Januari 2011
SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-5 FAKULTI PENGAJIAN BAHASA UTAMA
Program khas sempena ulangtahun kelima Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) diadakan untuk menunjukkan rasa sayang, penghargaan dan kesyukuran dengan penubuhan serta pencapaian FPBU sehingga kini. Kejayaan FPBU mengorak langkah tahun demi tahun mencerminkan bukan sahaja kejayaan para pelajarnya tetapi juga para pensyarah dan pihak pengurusan fakulti. Program khas ini penting untuk membakar semangat pihak FPBU untuk lebih maju dan berjaya lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Majlis kemuncak Program Khas Sambutan Ulangtahun Kelima FPBU telah diadakan pada hari Ahad 23 Januari 2011 bertempat di Dewan Kuliah Utama FPQS. Program sambutan ulangtahun tersebut diadakan bagi menunjukkan rasa syukur terhadap pencapaian FPBU sehingga berada pada tahap kini dan juga untuk meniup semangat cinta dan sayang kepada FPBU. Program seumpama ini juga adalah penting untuk memupuk cinta dan sayang kepada bahasa, pengajian bahasa serta bidang pendidikan dan juga untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan bidang kerjaya yang boleh diceburi setelah tamat pengajian. Majlis kemuncak pogram sambutan ulangtahun tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia. Pelbagai pertandingan diperingkat FPBU telah diadakan sebelum acara kemuncak tersebut seperti Kejohanan Sukan Inter-program Piala Pusingan Dekan, Peraduan Bahasa Inggeris “I’ve Got The Brain!” serta Pertandingan Penulisan Bahasa Arab. Pada hari majlis kemuncak program, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda telah dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang setiap kategori pertandingan. Selain daripada acara penyampaian hadiah, majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan gimik daripada para pelajar FPBU, acara memotong kek ulangtahun FPBU dan juga bacaan sajak oleh wakil pensyarah [...]
URUSETIA KESENIAN PELAJAR NAIB JOHAN SAYEMBARA LAGU PUISI ANTARA IPT 2011
Kuantan, 24 Januari 2011 – Pelancaran Kempen Kami Prihatin “Apakah Dosaku ” menyentuh isu- isu pembuangan bayi di Malaysia bertujuan mendidik warga Malaysia agar merasai keperluan betapa pentingnya sikap masyarakat yang pro aktif dalam menangani gejala negatif ini. Selari dengan matlamat itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, ASTRO, Karyawan, MAKUM dan Utusan Malaysia telah menganjurkan Pertandingan Sayembara Lagu Puisi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Malaysia yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Pahang pada 22 – 24 januari 2011. Sebanyak 13 IPT telah terpilih ke final yang menyaksikan Urusetia Kesenian Pelajar, Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia telah berjaya mengatasi saingan hebat IPT lain dengan merangkul Naib Johan. Lebih manis USIM telah terpilih untuk mengadakan persembahan khas pada Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Apa Dosaku yang berlangsung pada 24 Januari 2011 di Kompleks Sukan UMP. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Y.A. Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir mengiringi acara perasmian ialah Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Puisi yang dipertandingkan merupakan karya saudara Ahmad Faiz Ahmad, pelajar Sarjana FST manakala lagu ciptaan Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM. Menurut Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM, persembahan Urusetia Kesenian Pelajar USIM sangat mengesankan dan berupaya menyampaikan mesej dengan cemerlang. Beliau menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi universiti atas sokongan yang jitu dan padu telah berjaya memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mengharungi cabaran yang mendatang. Semoga kejayaan membanggakan ini dapat [...]
