September 2020
Padah Covid-19:Bantu Perkembangan Sosial dan Emosi Kanak-kanak
Secara umumnya, terdapat empat asas dalam perkembangan kanak-kanak iaitu kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, pertuturan dan sosial & emosi. Sosial & emosi adalah penyumbang kepada perkembangan psikologi kanak-kanak. Elemen sosial adalah merangkumi perhubungan, pergaulan serta sosialisasi bersama orang lain. Manakala, elemen emosi pula adalah keupayaan meluahkan perasaan serta kesedaran tentang diri, harga diri serta konsep diri. Jika perkembangan sosial & emosi ini terganggu maka timbul isu-isu tingkah laku yang tidak sihat seperti masalah sosial dan juga insiden-insiden seperti bunuh diri. Masih ingat kah kita berkaitan dengan insiden bunuh diri yang melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun beberapa tahun lalu. Bagaimana kanak-kanak di usia tersebut boleh bertindak sedemikian? Gangguan terhadap perkembangan sosial emosi mengundang kepada ketidakupayaan menguruskan tekanan, kebimbangan, stres, kecelaruan, kemurungan dan banyak lagi. Sangat menyedihkan, terdapat banyak insiden-insiden yang berakhir kemusnahan hidup kanak-kanak. Tidak kurang wujud juga kes-kes yang berakhir dengan tragedi. Amat merisaukan, pandemik Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada orang dewasa malah turut dirasai oleh kanak-kanak. Perintah PKP yang telah dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak ini telah mewujudkan konflik terhadap emosi kanak-kanak. Penutupan sekolah, tidak boleh keluar rumah, tidak boleh bermain, tidak boleh berjumpa rakan adalah berlawanan dengan fitrah semula jadi kanak-kanak dan menggugat perkembangan sosial dan emosi mereka. Tidak mustahil insiden-insiden menyayat hati mungkin boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga kita. Jangan ambil remeh. Cegah sebelum terlambat. Bagaimana? 1) Jelaskan tentang penjarakan sosial Kanak-kanak mungkin tidak faham sebab mereka tidak dibenarkan keluar bermain bersama rakan. Terangkan [...]
Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim Dilantik Ahli Lembaga Pengarah USIM
NILAI, 28 September 2020 – Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi adalah selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta). Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004. Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) ini mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir. Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang ‘Revealed Knowledge and Heritage’ dari UIAM (1991) Beliau mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihanraya Umum 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu (2004-2008). Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Dato’ Dr. Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator. Dato’ Dr. Mashitah turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (2012-kini); Pengarah Grand Commerce Network Sdn. Bhd (2014-kini); Panel Perunding Majlis Perundingan Islam [...]
Kolej Genius Insan Iktiraf Kecemerlangan Pelajar, Tekad lahir cendekiawan Islam yang Ulung
Nilai, 22 September – Seramai 160 pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Abqari dan 32 pelajar dianugerahkan Insan Junior School Certificate (iJSC) pada Majlis Penganugerahan Kolej Genius Insan Tahun 2020 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Kamel Mohamad. Anugerah Perdana Abqari 2019 dianugerahkan kepada Saudara Hasnul Fikri bin Ahmad Syukri dan Saudari Maryam Mokhtar. Anugerah ini merupakan anugerah pencapaian tertinggi yang diberikan kepada murid yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, Ulumuddin dan sahsiah terpuji. Hasnul Fikri, anak sulung daripada lapan beradik itu sentiasa meletakkan ALLAH SWT sebagai keutamaan dan keluarga sebagai pendorong utama dalam kejayaannya. “Saya berharap dapat aplikasikan ilmu al-Quran dalam kehidupan seharian saya dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta mahu membuka mata dunia bahawa Islam adalah agama terbaik. Tambah hasnul yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang agama di Universiti Oxford, United Kingdom, untuk mendalami al-Quran ini kita perlu jadikan ia sebagai rutin dalam kehidupan. Kita kena paksa diri baca hari-hari yang lama-kelamaan akan jadi seronok untuk membacanya. Berkongsi kegembiraan atas anugerah sama, Maryam Mokhtar, 17, menjadikan amalan melakukan solat sunat duha setiap hari kerana percaya ia membuka jalan rezeki. Dia yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, doa daripada ibu bapanya sangat membantu dalam kejayaannya selain dorongan daripada pensyarah dan rakan-rakan. Maryam yang bercita-cita menjadi ahli farmasi dan pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke Nazarbayev Intellectual School, Kazakhstan selama seminggu pada Februari lalu turut menyifatkan Anugerah Abqari Perdana sebagai pencapaian tertinggi diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek. [...]
