Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

Jun 2019

Ketahui 10 adab ini ketika ziarah Aidilfitri

Islam menggalakkan umatnya agar berkasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka, antara cara untuk merapatkan lagi kasih sayang sempena Syawal ini adalah dengan ziarah menziarahi. Ini berdasarkan daripada hadis bahawa sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud:  “Orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut sakit.” [Muslim:4685]. Berkesempatan dengan hari raya, maka sudah menjadi budaya orang Malaysia untuk ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan juga ada yang melakukan rumah terbuka tanpa mengira bangsa dan agama. Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni. Dalam kita sibuk menziarahi, Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi supaya kunjungan tersebut mendapat pahala dan tidak menjadi dosa. Sebelum berziarah ke rumah sanak saudara mahupun jiran tetangga, ketahui 10 adab yang perlu anda patuhi. 1. Ikhlaskan diri kerana Allah Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya”. [Bukhori: 1] Maka dengan niat kerana Allah di dalam ziarah hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik. Ini kerana dengan keikhlasan diri maka bersama kehadiran kita itu akan menjemput rahmat Allah. 2. Meminta izin untuk hadir dan memberikan salam sebelum masuk ke rumah Sebelum kunjungan dibuat, Islam meminta kita supaya meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah. Ini bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah untuk [...]

Mei 2019

Kedai Mesra Petronas sumbang Infaq Ramadan kepada pelajar USIM

NILAI, 29 Mei 2019- Bersempena Program Santunan Ramadan dengan penganjuran pengisian petrol percuma dan edaran iftar kepada motosikal dibawah 150cc hasil kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dengan Petronas Bandar Baru Nilai, program turut meraikan pemberian infaq Ramadan dari Kedai Mesra Petronas sumbang 20 kotak berisi barangan makanan untuk diberikan kepada para pelajar USIM yang memerlukan. Sumbangan ini merupakan hasil kerjasama dari cawangan Kedai Mesra Petronas sekitar Cheras, Semenyih dan Nilai atau lebih dikenali sebagai Trading Area 16 (TA 16). Sumbangan berisi makanan seperti biskut, roti, makanan ringan dan minuman itu akan ditempatkan di Kompleks Islam Tunku Muhriz yang menjadi tumpuan pelajar untuk solat dan beristirehat selepas waktu kuliah. Encik Harith Ashraf Zulemran Pengurus Kawasan TA 16 Wilayah Tengah 3 berkata, program ini amat memberi makna kepada para pelajar yang sememangnya ada kalangan mereka yang kurang berkemampuan dan terpaksa mengikat perut untuk berjimat. “Kerjasama seperti ini diharap dapat meringankan beban dan dijalankan secara berterusan pada masa akan datang, juga USIM merupakan universiti berdekatan dengan Petronas Bandar Baru Nilai  dan pastinya pengguna setia dan sokongan dari warga USIM tidak dinafikan”. Manakala Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad, juga turut berterima kasih dan menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Petronas dan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dalam menyantuni ummah dengan penganjuran pengisian petrol percuma beserta edaran iftar kepada penunggang motosikal bawah 150cc yang diadakan buat kali kedua. “Saya berharap agar akan ada perancangan CSR projek yang lain, menjalankan kerjasama dalam menggunakan kepakaran yang ada di USIM”, tambah Dato musa. [...]

Mencari malam keampunan Ilahi

Masa berlalu begitu pantas. Rasanya baru sahaja kita bertarawih pada malam pertama Ramadan. Hari ini Ramadan sudah memasuki fasa akhir dan semakin hampir melabuhkan tirainya. Bagi golongan lalai dan leka dengan permainan duniawi, mereka tidak merasai apa-apa ketika Ramadan meninggalkan mereka. Malah, mereka bergembira kerana tidak perlu lagi menahan lapar dan dahaga. Kita memanjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniakan bulan Ramadan yang hebat ini. Ramadan sangat istimewa berbanding bulan Islam lain kerana kelebihan dan keunikannya. Pada bulan ini, di dalamnya terdapat satu malam yang sangat ditunggu-tunggu orang beriman iaitu lailatulqadar. Keistimewaan lailatulqadar adalah ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah dinamakan surah Al-Qadr. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan. (Pada malam itu) para malaikat dan Al-Ruh (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana al-Quran diturunkan pada malam berkenaan. Pada malam itu juga, Allah SWT menurunkan pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan penuh khusyuk serta berdoa penuh keikhlasan. Malaikat turut turun bersama membawa berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam itu. Selain itu, Al-Qadr juga membawa maksud ‘penetapan’. Pada malam itu, berlaku penetapan segala urusan hamba-Nya yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ingatlah, Allah SWT menjanjikan sesiapa yang beribadat bertepatan dengan malam Al-Qadr, maka dia akan diberi [...]