UPKK ANJUR SEMINAR PERANCANGAN KERJAYA MAHASISWA 2011
Perancangan kerjaya adalah suatu perkara penting yang perlu didedahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi semenjak di awal pengajian supaya mereka jelas akan hala tuju kerjaya mereka kelak. Isu kebolehpasaran graduan yang hebat diperkatakan kini bukan sahaja memerlukan latihan menyeluruh untuk para pelajar tahun akhir sahaja, tetapi ia juga perlu diberi penekanan semenjak para pelajar mula memasuki alam universiti. Menyedari hakikat itu, USIM melalui Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya (UPKK) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUMA) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Seminar Perancangan Kerjaya Mahasiswa Peringkat Kebangsaan pada 22 januari yang lalu bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tahun 1 khususnya agar mereka dapat meneroka peluang-peluang dan prospek kerjaya yang bersesuaian dengan latar belakang, minat dan kemahiran yang mereka miliki. Ia merupakan program kali pertama diadakan seumpama ini yang menggabungkan pelajar-pelajar dari seluruh IPTA dan beberapa IPTS di dalam satu seminar. Bertemakan slogan ”Kenal Diri, Rancang Kerjaya”, seminar ini disertai lebih 400 orang pelajar tahun satu dari seluruh IPTA dan beberapa IPTS di sekitar lembah kelang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam. Menurut beliau, isu kerjaya seringkali dikaitkan dengan mahasiswa/i tahun akhir dan agak sedikit kita dengar pendekatannya dilakukan seawal mungkin. Pendekatan yang banyak dilakukan seperti “finishing school” di universiti-universiti kadangkala menyebabkan penekanan kepada “starting school” agak kurang walaupun sebenarnya ia turut memainkan peranan dan memberi kesan kepada kehidupan sebagai mahasiswa/i sesebuah universiti. Melalui program-program yang membantu “setting” [...]
QURAN, SUNNAH DAN SAINS TERAS TRANSFORMASI UMMAH
Bandar Baru Nilai, 29 Disember 2010 – Quran merupakan sumber pertama dalam peradaban manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terkandung kunci dan prinsip ilmu-ilmu turath mahupun kontemporari. Kemukjizatan Quran tidak pernah habis kerana ia bersifat abadi. Sunnah pula sebagai sumber kedua sebagai pentafsir, perinci dan penguat kepada Quran. Kedua-duanya adalah pencetus utama kepada transformasi, ketamadunan dan kemajuan dunia. Justeru itu, bagi memartabatkan pengajian Quran dan Sunnah dalam arus perdana pendidikan Negara, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Quran, Sunnah dan Sains (SQSS 2010) yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda. Hampir 250 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi seperti Jabatan-jabatan Mufti Negeri, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, pensyarah-pensyarah dari institut pengajian tinggi, pelajar-pelajar sekolah tahfiz serta orang persendirian telah menyertai seminar ini. Pembentang-pembentang kertas kerja pula terdiri dari kalangan yang terhebat dalam lapangan ilmu masing-masing, di Malaysia mahupun di seluruh dunia seperti Harun Yahya dari Turki, Prof. Quraish Shihab dari Indonesia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Dr. Mohamad Arif Kosmo dari UKM. Seminar ini bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat dalam peri pentingnya ilmu Quran dan Sunnah dalam memahami ilmu sains yang sentiasa berkembang ilmunya dari semasa ke semasa. Selain itu ianya bertujuan mencetus inovasi sains melalui teori-teori yang disebut di dalam Quran dan Sunnah. Turut hadir, Dekan FPQS, Y.Bhg. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Ketua Pustakawan USIM, En. Jasmin Jaimon. Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
IKEQS MARTABAT INOVASI DAN KREATIVITI BERTERASKAN QURAN DAN SUNNAH
Dalam bidang pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan antara pendidikan moden yang mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju sekiranya semua kepakaran serta kemudahan yang ada digemblingkan untuk memberikan anjakan baru dalam bentuk kontemporari bagi memenuhi keperluan masayarakat Islam era globalisasi di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Justeru itu, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM komited untuk terus memartabatkan pengajian Quran dan Sunnah dalam arus perdana pendidikan Negara dengan menubuhkan Institut Kefahaman Quran dan Sunnah (IKEQS) yang dilancarkan secara rasmi oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda semasa merasmikan Seminar Quran, Sunnah dan Sains (SQSS) pada 29 Disember 2010 yang lalu serentak dengan pelancaran produk pertama IKEQS- IQRA’ Versi Braille. Institut ini ditubuhkan bertujuan untuk menjadi pusat penyelidikan dan integrasi antara ilmu Quran dan Sunnah dengan sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan semasa khususnya di Malaysia. Di samping itu pusat ini juga menyediakan khidmat kepakaran dan latihan kepada institusi berkaitan sama ada kerajaan atau swasta secara global seperti institusi fatwa, pendidikan, syarikat media elektronik dan sebagainya. IKEQS turut memberikan tumpuan dalam bidang-bidang utama seperti Penyelidikan saintifik dan kontemporari berkaitan Quran dan Sunnah, Pengembangan kesenian Quran seperti qiraat, tarannum, kaligrafi dan seumpamanya, Pengurusan (pengumpulan) informasi dalam bidang Quran dan Sunnah serta Pengurusan (pentadbiran/penyelesaian) isu-isu semasa yang berkaiatn dalam bidang Quran dan Sunnah. Bagi memantapkan perkembangan institut ini, pelbagai aktiviti dirancang dandibahagikan kepada lapan kategori iaitu Penyelidikan dan Inovasi, Perkhidmatan Elektronik, Pembangunan Galeri Quran dan Sunnah, Penerbitan, Perhubungan, Khidmat Konsultasi, latihan, Seminar/bengkel berkala/bengkel tidak berkala dan Klinik [...]