Wira Norma Baharu Pertahankan Kesejahteraan Bersama
Kini, rakyat Malaysia sedang berada dalam fasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dalam masa yang sama, graf statistik kes jangkitan Covid-19 juga menunjukkan berlakunya penurunan kes dari masa ke semasa. Taburan kes jangkitan Covid-19 sepanjang tempoh PKPP ini dilihat berkurangan. Jumlah kes positif berada dalam julat 1-30 kes setiap hari berbanding jumlah kes sewaktu fasa awal PKP dan PKPB yang melibatkan ratusan kes positif. Justeru, setiap rakyat Malaysia tidak seharusnya mengambil langkah mudah dalam berhadapan wabak Covid-19 ini. Sikap alpa dan mementingkan diri sendiri akan mengundang masalah besar dalam mengekang penularan rantaian Covid-19 semasa fasa pemulihan ini. Bertitik tolak dari hal ini, setiap individu perlu mengambil langkah proaktif dan menjalankan tangggungjawab masing-masing dalam memerangi virus Covid-19. Setiap dari rakyat Malaysia adalah wira negara. Kesepaduan rakyat Malaysia adalah penentu kepada kejayaan negara dalam membasmi wabak Covid-19. Jika sebelum ini, kita telah melihat pengorbanan besar barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan, polis dan tentera yang bertungkus lumus siang dan malam sewaktu penularan Covid-19 berada pada kemuncaknya. Kini, tibalah masa setiap dari rakyat Malaysia menjalankan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini. Ironinya, masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang masih tegar dengan sikap sambil lewa dan tidak mengendahkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Persoalannya sampai bila wabak ini harus bermaharajalela? Tidakkah kita mahu bebas dari ancaman virus ini? Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan semasa sidang media Majlis Perasmian Program PERKESO Prihatin Negara Selamat, bahawa penularan virus berbahaya ini masih belum menunjukkan [...]
Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi USIM Iktiraf Kecemerlangan Pentadbiran dan Akademik Universiti
NILAI, 23 September 2020 - Universiti Sains Islam Malaysia saban tahun tidak terlepas menganjurkan acara rasmi tahunan iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM. Bagi meraikan penerima-penerima anugerah bagi tahun 2019, majlis ini diadakan pada petang ini 23 September 2020 berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM. Majlis ini program yang mana julung kalinya penganjuran majlis diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Justeru, USIM tidak terkecuali dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard terhadap pengurusan majlis sebagaimana yang ditetapkan Kerajaan. Seramai 132 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 22 kategori Anugerah Khas dan 120 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Setia telah menerima anugerah di AKI bagi tahun 2019. Manakala Anugerah Tertinggi iaitu Anugerah Tokoh Akademik (Hasanul Mudir) dinobatkan kepada Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang juga seorang personaliti di kaca TV dan media elektronik. Beliau mendapat pengiktirafan ini di atas kecemerlangan, pencapaian serta sumbangan beliau yang terserlah dalam pelbagai bidang pembangunan akademik dan juga ummah. Bagi Anugerah Naib Canselor dianugerahkan kepada Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik, Anugerah Fakulti Cemerlang dianugerahkan kepada Fakulti Syariah dan Undang-undang, dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan / Pusat Pembelajaran Cemerlang dianugerahkan kepada International Fatwa dan Halal Centre. Majlis ini diterajui sepenuhnya di bawah Jabatan Pendaftar dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab di USIM antaranya Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Pusat Komunikasi Strategik, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan, Pusat Kebudayaan, Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pejabat Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Pusat Islam. Komitmen yang diberikan semua pihak ini adalah untuk memastikan [...]
