satu (KK1) yang juga merupakan penganjur utama sukan antara kolej (SUKOL) telah dinobatkan sebagai  Juara keseluruhan bagi kejohanan sukan tersebut yang telah diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini. Kehebatan atlet-atlet KK1 terserlah apabila berjaya menjadi johan dalam acara bola sepak, bola jaring, sepak takraw, dan bola tampar. Menurut pengarah program, Rabiatul Adawiyah Arifen, beliau berasa bangga dengan warga KK1 kerana semangat kesukanan yang dipamerkan malah kemenangan yang dikecapi menaikkan lagi nama KK1 yang baru ‘setahun jagung’ bertapak di universiti. Tambah beliau lagi SUKOL dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 20,21 dan 22 April yang lalu dengan bertemakan “Sukan Membangunkan Modal Insan Holistik.” Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah seperti futsal lelaki dan wanita, bola jaring,  bola sepak, sepak takraw, catur, pingpong dan bola tampar di mana penyertaan terdiri daripada enam buah kolej kediaman iaitu Acacia Avenue, Desa Jati, Sutera Indah, Nilam Court, Camelia Court, Pandan Indah dan KK1. Majlis penutup dirasmikan oleh Y.Bhg. Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda yang turut memuji penganjuran program SUKOL pada kali ini. “SUKOL telah membuktikan USIM adalah cerminan insan holistik serta menepis tanggapan banyak pihak yang menyatakan mahasiswa Islam kurang aktif dalam bidang ko-kurikulum” Ujar beliau. Dalam pada itu, Naib Canselor turut mencadangkan agar diadakan sukan antara juara yang akan mempertemukan juara-juara SUKOL dan SUFA (Sukan Fakulti) di dalam meningkatkan lagi bilangan atlet di USIM. Oleh : Hazliana Abd Manan

Dakwah Berkesan, Empat Orang Asli Peluk Islam

PEKAN – Program Khidmat Sosial Orang Asli yang disertai 82 Pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) nyata tidak sia-sia dan memberi kesan apabila empat orang masyarakat Orang Asli di Kg Meranti, Pekan, Pahang berjaya memeluk Islam. Program yang disertai daripada empat gabungan program FKP iaitu Da’wah dan Pengurusan Islam, Akidah dan Pengajian Agama, Komunikasi dan Kaunseling nyata membuahkan hasil apabila empat masyarakat Orang Asli berbangsa Jakun di sana memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka setelah melihat pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan imej Islam yang ditampilkan para pelajar bersama keluarga angkat masing-masing. Menurut Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani berkata, segala usaha dan peluang yang diberikan kepada mereka (pelajar) telah digunakan sepenuhnya dan saya amat bersyukur serta berbangga dengan pencapaian murni mereka ini. “Saya harapkan mereka terus berusaha menjalankan misi da’wah Islam ini dan berterusan menyumbangkan ilmu agama yang mereka pelajari di Universiti untuk terus berbakti kepada masyarakat terutama kepada saudara baru,” katanya lagi. Sementara itu Nurul Jannah Mohamed Nawi, 21, bersyukur kerana ibu dan ayah angkatnya memeluk Islam walaupun mereka berdua sudah tua dan uzur. “Semasa bersama mereka saya tidak pernah bercerita mengenai kesucian agama Islam secara terang-terangan kerana bimbang mereka bosan dan terganggu. Sebaliknya saya dan dua adik beradik angkat yang lain bercerita mengenai kebesaran alam, kejadian langit dan bumi ini dengan penuh maksud yang tersirat dan mudah difahami. Sesungguhnya pengalaman berharga ini pasti tidak saya lupakan sepanjang hidup saya,” katanya sayu tatkala mengimbas kembali detik yang berharga itu. Lebih terharu lagi apabila saya sendiri [...]