MAHASISWA FST ANJUR ASRIM’11
Nilai, 12 Jan 2011 – Buat kali ketiga berturut-turut, Seminar Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (ASRIM) telah berjaya dianjurkan oleh mahasiswa Tahun 3 program Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, yang diketuai oleh Saudara Muhammad Izwan Raif. Bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, seminar yang bertajuk “Aspek Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko di dalam Dunia Pelaburan” ini telah disertai oleh 300 mahasiswa dari beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Lembah Kelang. Antaranya ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, USIM. Menurut beliau, kesungguhan pihak universiti untuk menganjurkan seminar seperti ini menunjukkan komitmennya dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di USIM seterusnya menyediakan peluang industri dalam sektor kewangan dan pelaburan yang merupakan salah satu komponen terpenting di dalam meningkatkan ekonomi negara. “Pasaran Bursa Kuala Lumpur contohnya merupakan bursa saham yang terbesar di Asia Tenggara dan itu adalah antara misi kerajaan untuk melihat Malaysia membangun sebagai Pusat Kewangan Islam dimasa akan datang”, tambahnya lagi. Antara objektif program ASRIM ialah memberi pengetahuan dan pengalaman kepada para pelajar tentang cara-cara menguruskan organisasi serta menerapkan sifat kepimpinan bagi menghadapi persaingan yang semakin mencabar di masa hadapan. Selain itu, termasuklah menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan konsep modal insan di kalangan mahasiswa/i yang bukan hanya mampu menguasai teori akademik semata-mata bahkan dapat mengaplikasikannya melalui penganjuran program yang bermanfaat. Seminar ini juga merupakan program yang [...]
Disember 2010
USIM NAIB JOHAN KESELURUHAN (FESTKUM) 2010
Kangar Perlis,19 Disember 2010 – Tahun 2010 telah menyaksikan kejayaan manis bagi kontijen seni budaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana telah berjaya menggondol hadiah paling berprestij dengan menduduki tempat Kedua Keseluruhan bagi semua acara Festival Kebudayaan Universiti- universiti Malaysia (FESTKUM 2010). Selain itu, USIM juga berjaya memenangi pingat emas utama dalam acara muzik akustik dimana USIM bersaing dengan IPTA yang mempunyai Fakulti Seni Persembahan seperti UiTM, UM, USM, UPSI dan UMS di peringkat final. Kontijen USIM juga turut memenangi emas iringan dalam susunan muzik terbaik. Menurut Ketua Kontijen USIM, Tuan Haji Mazlan Nawang, Kontijen USIM telah menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi universiti atas sokongan yang jitu dan padu telah berjaya memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mengharungi cabaran yang kuat dalam FESTKUM 2010 kali ini. FESTKUM 2010 berlangsung dari 15 hingga 19 Disember 2010 dan melibatkan empat buah IPTA seperti UniMAP, USM, UUM dan UiTM Arau sebagai tuan rumah. Seramai 1229 peserta seni budaya dari 20 IPTA telah menyertai Festival ini untuk merebut 30 pingat Emas. Sebanyak 8 acara seni iaitu Muzik Akustik, Tarian Rampaian Tradisional Melayu, Tarian Tradisional Cina, Tarian Klasik India, Boria, Dikir Barat, Nyanyian Antarabangsa dan Nyanyian Irama Malaysia dipertandingkan dalam FESTKUM 2010. Majlis Penutup FESTKUM turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Puta Jamalullail yang juga Canselor UniMAP. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Y.A.B Menteri Besar Negeri Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu. Oleh : Unit Kebudayaan, Bahagaian [...]