MCG dan USIM jalankan aktiviti kesukarelawanan kepada warga jalanan

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2019 - Program Kasih Ramadan anjuran bersama Muslim Care Global (MCG) dengan Pusat Pengajian Al Zikri, Pusat Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Mahasiswa Darul Quran meneruskan program bulanan bersama warga jalanan di Jalan Tar iaitu Program Pemeriksaan Kesihatan Berkala Warga Jalanan. Istimewanya program pemeriksaan kesihatan ini ialah warga jalanan bukan sahaja diberi pemeriksaan dan nasihat penjagaan kesihatan malah, sukarelawan turut berusaha mengisi rohani mereka dengan program-program keagamaan seperti zikir munajat dan doa sebelum berbuka, solat fardhu dan solat terawih berjemaah. Tambah meriah pada malam yang sama, usai pemeriksaan kesihatan, staf dan mahasiswa USIM dari Kolej Kediaman Nilam Court dan Kolej Kediaman Sutera Indah telah bersama-sama dengan para sukarelawan untuk mengedarkan kit kebersihan dan makanan kering kepada warga jalanan yang berada di sekitar Jalan Tar. “Sesungguhnya, sokongan dan semangat dari semua pihak amat diperlukan untuk menjayakan program sebegini. MCG juga amat berbesar hati mengajak rakan-rakan NGO, Syarikat Korporat, Pihak pentadbiran dan mahasiswa universiti untuk bersama-sama dalam menjayakan program-program kebajikan yang akan memberi manfaat kepada ummah.” Segala perhatian dan sumbangan sahabat-sahabat semua didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Moga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran yang lumayan di dunia dan di Akhirat. Moga Ramadan kali ini akan menjadi Ramadan yang terbaik buat kita semua. Nota: Sahabat-sahabat yang ingin menyumbang utk misi ini, boleh salurkan sumbangan melalui akaun kami seperti berikut: Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (Muslim Care Global) RHB BANK : 2-12523-6001152-6 MAYBANK : 5624-7816-8967 #MCGMuslimCareGlobal #MCGCare4Ummah #MCGKasihRamadan4Ummah #MCGKasihRamadan4Malaysia Disediakan oleh : Muhammad Mujahid Yusup Pelajar Fakulti [...]

Mencari ibrah di Bumi Da’ie, Reyhanli

Melancong ke negara Turki pasti menjadi pilihan ramai. Sebuah negara empat musim yang kaya dengan sejarah dan keindahan alam semulaja. Namun, tidak ramai yang mengetahui sebuah tempat di Turki iaitu Reyhanli. Reyhanli hanya terkenal dalam kalangan aktivis kemanusiaan yang bergiat aktif membantu pelarian Syria yang berada di Turki kerana di Reyhanli terdapat salah sebuah dari tiga pintu sempadan yang menghubungkan antara Turki dan Syria. Di Reyhanli, terdapat ramai pelarian-pelarian dari Syria. Mereka menetap di khemah-khemah atau menyewa rumah murah untuk meneruskan kehidupan. Di sini juga terdapat gudang penyimpanan barang, kilang roti dan Pusat Asuhan Anak Yatim milik Badan Bukan Kerajaan (NGO) terbesar di Turki iaitu IHH. Setiap hari, kilang roti IHH menghasilkan lebih 100,00 keping roti untuk diagihkan kepada rakyat Syria di dalam Syria yang terjejas akibat konflik yang melanda negara mereka. Reyhanli berdekatan dengan Bandar Antakya. Perjalanan ke Bandar Antakya mengambil masa selama 15 minit daripada Lapangan Terbang Hatay. Antara tarikan yang ada di bandar ini ialah Muzium Arkeologi Hatay, Masjib Habib Enajjar dan Gereja purba St Peter. Antakya juga sebuah bandar yang amat istimewa kerana menyimpan jasad seorang pendakwah yang Allah ceritakan dalam Surah Yaasin iaitu Habib An Najjar. Insan istimewa ini telah disebut oleh Allah SWT dan Surah Yasin dalam ayat ke 20. Beliau bukanlah seorang nabi, bukan juga seorang ulama tetapi hanyalah seorang tukang kayu di Bandar Atakya. Tetapi, dengan keimanan yang teguh, beliau mengajak kaumnya untuk turut beriman dengan rasul yang telah diutuskan Allah SWT kepada mereka. Kesudahannya, ajakan Habib [...]