TABUH PENDETA URUS SETIA KESENIAN PELAJAR LAKAR NAMA DI HARI KRAF KEBANGSAAN

KUALA LUMPUR - Tabuh Pendeta sekali lagi melakarkan sejarahnya yang tersendiri di persada kesenian tanah air apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Dikir Barat bersempena Hari Kraf Peringkat Kebangsaan 2012, yang bertempat di Panggung Sari Kompleks Kraf Kuala Lumpur, pada 1 April yang lalu. Kumpulan Dikir Barat USIM dari Unit Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar,  Universiti Sains Islam Malaysia yang dianggotai 25 orang pelajar, termasuk finalis Pentas Dikir; Satu Rentak Satu Jiwa kategori Tukang Karut, Zul Afkar Al-Husna Yusof yang lebih dikenali sebagai Sunan Malaya telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM 3000 beserta sijil penyertaan. Tabuh Pendeta turut merangkul Anugerah Tok Jogho Terbaik menerusi Tengku Helmy Farhan Raja Za’im yang bertindak selaku Tok Jogho kumpulan tersebut. Menurut Tengku Helmy Farhan Raja Za’im, kemenangan tersebut merupakan sesuatu yang di luar jangkaannya serta berasa gembira di atas penganugerahan tersebut. “Saya hanya berusaha memberikan yang terbaik serta berdoa supaya persembahan kami berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” tambahnya. Manakala bagi Zul Afkar Al-Husna Yusof, beliau memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Illahi serta menyatakan ini merupakan satu pengiktirafan yang diterima oleh kumpulannya untuk terus bergiat aktif dalam arena kesenian dan kebudayaan. “Kami berpegang dengan moto kami iaitu ‘tarikan budaya melalui pendekatan Ta’abbudiyyah’ iaitu dengan menggunakan tarikan dikir barat sebagai budaya untuk berdakwah serta membawa kelainan dalam persembahan dengan menyelitkan unsur dakwah sama ada secara sedar atau tidak sedar,” ujarnya lagi. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM, tenaga pengajar yang dikasihi serta [...]

Bakal Doktor Bolot Piala Debat Naib Canselor 2012

NILAI – Dominasi baru di dalam arena perdebatan Universiti Sains Islam Malaysia telah membuktikan bahawa bakal doktor juga mampu bergelar seorang pendebat yang petah berkata-kata dengan hujah dan fakta yang boleh mematahkan pihak lawan. Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012 yang berlansung pada 7 April yang lalu telah mencatatkan sejarah yang tersendiri buat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan tersebut. Kejohanan yang mempertandingkan tiga kategori bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, serta Bahasa Arab ini merupakan anjuran Kelab Debat USIM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Peringkat akhir bagi kategori Debat Bahasa Melayu telah menyaksikan pertembungan di antara Pusat Tamhidi selaku pihak kerajaan, dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) selaku pihak pembangkang, kemenangan berpihak kepada Pusat Tamhidi sebagai juara dengan undian juri profesional sebanyak lima berbalas dua. Manakala, Debat Bahasa Inggeris diungguli FPSK selaku pihak pembangkang yang bertemu dengan FSU selaku pihak kerajaan dengan keputusan juri berpihak kepada FPSK sebanyak lima berbalas dua. Kehebatan FPSK tidak dapat disangkal lagi apabila turut mengungguli kategori Bahasa Arab dengan menewaskan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) di peringkat akhir, seterusnya mengangkat FPSK selaku juara keseluruhan Debat Piala Naib Canselor bagi tahun ini. Pendebat terbaik kategori Bahasa Arab, Muhamad Harith Abdul Rani, Tahun 2, FPSK, menyatakan kesyukuran beliau yang tidak terhingga di atas penganugerahan tersebut. “Debat merupakan salah satu medium untuk menyampaikan mesej agama dan insya-Allah saya akan teruskan penglibatan dalam arena ini bagi mengangkat semula imej Islam,” ujar beliau. Menurut Muhammad Alif Haji Md. Salleh, [...]

Mac 2012

100 perwakilan Persatuan dan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas IPTA Berhimpun di USIM

NILAI 23 Mac – Seramai 100 perwakilan Persatuan dan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas dari 15 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berhimpun di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini bersempena dengan Program Sumbangsaran Intelektual Peringkat IPTA “Transformasi Kecemerlangan Skim Pentadbiran IPTA”. Turut hadir pada program ini Presiden CUEPACS, Y.Bhg. Dato’ Hj. Omar Osman. Program anjuran Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Institusi Pengajian Tinggi Awam (MASTI) dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ini adalah bertujuan untuk menambah baik sistem tadbir urus dan governan serta menyelaras sistem penyampaian (delivery system) IPTA. Selain itu juga, objektif penganjuran program ini adalah bagi mengukuhkan dan menyebarluaskan jaringan kerjasama (networking) di kalangan Pegawai Tadbir Sektor Pengurusan & Profesional serta Ikhtisas IPTA disamping menyeragamkan prosedur dan proses kerja dalam pengurusan dan pentadbiran. Dalam pada itu, satu memorandum mengandungi saranan penambahbaikan skim perkhidmatan Kumpulan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Seluruh IPTA turut diserahkan kepada Y.Bhg. Dato’ Hj. Omar Osman untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan. Memorandum yang mempunyai sembilan cadangan penambahbaikan ini antara lain adalah bertujuan untuk mentransformasikan Skim Perkhidmatan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh: Khairul Azizi Elias