USIM jalin kerjasama bersama MyFundAction Malaysia, laksana program Gap Year Volunteerism
NILAI, 23 September 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengorak langkah untuk memberikan nilai tambah kepada program pembangunan pelajar agar kekal relevan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyFundAction Malaysia (MYFA) sebagai salah satu rakan strategik untuk pelaksanaan program Gap Year Volunteerism USIM. Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), tahun 2020 program ini telah memasuki tahun ke 4 pelaksanaannya sejak dilaksanakan pada tahun 2017. Ia merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2017 dengan pelaksanaan projek rintis melibatkan sembilan (9) buah Universiti Awam. ”USIM antara Universiti Awam yang terpilih sebagai pelopor bagi program ini juga universiti pertama yang melaksanakan Program GAP Year Volunteerism dan masih kekal hingga kini merupakan satu-satunya Universiti Awam yang menawarkan program ini untuk tempoh satu (1) tahun iaitu 2 semester pengajian”. ”Kita sudah mempunyai 13 alumni Gap Year yang kini ada yang sudah berkerjaya. Ada di antara mereka yang kini menjadi Prosumer atau Entrepreneur dalam bidang agro sementara yang lain didalam kerjaya masing-masing. Saya percaya, keputusan menangguhkan pengajian bukanlah satu tindakan yang merugikan mereka malah memberikan mereka peluang untuk menjadi lebih bersedia sebelum menempuh alam pekerjaan atau menjadi job creator itu sendiri”, tambah Prof Rushdan. GAP Year Volunteerism merupakan program yang memfokuskan kepada aktiviti kesukarelawanan berteraskan khidmat negara serta memenuhi kehendak Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Hasrat Pendidikan Tinggi Negara adalah untuk membentuk graduan yang holistik dan seimbang. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi objektif utama program ini melahirkan graduan [...]
Semarak Hari Malaysia 2020 : Memacu Kemajuan dan Kesejahteraan Negara
Laungan keramat MERDEKA sebanyak tujuh kali yang dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur berselang seli dengan laungan rakyat yang hadir pada ketika itu menandakan kepada pembentukan negara Malaysia. Umum mengetahui bahawa laungan ini sangat sinonim apabila memperkatakan tentang hari kemerdekaan yang disambut 31 Ogos lalu. Laungan yang sama dilafazkan oleh Bapa Kemerdekaan ini sesungguhnya memberikan simbolik bahawa kedua-dua peristiwa sejarah ini sama penting nilainya. Namun, berapa ramai dari kalangan kita yang tahu dan cakna tentang Hari Malaysia dan sejarah pembentukan Malaysia ini? Mengimbau kembali sejarah di sebalik pembentukan negara Malaysia, ia merupakan detik paling bermakna yang memperlihatkan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura, walaupun Singapura disingkirkan pada tahun 1965. Penyatuan bermula selepas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkan idea penubuhan Persekutuan Malaysia pada 27 Mei 1961 disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen KOMANWEL Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai pada tahun yang sama, telah memutuskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens. Gagasan ini ditubuhkan bagi menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Selain itu, ia bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Singapura dan seterusnya meningkatkan kemajuan ekonomi. Hari Malaysia adalah sama pentingnya dengan Hari Kebangsaan. Kedua-duanya sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Walaupun terdapat beberapa pandangan terdahulu daripada aliran pemikir akademik yang mengatakan hari kebangsaan mempunyai [...]
Konvensyen Usahawan Alumni Bersama Industri 2020 Sedia Platform Jalin Kerjasama bersama industri
PUTRAJAYA, 21 September 2020 - Tahun 2020 menjadi cabaran kepada kebolehpasaran graduan Universiti tempatan ekoran daripada penularan pandemik Covid19 bukan hanya di Malaysia malah melangkaui ke peringkat global. Pusat Alumni dan Kerjaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Konvensyen Usahawan Alumni Bersama Industri 2020 sebagai platform membantu usahawan dan juga menyalurkan input-input dalam pelbagai bidang dan isu pasca pandemik Covid19 supaya para usahawan ini bangkit semula meneruskan perjuangan dalam perniagaan khususnya. Konvensyen yang julung kali diadakan ini merupakan langkah awal pihak universiti bagi membantu mengembangkan lagi potensi usahawan alumni bukan sahaja alumni USIM, malah alumni semua Universiti Awam di negara ini. Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapan perasmiannya berkata, pandemik Covid19 telah mengubah lanskap dalam kehidupan manusia sedunia termasuklah ia turut memberi kesan kepada bakal graduan kini. Maka dengan sebab itulah, graduan Universiti perlu bersedia memperlengkapkan diri dengan pelbagai set kemahiran insaniah dan berani meneroka kerjaya baru. Cabaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan masa kini, menuntut graduan bersedia secara fleksibel bagi menghadapi sebarang cabaran yang berlaku. “Usaha membantu Usahawan Alumni merupakan tanggungjawab semua pihak dan perlu dilaksanakan secara komprehensif. Bantuan dana dan geran daripada pihak Kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), SME Corp, TEKUN dan juga rakan industri akan dapat membantu merangsang peningkatan Usahawan Alumni ini. Saya amat berharap pihak KPT dapat menyediakan dana dan geran khas bagi Usahawan Alumni ini kerana golongan ini merupakan bakal teknorat Malaysia pada masa hadapan”, jelas Dr. Rushdan. Manakala [...]