USIM PERTAHAN KEJUARAAN DEBAT DIRAJA
Kuala Lumpur, 22 Disember 2010 - Sejarah manis yang tercipta di Pertandingan Debat Diraja 2009 di Universiti Malaya dilakar kembali apabila pasukan debat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Debat Diraja Antara IPTA yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 17 hingga 22 Disember yang lalu. Pertandingan Debat Diraja ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kerajaan Negeri Johor, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) serta UTHM selaku tuan rumah. Pasukan debat ini telah membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM5000, piala iringan serta sijil. Saudara Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik yang turut membawa pulang wang tunai RM1000, piala iringan serta sijil. Izzat yang jelas tidak menyangka bahawa dirinya telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik nyata bersyukur kepada Allah di atas kejayaannya dan beliau menambah bahawa kejayaannya ini bukan untuk dirinya sahaja malah untuk teman-teman pendebat yang lain. “Debat Diraja 2010 merupakan kejohanan terakhir yang saya sertai sebelum mengakhiri karier saya sebagai pendebat universiti dan Alhamdulillah saya telah menamatkannya dengan kenangan yang amat manis”, ujarnya lagi yang merupakan mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang. Pasukan USIM yang bertindak selaku pencadang telah berjaya menewaskan pasukan dari UNISZA selaku pembangkang dengan usul “Melahirkan jaguh atlet sukan adalah tanggungjawab individu”. Pasukan USIM diwakili oleh Maisarah Mohd Rafie, Mohd Najib Taha, Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif dan Firdaus Ab Rahman. Selain itu USIM juga telah menerima beberapa anugerah dalam Majlis Malam Anugerah MADUM. Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif telah menerima [...]
BMMB DAN USIM JALIN KERJASAMA
Bandar Baru Nilai, 13 Disember 2010 – Dalam usaha menghasilkan graduan kewangan Islam yang mampu memenuhi keperluan industri kewangan Islam masakini, Univeriti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjalinkan kerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Kerjasama ini diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dan Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif BMMB. Antara bidang kerjasama yang dipersetujui ialah penggunaan kemudahan yang terdapat di USIM oleh pihak BMMB dan menyediakan peluang pekerjaan bagi graduan USIM yang mempunyai kelulusan dan kriteria yang dikehendaki oleh pihak BMMB. Disamping itu juga, pihak BMMB diberikan akses untuk memasarkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan BMMB kepada warga USIM serta pihak BBMB akan menawarkan pakej khas pembiayaan bagi pelajar dan kakitangan USIM. Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail Pembantu Wartawan Unit Komunikasi Korporat pwartawan@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8027/8028 H/p : 012-6257710 Gambar oleh : Kamarull Syamzari Kamaruddin (Tel :06-7988058)
November 2010
DPMM KL SEDIA JALIN KERJASAMA TINGKAT KEMAHIRAN GRADUAN USIM
Kuala Lumpur, 11 November 2010 – Dalam usaha memastikan graduan Universiti Sains Islam Malayia (USIM) diterima baik di pasaran industri masakini, Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan (PHIP) mengambil langkah proaktif menjalinkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM KL). Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk menggalakkan kerjaama kedua-dua pihak dalam penyediaan penempatan pelajar-pelajar USIM menjalani latihan industri, bimbingan dan nasihat dalam bidang keusahawanan, menjalankan penyelidikan secara bersama meliputi aspek industri, pemasaran, khidmat nasihat dan kewangan di samping memberi latihan kepada staf akademik dan pelajar USIM dalam bidang yang berkaitan. Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dan Y.Bhg. ADJ. Prof. Dato’ Syed Amin Al Jefri, Presiden DPMM KL telah menandatangani memorandum tersebut. Menurut Y.Bhg. ADJ. Prof. Dato’ Syed Amin Al Jefri, DPMM KL sangat mengalu-alukan kerjasama yang erat terutamanya di kalangan Institusi Pengajian Tinggi. “USIM merupakan IPTA pertama yang menjalinkan kerjasama dengan DPMM KL dan pihak DPMM KL akan sedaya upaya membantu pelajar-pelajar USIM dari segi khidmat nasihat, bimbingan, latihan dan juga dari sudut kewangan”, kata beliau lagi. Manakala, Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, berharap dengan terjalinnya kerjasama ini, pelajar USIM dapat dipersiapkan dengan ilmu-ilmu dan pengalaman yang sangat diperlukan dalam menempuhi dunia pekerjaan dan industri kelak. Turut hadir Prof. Dr. Abdul Jalil Abdul Kader, Pengarah PHIP dan En. Khazali Ibrahim, Pengarah Eksekutif DPMM KL. Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail Pembantu Wartawan Unit Komunikasi Korporat pwartawan@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8027/8028 Gambar oleh : Kamarull Syamzari Kamaruddin (Tel:06-7988058)