Bawa tema keluarga, ‘Surprise’ Raya USIM raih lebih 150,000 tontonan

NILAI, 28 Mei 2019 - Selain gubahan lagu Hari Raya versi baharu yang dinanti setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, iklan Hari Raya yang diterbitkan oleh syarikat korporat seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia yang memaparkan pelbagai mesej melalui jalan cerita lucu, sedih dan pengajaran turut menjadi perhatian dan mempunyai peminat tersendiri sejak dahulu. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) saban tahun tidak terlepas menghasilkan iklan Hari Raya sejak 2013 bagi meraikan kemeriahan Syawal dengan tema dan jalan cerita tersendiri. Iklan Hari Raya USIM 2019 bertajuk “Surprise Raya” berjaya menarik perhatian warganet sejak mula disiarkan secara rasmi pada Jumaat lalu, 24 Mei 2019 di media sosial rasmi universiti. Selepas empat hari tayangan, iklan raya kali ini ternyata ‘menjadi’ apabila sehingga jam 9.00 pagi Selasa (28 Mei 2019), ia telah meraih lebih 150,000 tontonan di Facebook USIM dan saluran Youtube USIMTV. Di Facebook USIM misalnya, iklan ini telah mencapai tontonan lebih 61,000 kali disamping menerima 769 komen, 3,167 tanda suka dan dikongsi semula sebanyak 1,308 kali. Tontonan yang tinggi juga dilihat di saluran Youtube USIMTV apabila mencapai 98,000 tontonan selain turut dikongsi laman sosial popular antaranya Metafora Anafora yang meraih tontonan semasa 14,000 kali. Walaupun tidak ditayangkan di televisyen, ternyata pengaruh dan capaian meluas media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram terbukti memberi pengaruh yang besar mempopularkan iklan raya USIM ini. Berkisahkan tentang seorang mahasiswa yang membawa watak Bard, beliau perlu membahagikan masa antara persiapan raya bersama keluarga dan menghadapi peperiksaan akhir semester selepas Hari Raya nanti. Kejutan yang diberikan [...]

Jangan jadi muflis semata-mata sambut raya

Ramadan Al-Mubarak sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rata-rata umat Islam diserata dunia termasuk Malaysia kini sedang siap sedia menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri. Setiap kali datangnya hari raya Aidilfitri, sudah menjadi satu kebiasaan dikalangan kita semua untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan. Ada diantara kita yang sanggup berbelanja sejumlah wang ringgit semata-mata menyambut hari yang diraikan setahun sekali. Malah, ada juga dikalangan kita yang sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah berdasarkan prinsip raya hanya datang setahun sekali. Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan, adalah penting supaya setiap daripada kita merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja. Walaupun hari raya Aidilfitri cuma datang setahun sekali namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan banyak wang serta sanggup berhutang. Dalam perkara ini, adalah penting untuk kita ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri. Hari raya Aidilfitri disambut khusus oleh umat Islam bagi meraikan kemenangan menahan diri dengan berpuasa dari makan dan minum serta segala perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Selama satu bulan umat Islam telah dilatih supaya menjadi lebih berdisplin dalam menjalani segala jenis ibadah yang telah dituntut oleh Islam. Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani segala ibadah malah turut mengajar umat Islam untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian. Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh ajaran agama Islam itu sendiri. Umat Islam tidak sepatutnya melakukan segala perkara yang boleh membawa kepada pembaziran serta sia-sia. [...]