USIM turun padang di sambutan “World Cleanup Day” Peringkat Negeri Sembilan
SEREMBAN, 19 September 2020 – Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turun padang memeriahkan sambutan Hari Kebersihan Sedunia (World Cleanup Day) 2020 dan Kempen Negeri Sembilan Bersih 2020 bertempat di Taman Malaysia Seremban. Program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan ini disertai USIM dengan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilihat mampu menaikkan semangat masyarakat untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Sambutan ini berlaku serentak di 8 lokasi yang mewakili semua daerah di Negeri Sembilan. ISI bersama 30 orang pelajar Tamhidi USIM dan kakitangan ISI berkumpul dan menyertai acara sebagai tanda menyokong dan cakna kepada aktiviti khidmat masyarakat di kawasan sekitar. Pada majlis yang sama, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengurusan Universiti turut hadir meraikan sambutan dan bersama-sama melihat gimik perasmian yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Baginda menyempurnakan acara gimik perasmian dengan mengutip sampah menggunakan penyepit khas dan kemudian memasukkannya ke dalam sebuah tong sampah khusus untuk pembuangan pelitup muka yang dibina oleh pasukan penyelidik USIM yang dinamakan PPE Disposal Taskforce. Pasukan PPE Disposal Taskforce USIM yang diketuai oleh Dr. Nuruliza Roslan, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berbesar hati apabila USIM dijemput untuk menyertai acara gimik "World Cleanup Day" 2020. “Program hari ini sejajar dengan inisiatif USIM dalam memperkenalkan “Kempen Pembuangan Pelitup Muka Secara Selamat dan Betul dan ia secara tidak langsung Kempen #USIMjagasemua yang telah mula diperkenalkan di peringkat USIM dapat disebarluas kepada masyarakat setempat untuk sama-sama mengamalkan sikap prihatin sewajarnya,” ujarnya. “Satu [...]
USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd Lancar Kursus Pemerkasaan Usahawan Ibu Tunggal B40 Secara Atas Talian
NILAI- 5 September 2020, Universiti Sains Islam Malaysia, USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd (UTHSB) dengan Kerjasama Yayasan Hasanah Malaysia telah melancarkan Kursus Pemerkasaan Usahawan Ibu Tunggal B40 Secara Atas Talian yang disertai oleh 30 peserta yang terdiri daripada usahawan ibu tunggal B40. Kursus ini dirasmikan oleh Y.Bhg Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Puan Raja Azura Raja Mahayuddin. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah isu-isu keusahawanan dikalangan usahawan ibu tunggal B40 dengan menyasarkan peningkatan aliran tunai sekurang-kurangnya 5%, dan mengurangkan masalah perniagaan peserta sebanyak 5%. Selain itu peningkatan pengetahuan dalam pengurusan fungsi utama perniagaan juga akan dititik beratkan selama 6 bulan kursus ini berlangsung. Kursus ini dikendalikan keseluruhannya secara atas talian. Fasilitator yang terlibat terdiri daripada para pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan mampu untuk memberi komitmen yang tinggi dalam membantu golongan sasaran. UTHSB juga berkerjasama dengan pihak luar seperti MDEC untuk memastikan modul yang berkaitan E-Usahawan ini dapat berjalan dengan lancar. Objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan asas kepada pengurusan kewangan peribadi dan keluarga. Peserta juga akan ditekankan tentang asas-asas mengenai etika perniagaan serta pengunaan ‘Business Model Canvas (BMC)’ untuk membuat perancangan memulakan perniagaan. Melalui kursus ini juga peserta akan diterangkan tentang beberapa bahagian yang memainkan peranan utama dalam perniagaan iaitu sumber manusia, pemasaran, operasi dan kewangan. Bagi memastikan usahawan yang dibentuk tidak ketinggalan dengan norma baru perniagaan masa kini, mereka juga akan didedahkan dengan kaedah perniagaan atas talian yang merangkumi pengunaan sosial media dan platform atas talian. [...]