PERMATA INSAN MENYERLAH DI MINI EKSPO PERMATA JOHOR BHARU 2012

JOHOR BHARU- Akademi PERMATA INSAN sekali lagi berjaya mempertemukan anak-anak genius Muslim dengan masyarakat setempat  dalam  Mini Ekspo PERMATA 2012 yang telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bharu, pada 9 hingga 11 Mac 2012 baru-baru ini. Mini Ekspo yang terbuka kepada orang ramai, bermula seawal jam 10.00 pagi dan telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Pelbagai aktiviti menarik dipersembahkan oleh anak-anak PERMATA dari setiap booth hinggalah ke persembahan pentas.Sambutan dari para pengunjung sepanjang program berlangsung begitu memberangsangkan. Dalam pada itu, PERMATA Insan turut tidak ketinggalan mempamerkan informasi-informasi bermanfaat seperti ruang Young Scientist, Tajweed & Taranum, Mental Arithmatic, E-Learning : our Virtual School, Fun with English, Exploring Arabic, PERMATA Insan Creativity Station dan History: Successful Islamic Civilization. Lebih membanggakan, Anak-anak PERMATA Insan turut berjaya menarik perhatian pengunjung dengan persembahan pentas yang begitu hebat, seperti Forum Perdana "Menjana Cendekiawan Islam", Syarahan Umum dan “Who Are Smarter Than a Third Grader”, sebuah persembahan yang menguji kecekapan anak-anak PERMATA Insan dalam Mental Arithmatic. Oleh : Akademi Permata Insan

USIM Tubuh IQBraille

SEREMBAN 13 Mac - Institut Quran Braille (IQBraille) telah ditubuhkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan matlamat untuk muncul sebagai sebuah pusat kecemerlangan di universiti tersebut. Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, IQBraille ditubuhkan atas rasa tanggungjawab USIM dalam memartabatkan pendidikan Islam bagi orang kurang upaya (OKU) terutama kepada mereka yang mengalami masalah penglihatan. "Ini secara tidak langsung akan menggalakkan kerjasama semua pihak dalam melakukan penyelidikan dan perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial masyarakat," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di sini semalam. MOU itu bertujuan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan perkhidmatan kepada OKU Penglihatan dalam bidang pengajian Islam. Ia ditandatangani antara USIM, Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (PERTIS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pada majlis itu juga, USIM menyerahkan naskhah Iqra' versi braille kepada tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Penglihatan iaitu SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur, SKPK Princess Elizabeth, Johor dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, SKPK Seremban. Turut hadir, Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Profesor Dr. Roslan Abdul Rahman; Yang Dipertua PERTIS, Zakaria Yahya dan Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Datuk Zamani Sulaiman yang juga Penasihat PERTIS. Dr. Muhamad berkata, PERTIS merupakan badan yang bertanggungjawab memperkenalkan penulisan al-Quran braille berkomputer, di samping melatih pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM menyampaikan kandungan pengajaran al-Quran dalam bentuk tulisan braille. Sementara itu, kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM adalah bertanggungjawab menghasilkan Panel al-Quran Braille Elektronik (eBraille al-Quran) bagi memudahkan pembacaan dan pengajaran kitab suci itu. Beliau berkata, kebanyakan tenaga pengajar [...]

USIM, UTM dan PERTIS Bekerjasama Menghasilkan al-Quran Braille Cetak

NILAI 12 Mac — Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (PERTIS) bagi menghasilkan al-Quran dalam tulisan braille. Satu memorandum persefahaman mengenainya ditandatangani di sini hari ini yang diwakili oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Profesor Dr. Roslan Abdul Rahman dan Yang Dipertua PERTIS, Zakaria Yahya. Dr. Muhamad Muda berkata, ketiga-tiga pihak akan menjalankan penyelidikan berdasarkan kepakaran dan pengetahuan masing-masing. Beliau berkata, PERTIS bertanggungjawab memperkenalkan penulisan al-Quran braille berkomputer di Malaysia dan membimbing pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM dalam menyampaikan kandungan pengajaran al-Quran braille. Kerjasama dilakukan dengan UTM kerana melalui kumpulan penyelidiknya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, telah berjaya menghasilkan produk pertama seumpamanya di dunia iaitu e-Braille al-Quran yang memudahkan pembacaan dan pengajaran al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, kata Dr. Muhamad.— BERNAMA

Go to Top