Program bubur lambuk perdana di Bulan Ramadan eratkan ukhwah

NILAI, 22 Mei 2019 - Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk bersempena Program Gotong-royong Bubur Lambuk Perdana anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama Pusat Islam, Pusat Kesihatan, Koperasi, Pragmatis yang juga disertai oleh pelajar badan beruniform dari Unit Kor Siswa Bomba dan Palapes USIM. Pengarah Pusat Sukan USIM, Encik Hamran Husin berkata, program bubur lambuk ini diadakan bagi meraikan Bulan Ramadan dan menghidupkan bulan yang mulia ini. “Alhamdulillah, tahun ini kami mendapat sambutan yang agak meriah. Jadi dapatlah kami menjayakan program ini dengan beberapa aktiviti gotong-royong seperti mana yang telah dilaksanakan pada tahun sebelum ini,” ucapnya. “Aktiviti ini dijalankan awal sehari bagi aktiviti memotong bawang, menghiris daging dan sebagainya sebagai persiapan acara memasak bubur lambuk yang diketuai oleh kakitangan Pusat Sukan USIM.” Penyelaras Program, Nur Ekmal Buhary berkata matlamat Program Bubur Lambuk Perdana ini pada asalnya bagi mengisi waktu Bulan Ramadan secara kecil-kecilan selain bagi meraikan suasana Ramadan dan memanjangkan sedekah serta infaq kepada warga USIM dan masyarakat setempat yang kurang berkemampuan. “Uniknya, pada tahun ini kami mendapat kerjasama beberapa pihak dan menerima sumbangan yang agak besar dalam bentuk wang dan tenaga malahan kita dapat membekalkan bubur lambuk yang lebih berbanding tahun lepas”. Menurut beliau lagi, program berkenaan dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bersama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhf Prof Dato’ Dr. Roshada Hashim dan juga pengurusan tertinggi. Sesi agihan bubur lambuk oleh badan uniform yang dan juga dari kakitangan Pusat Sukan USIM akan diedarkan di Pusat Sukan Tuanku Najihah kepada warga USIM termasuklah [...]

USIM Menandatangani MoU bersama dua NGO dan melancarkan Aplikasi i-Sign Ibadah

NILAI, 23 Mei 2019- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memainkan peranan sebagai sebuah IPTA yang menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui kumpulan penyelidikannya iaitu Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di bawah Institut Sains Islam (ISI) USIM yang berkerjasama dengan dua buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Nilai (PPDK Nilai) dan Persatuan Insan Istimewa Jempol di dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Executive Lounge, Bangunan Canselori USIM. Jaringan kerjasama USIM dan rakan industri ini akan menyumbang ke arah penambahbaikan dan pembaharuan kepada kedua belah pihak demi kepentingan bersama khususnya dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat OKU. Melalui usahasama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memberi latihan dan pengalaman kepada mahasiswa USIM amnya untuk merealisasikan hasrat USIM sebagai Kampus Barakah dan mendokong hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menjadikan universiti untuk komuniti. Menurut Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad, USIM kini sedang berusaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara agar perkongsian kepakaran yang sedia ada mampu digerakkan seterusnya menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan memiliki sikap positif terhadap kekuatan dan kelainan komuniti OKU ”Hasrat untuk mengadakan kerjasama ini merupakan hasil daripada perbincangan awal antara pihak Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) yang bertujuan untuk mengembleng sumbangan pelbagai pihak dalam merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam kalangan OKU”, katanya lagi. Majlis turut melancarkan Aplikasi i-Sign Ibadah yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Yasmin Hussain, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Aplikasi ini adalah pembangunan bahasa [...]

Al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca atau dihafal

Tanggal 17 Ramadan, umat Islam diserata dunia menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran. Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai “Nuzul Al-Quran” merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat-peringkat sehingga ianya menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran seperti yang kita kenali pada masa kini. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira berhampiran dengan kota suci Mekah. Bagi umat Islam yang benar-benar menghayati kitab suci terbabit, Al-Quran Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya umat manusia dapat mempelajarinya, menghayati seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman di dalam Al-Quran melalui Surah Yunus: 57 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci Al-Quran khusus kepada kepada umat Islam dan seluruh umat manusia keseluruhannya. Melalui Al-Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau [...]

Go to Top